Friday, October 12, 2012

Pencarian ibu cantik terbaik


MEGA Lifesciences mengumumkan senarai 95 orang ibu yang layak untuk bersaing merebut gelaran Glowing Youthful Mother 2012.


SEBAIK sahaja pertandingan Glowing Youthful Mother 2012 dibuka kepada khalayak pada bulan Mei lalu, pihak penganjur menerima ribuan permohonan penyertaan daripada golongan ibu di seluruh negara.
Namun, hanya 200 permohonan disenarai pendek untuk menghadiri sesi uji bakat pertama pada bulan Julai lalu.
Usai sesi uji bakat itu, 95 peserta telah terpilih untuk ke peringkat seterusnya dan mereka juga telah diperkenalkan dalam satu majlis baru-baru ini.
Glowing Youthful Mother 2012 merupakan acara tahunan kedua dianjurkan oleh Mega Lifesciences selepas ia mendapat sambutan hangat tahun lalu.
Pertandingan tersebut merupakan platform bagi golongan ibu berumur lingkungan 30 hingga 60 tahun di negara ini untuk lebih bertanggungjawab mengenai kesihatan mereka dan mengetahui kepentingan penjagaan empat tonggak penting kesihatan manusia iaitu jantung, hati, sendi dan kulit.
Pengarah Serantau Mega Lifesciences, Sudhir Gandhi memberitahu, 95 peserta itu dipilih ketika uji bakat dengan melihat kepada tahap kecergasan yang setara dengan umur mereka.
“Sewaktu uji bakat, dua faktor yang ditentukan pihak juri ialah ujian biologi untuk mengukur tahap kesihatan yang setara dengan umur dan sesi soal jawab untuk menguji pengetahuan mereka mengenai topik kesihatan asas.
“Selain itu, penampilan dan kemahiran berkomunikasi juga diambil kira untuk peserta di pilih ke peringkat seterusnya. Sesi pengenalan kepada 95 peserta ini juga merupakan salah satu cara untuk memperkenalkan ikon ibu sihat kepada ibu-ibu lain di luar sana,” ujarnya ketika ditemui pada majlis itu baru-baru ini.
Sesi memperkenalkan 95 ibu di Publika, Solaris Dutamas baru-baru ini turut diserikan dengan aksi cat walk daripada peserta.

PERTANDINGAN Glowing Youthful Mother menggalakkan kaum ibu untuk menjaga kesihatan dan penampilan diri walaupun sudah berkeluarga.


Seorang peserta yang terlibat, Alwizah Al-Yafii, 38, melahirkan rasa gembira apabila beliau dipilih sebagai salah seorang peserta sempena sesi pengenalan peserta itu.
“Semasa sesi uji bakat baru-baru ini saya telah membuat persiapan yang rapi terutama dari aspek kesihatan luaran dan dalaman serta ilmu pengetahuan mengenai kesihatan. Saya tidak menyangka akan terpilih sehingga ke tahap ini,” ujar ibu kepada dua cahaya mata ini.
Glowing Youthful Mother 2012 mempertaruhkan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM50,000.
Pemenang utama akan menerima wang tunai bernilai RM25,000, manakala pemenang tempat kedua RM10,000 dan tempat ketiga RM5,000.
Juri untuk pertandingan itu terdiri daripada personaliti terkenal iaitu Amber Chia, Daphne Iking dan Noniswara Baharuddin serta tidak ketinggalan juga pereka fesyen, Bon Zainal.
Profil 95 peserta kini terdapat di laman web rasmi pertandingan iaitu www.gymc.com.my dan laman Facebook www.facebook.com/glowforever.
Orang ramai juga boleh mengundi peserta kegemaran mereka di laman Facebook dan 20 peserta mendapat undian tertinggi akan terpilih ke peringkat akhir pada 3 November nanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: