
BARISAN peserta MLM 2012 yang akan berentap bermula 16 November ini menerusi saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).
PROGRAM pencarian pelawak terunggul di rantau Asia Tenggara, Maharaja Lawak Mega atau MLM yang masuk musim kedua cuba membuat kelainan dengan menampilkan pula pelawak-pelawak veteran yang tidak pernah menyertai pertandingan itu sebelum ini.
Selain juara pertandingan akan membawa pulang sebanyak RM500,000 berbanding RM300,000 pada tahun lepas, beberapa pertukaran kumpulan dan muka baharu ditonjolkan pada musim kali ini.
Kumpulan Dadidu misalnya, menampilkan pelawak veteran AR Badul yang disertai pelawak dari Singapura, Arif Sudin dan Bobo.
Kesemua mereka termasuk AR Badul yang berasal daripada Singapura akan memberi saingan kepada para pelawak baharu kali ini.
AR Badul atau nama sebenarnya, Armaya Aman Ramlie, 62, ketika ditemui pada majlis sidang program MLM 2012 di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini berkata, walaupun paling senior dalam program tersebut, dia merasakan seperti orang baharu.
“Saya dan kumpulan Dadidu terpanggil untuk menyertai program ini kerana merasakan ia juga gelanggang kami yang sememangnya golongan pelawak. Tiada istilah lama atau baharu, kami semua sama,” jelasnya.
Badul menambah, dia merasakan satu penghormatan apabila ditawarkan sebagai kumpulan jemputan kerana sebelum ini hanya melihat program berkenaan di kaca televisyen sahaja.
“Saya mahu beri saingan kepada kumpulan jemputan negara lain dan bukan hanya menyaingi kepada kumpulan tempatan,” ujarnya yang pernah menjadi juri program Raja Lawak musim pertama.
Sementara itu, kumpulan Boboi yang dianggotai oleh Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik bakal tampil dengan ahli baharu mereka iaitu Nabil yang sebelum ini tampil solo dalam MLM musim pertama.
Kata Nabil, dia menyertai Boboi kerana merasakan adalah terlalu sukar untuk membuat lawak setiap minggu secara solo.
“Saya rasa dapat pergi jauh dengan menyertai Boboi,” ujarnya yang pertama kali bersama Boboi dalam pementasan Lawak Ke Der 2 di Istana Budaya baru-baru ini.

KUMPULAN Saywho yang terdiri
daripada Eko, Bocil dan Vicha juga mahu mencuba nasib merebut gelaran
juara MLM 2012, sekali gus membawa pulang habuan RM500,000.
Satu lagi kelainan pada musim kali ini ialah apabila salah seorang anggota Osbon yang menjuarai Raja Lawak Mega musim pertama iaitu Abon kini bersama Sathia muncul dengan kumpulan baharunya yang dikenali sebagai Sabon.
Kata Abon, Osbon yang turut dianggotai Mr. Os tidak menyertai program itu kerana kumpulan itu pernah menjadi juara Raja Lawak Mega musim pertama.
Abon juga menafikan wujud masalah antara dia dan Os.
“Tidak wujud sebarang permasalahan antara saya dan Os. Sabon muncul untuk buat kelainan dan saya tiada masalah bersama Sathia kerana kami sudah kenal lebih 20 tahun,” jelasnya.
Boboi, Dadidu dan Sabon bakal bersaing dengan tujuh buah kumpulan pelawak tempatan lain iaitu Pimai (Imuda dan Mat Over), Jozan (Johan dan Zizan), Jambu (Taukeh dan Yus), R2 (Rahim dan Wan Lopez), Shiro (Shahrol dan Ajak).
Mereka akan turut menerima saingan daripada kumpulan jemputan luar negara, masing-masing dari Indonesia dan Filipina iaitu The Bandung Jokers (Dodon, Amin dan Aman) dan Saywho (Eko, Bocil dan Vicha).
Tiga kumpulan lain yang telah memenangi peluang yang dikenali sebadengan istilah ‘kerusi panas’ baru-baru ini iaitu Balas, Kecik dan Mamu pula akan menyertai sebuah lagi pertandingan pada 14 November ini bagi menempatkan diri mereka dalam kalangan 10 kumpulan terpilih.
Sementara itu, menurut Pengurus Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani, program itu masih mengekalkan sistem pemarkahan juri sebanyak 70 peratus dan selebihnya undian penonton.
“Juri tetap pula akan ada empat orang yang dirahsiakan sehingga program berkenaan, tetapi dua dari negara ini dan dua lagi masing-masing dari Indonesia dan Singapura,” ujarnya.
MLM 2012 akan bersiaran secara langsung bermula 16 November ini, pada setiap Jumaat di saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).
Ia akan di adakan Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam, Selangor.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: