Wednesday, October 24, 2012

Michael Bolton bikin kejutan




MENGUNGKAPKAN kata-kata terima kasih dalam bahasa Melayu ketika tampil di pentas Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) baru-baru ini, dia meraih tepukan gemuruh hampir 3,000 peminatnya.
Penyanyi tersohor Amerika Syarikat, Michael Bolton, 59, muncul untuk persembahan konsertnya, Live In Kuala Lumpur Sabtu lalu, selepas kali terakhir mengadakan konsert jelajahnya di Malaysia pada tahun 2005 iaitu di Genting Highlands.
Dia juga pada tahun lepas, telah hadir ke negara ini atas jemputan penyanyi dan komposer terkenal David Foster untuk konsert jelajah Asia yang telah berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Kali ini dia tampil sekali lagi di Malaysia, dibawa oleh JS Concert and Fatboys.
Walaupun konsert itu bermula agak lewat - kira-kira 45 minit daripada waktu ia dijadualkan sepatutnya bermula iaitu pada pukul 8.30 malam, Bolton bijak berjenaka ‘memujuk’ para pengunjung konsertnya itu.
Kata Bolton, kelewatannya itu disebabkan trafik yang teruk berdekatan KLCC menjelang malam.
“Saya sudah beberapa kali datang ke sini (Kuala Lumpur), sepatutnya sudah arif dengan trafik perlahan sekitar kawasan ini. Kalau pemandu cakap akan sampai 10 minit lagi nampaknya saya akan terlewat,” jelasnya.
Memulakan persembahan dengan lagu klasiknya, To Love Somebody dengan diiringi petikan gitarnya sendiri, dia mula membuatkan peminatnya tidak senang duduk.
Dia seterusnya menyanyikan barisan lagu hit dirinya seperti Said I Loved You..But I Lied dan Said I Love You, How Can We Be Lovers sambil menyanyi bersama-sama hadirin.
Dalam pada itu, Bolton yang beberapa kali melemparkan pemetik gitarnya kepada hadirin setiap kali selesai bermain gitar juga berkata, dia mahu semua yang menyaksikan persembahannya membuat bising.
“Saya tahu anda semua mahu menyanyi dengan saya, ambil sebanyak mana gambar yang boleh walaupun diberitahu tidak boleh berbuat demikian,” ujarnya berjenaka.
Pemenang dua Aanugerah Grammy dan enam Anugerah American Music ini juga menjanjikan pada malam itu dia akan menyanyikan lagu-lagu popularnya dan mengimbas kembali nostalgia kegemilangan yang pernah dicapainya pada era tahun 1980-an hingga 1990-an.
Konsert Bolton di Kuala Lumpur kali ini turut diiringi enam pemuzik termasuk pemain saksafon, Michael Lington dan penyanyi, Kelly Levesque.
Lington muncul bermain saksafon untuk lagu hit miliknya, You And I ketika Bolton berehat seketika.
Bolton seterusnya muncul berduet bersama Levesque menerusi lagu Make You Feel My Love, Somewhere Over The Rainbow dan single yang telah terjual lebih 12 juta unit di seluruh dunia, How Am I Supposed To Live Without You.
Suasana selepas itu menjadi sedikit emosi apabila Bolton turut berkongsi perasaannya menerusi pengalamannya yang berpeluang menyanyi bersama penyanyi soprano legenda Itali, Luciano Pavarotti.
“Dia (Luciano Pavarotti) seorang yang sangat merendah diri. Saya cukup berbangga berpeluang menyanyi bersamanya,” ujar Bolton turut mengalunkan lagu Itali berjudul Nessen Dorma.
Selepas menikmati nyanyian lagu-lagu medley oleh Kelly Levesque ketika Bolton sekali lagi berehat, pengunjung konsert tersebut tergamam apabila Bolton tiba-tiba muncul dengan membuat kejutan sambil menyanyikan lagu When A Man Love A Women di tengah-tengah dewan yang gelap-gelita sewaktu semua lampu dipadamkan.
Ketika itu para peminat wanita turut mengambil kesempatan untuk bergambar dengannya walaupun Bolton dikelilingi beberapa pengawal peribadi.
Dia juga kelihatan begitu teruja melayan hadirin yang ingin bersalam dengan dirinya walaupun mempunyai waktu agak terhad.
Persembahan hampir dua jam oleh Bolton itu turut dihadiri oleh penyanyi tempatan Anuar Zain.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: