Sunday, October 14, 2012

'Mak diva nyah' - Zaiton Sameon


KEHIDUPAN penuh ranjau Zaiton Sameon selepas terlibat dengan kemalangan ngeri 20 tahun lalu diadaptasi dalam filem Zaiton Ceritaku.


PUNCAK kegemilangan diva bernama Zaiton Sameon musnah dalam sekelip mata setelah direntap tragedi ngeri kemalangan jalan raya yang menyaksikan anak lelaki tunggalnya, Azirwan Abu Bakar, meninggal dunia.
Lebih 20 tahun peristiwa berlalu, Zaiton yang hilang separuh daripada kehidupannya itu bagaimanapun berjalan dan terus berjalan. Terkadang tersadung, merangkak, menangis waima dipandang sinis, dia sudah kalis dengan mendung hitam yang menjadi takdirnya. Kisah Zaiton sudah beratus bahkan mungkin beribu kali bermain di bibir ramai.
Hari ini, wanita berumur 55 tahun itu terus menjadi bahan cerita dalam industri. Soal kesiuman dan kecintaannya untuk terus menyanyi, ada terzahir dalam sebuah filem biografi, Zaiton Ceritaku.
Filem itu sebahagian daripada terjemahan terhadap laluan kelam yang dijalani penyanyi lagu Menaruh Harapan itu. Biarpun tidak diberi gambaran penuh, wajah Zaiton sebagai wanita yang berdepan hilang separuh daripada kewarasan fikiran itu dilakonkan semula oleh pendatang baharu, Nadia Aqilah Bajuri.
Simpati untuk Zaiton kembali terungkit. Sebagai individu yang menjadi bahan pengkisahan, Zaiton sendiri berbesar jiwa kerana ada pihak sanggup bertaruh belanja besar untuk mengangkat kisahnya menjadi filem. Dalam masa yang sama, gambaran sisi kurang siuman; menyanyi bersama penjaja durian serta berlari masuk ke majlis kenduri kahwin untuk menyanyi dalam filem, itu dianggapnya sebagai gambaran yang berlebihan.
"Saya tak buat perkara-perkara begitu, tolonglah. Saya masih normal. Tapi saya sendiri tak ingat sangat apa yang berlaku dahulu. Semua cerita itu mungkin diberitahu oleh Shahril (adiknya) dan Rahim (pengurusnya), lagipun saya tiada semasa proses penghasilan skrip.
"Saya sudah menandatangani kontrak, apa-apapun saya kena terima. Keseluruhannya, saya puas hati. Saya tak mahu perihal adik-beradik dan keluarga diceritakan lebih-lebih, saya tak nak apa yang melibatkan maruah orang, saya tak mahu cerita, tapi apa yang terlepas dalam filem itu, biarlah," katanya yang ingat-ingat lupa sejak ditimpa musibah dahulu.
Mengakui tersentak dan menangis kerana dipertontonkan gambar anaknya Irwan di hujung cerita, Zaiton bagaimanapun mengakui hidupnya kini bahagia di samping anak angkatnya.
"Saya juga bukan penyebab kematian ibu saya. Dia tidak jatuh dalam bilik air sebaliknya (ibu) terkena strok. Dua tahun juga saya sempat menjaganya sebelum dia meninggal dunia, bukan seperti yang digambarkan dalam filem ini," cerita Zaiton.
Sebagai insan seni yang diraikan dalam filem terbitan Bruang Filem Sdn. Bhd. itu, Zaiton juga ceria sepanjang majlis pratonton dan sidang media yang berlangsung.
Sesekali dia berbahasa Inggeris kemudian membuat jenaka kerana berbahasa Inggeris ketika menjawab soalan-soalan media, kemunculan Zaiton sedikit sebanyak mengembalikan dia ke zaman kegemilangannya dahulu.
"Mak diva nyah, mak tetap top nyah," ungkap Zaiton memecah tawa sekelian wartawan yang tidak melepaskan peluang mendekati dirinya.
Secara spontan, Zaiton berkira-kira mahu melancarkan album terkininya yang mengandungi sembilan buah lagu baharu.
"Antara lagu yang dijangka hit ialah Terimalah Aku," katanya yang turut berpuas hati dengan lakonan Nadia Aqilah yang membawa karakternya dalam filem yang yang bakal memasuki panggung 1 November nanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: