Yusry Abu Samah
Dua dari kiri, Yusry bersama penyampai dan pihak Sajimee
BERITA gembira buat pencinta muzik tempatan, stesen radio Suria FM bakal menganjurkan pertandingan Sajimee Band Clash Bersama SuriaFM Layan Habis khas buat penuntut institut pengajian tinggi (IPT).
Pertandingan bermula pada 20 Oktober ini, kali ketiga dianjurkan stesen radio tersebut.
Timbalan Ketua Pegawai Operasinya, Yusry Abu Samah berkata, tujuan utama pertandingan untuk mengetengahkan kebolehan dan bakat pelajar meminati bidang muzik.
“Sebelum ini kami berjaya melahirkan dan mengetengahkan beberapa bakat baru seperti Nastia dan Kekabu menerusi penganjuran pertandingan terdahulu dan mereka memiliki kelebihan tersendiri.
“Saya percaya kehadiran bakat baru seperti ini berupaya mewarnai industri muzik tanah air. Saya juga berharap pelajar dapat mengambil peluang yang ada menyertai pertandingan ini untuk ketengahkan bakat mereka,” ujarnya. Tambahnya, pertandingan ini akan dimulakan dengan sesi uji bakat yang akan dijalankan di pusat membeli-belah AE ON Bukit Raja Klang pada 20 Oktober depan, diikuti Kuantan Parade (3 November), Alor Star Mall (10 November) dan Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang (17 November).
Menariknya, pertandingan ini menawarkan hadiah lumayan iaitu kumpulan yang memenangi tempat pertama akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM10,000, diikuti dengan tempat kedua (RM5,000) dan ketiga sebanyak (RM3,000).
“Antara cabaran hebat perlu dilakukan peserta pada peringkat itu adalah mereka perlu reka lagu khas produk Sajimee untuk diiklankan di radio dan dua band berjaya menghasilkan lagu kreatif akan layak ke peringkat akhir,” katanya.
Pertandingan ini terbuka buat semua penuntut IPT yang berkewarganegaraan Malaysia dan pendaftaran boleh dibuat terus di lokasi pertandingan dijalankan.