
DIA tidak pernah mengalami sebarang kecederaan.
AKSI memandu kereta sambil membuat pusingan 360 darjah, memandu dengan hanya dua tayar menjejak tanah serta meletakkan kereta di sudut yang sempit pasti sukar dilakukan.
Namun, bagi warga Britain, Russ Swift, perkara itu terlalu mudah. Dia telah melibatkan diri dalam sukan bermotor sejak berusia 17 tahun.
Sebelum ini, Russ merupakan seorang pemandu rali serta banyak menguji kereta baru sebelum ia memasuki pasaran.
Dia juga kurang dikenali tetapi selepas membuat persembahan menggunakan kereta Austin Montego di sebuah medan letak kereta di Britain pada tahun 1987, popularitinya terus memuncak.
Kemahirannya meletakkan kenderaan pada ruang sempit berukuran 33 sentimeter yang diapit dua buah kereta di kiri dan kanan membolehkan dia memecah rekod dunia.
Setakat ini, lelaki yang mudah tersenyum ini telah melakukan lebih 8,000 pertunjukan aksi ngeri menggunakan kereta di 50 buah negara termasuk Malaysia, Indonesia dan Perancis.
Pelbagai kenderaan digunakan termasuk jenis Mini Cooper, Peugeot, Vauxhalls, Nissan Land Rovers malah lori seberat 13 tan.
Kru Jurnal berkesempatan menemu bual lelaki ini semasa Pameran Motor Antarabangsa Indonesia 2012 yang berlangsung di Jakarta, Indonesia bulan lalu.
Walaupun sudah berusia lebih separuh abad, angka itu gagal menghalangnya daripada mempamerkan aksi yang mengagumkan.
Tenaganya masih panas manakala pergerakannya mungkin lebih pantas berbanding sesetengah orang muda.
Rumah
“Walaupun terlibat dalam sukan ini sejak remaja, saya jarang memandu kereta apabila keluar rumah. Selalunya teman wanita saya, Jean yang memandu.
“Saya cuma duduk di tempat duduk penumpang sambil memerhati Jane memandu,” katanya.
Menurut Russ, itu bagi mengelakkan dirinya melakukan aksi lagak ngeri secara terbuka dan tiba-tiba jika dia memandu sendiri kereta berkenaan.
“Takut juga jika saya tiba-tiba pandu kereta dengan hanya dua tayar, pasti ramai yang akan terkejut. Saya perlu berehat secukupnya sebelum membuat sebarang pertunjukan,” cerita Russ.
Uniknya, dia tidak pernah mengalami kecederaan sepanjang lebih 40 tahun terlibat dalam sukan ekstrem itu.
Russ mendakwa perkataan bersara tidak wujud dalam kamus hidupnya.
“Jika duduk di rumah sahaja saya mudah bosan. Umur 61 tahun bukan penamat kerjaya seseorang.
“Saya muda lagi. Teknologi kereta juga mengalami perubahan yang agak signifikan setiap hari,” ujarnya.
Penggemar minuman kopi ini setakat ini memegang tiga rekod dunia iaitu berjaya meletakkan kereta di sudut sukar dan membuat pusingan J, selain melakukan pusingan 360 darjah terpantas.
![]() |
|
RUSS SWIFT
|
Pitam
Tidak cukup sekadar berbual sekiranya tidak merasai sendiri aksi lagak ngeri Russ.
Kru Jurnal berpeluang menaiki kereta Subaru yang turut dinaiki tiga penumpang lain termasuk penumpang yang duduk di sebelah Russ di bahagian hadapan.
Pada mulanya, dia hanya memandu perlahan sebelum membuat aksi kereta itu berjalan dengan dua tayar selama beberapa minit.
Aksi itu ternyata menyebabkan adrenalin penumpang memuncak. Kepala pula terasa berpusing.
Bukan sekadar itu, lelaki yang kadangkala berkelakuan agak pelik ini juga membuat pusingan 360 darjah selama lebih kurang lima minit.
Minatnya terhadap aksi ngeri menggunakan kereta turut dikongsi anak lelakinya. Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.
Paul Swift mengikut jejak langkah bapanya dalam sukan bermotor itu.
Malah, Paul sudah terlibat sejak umur tujuh tahun lagi.
Aksinya memandu kereta dengan dua tayar mampu memikat sesiapa sahaja yang menontonnya.
Katanya, dia mengikut jejak ayahnya dengan mengadakan latihan di laman rumah keluarganya di Britain.
“Ayah saya berkata, sekiranya boleh memandu kereta dengan dua tayar sahaja dia akan membuat kereta lumba untuk saya.
“Ternyata saya berjaya melakukannya,” ujarnya.
Dia pernah memenangi British Autotest Championship sebelum menumpukan sepenuh perhatian menjadi pemandu aksi ngeri.
Kini, Paul membuat aksi di seluruh dunia selain menjadi pemandu uji kereta baharu untuk rancangan televisyen permotoran, Top Gear.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: