Monday, October 1, 2012

Mahu program sendiri



TUBUH yang genit dan sering terlibat dalam program kanak-kanak menyebabkan pelakon yang lebih dikenali sebagai pengacara Zoey sering disangka masih remaja walhal umur sebenarnya sudah mencecah angka 27 tahun. Lima tahun terlibat dalam program kanak-kanak, bekas pengacara program Gerak Geri Asing itu mahu sesuatu yang lebih mencabar buat dirinya.
Bukan enggan terlibat langsung dengan program kanak-kanak, tetapi ujar pemilik nama sebenar Mohd. Hairey Azhar Abd. Rahman jika boleh dia mahu menjadi seorang pengacara yang versatil dan mengikis imejnya sebagai pengacara program kanak-kanak sahaja.
"Saya terima sahaja rezeki yang datang pada saya. Memang tidak dapat dinafikan saya suka bersama kanak-kanak kerana mereka semua sangat jujur dan saya juga seronok ketika mengacarakan program kanak-kanak, tetapi sampai bila?
"Umur saya semakin meningkat, tidak mungkin selamanya saya ingin dipandang sebagai pengacara program kanak-kanak sahaja. Tahun ini saya sudah 27 tahun, jika boleh saya mahu juga menjadi pengacara program yang lebih mencabar diri," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran program Rekativiti di kilang alat tulis, Faber Castell di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.
Tegasnya lagi, dia juga menyimpan impian untuk mempunyai program kendaliannya sendiri suatu hari nanti atau menjadi pengacara kepada sebuah program yang benar-benar menguji kemampuan dirinya.
"Selain menjadi pengacara program kanak-kanak, saya ada juga mengacara beberapa buah program remaja dan juga berlakon dalam drama seperti Friday I'm In Love dan filem Tanda Putera, tetapi saya tidak tahu di mana silapnya, imej sebagai pengacara kanak-kanak itu lebih kuat.
"Kalau boleh pada masa depan saya teringin untuk mengendalikan sebuah program bual bicara sendiri. Bagi saya itu klimaks kerjaya seorang pengacara kerana bukan mudah untuk mendapat kepercayaan produksi dan penonton," balasnya.
Bukan itu sahaja, disebabkan wajahnya tampak lebih muda daripada usia sebenarnya menyebabkan dia sering sahaja diberi watak budak sekolah atau remaja belasan tahun apabila terlibat dalam drama.
ZOEY dan Elfira masing-masing mempunyai impian besar dalam bidang seni. Mereka mahu membina reputasi yang baik sebagai pengacara juga pelakon.


"Teringin juga bawa watak yang lebih matang sesuai dengan usia saya tetapi setakat hari ini saya belum diberi peluang oleh penerbit, bimbang juga penonton bosan melihat saya bawa watak yang sama berulang kali. Ada juga yang menyoal kenapa saya tidak tua-tua dan ada yang sangka saya masih remaja tetapi apabila diberitahu usia sebenar ramai yang terkejut.
"Mungkin sudah rezeki. Jika difikir positif, bagus juga saya kelihatan muda sentiasa tetapi dalam hati saya meronta-ronta ingin melakukan sesuatu yang lebih serius. Sampai bila saya mahu bawa watak budak sekolah atau remaja kolej? Saya sendiri pun bosan, tetapi jika jalan ceritanya berbeza dan menarik, rezeki jangan ditolak," ucapnya dalam senyuman.
Pereka Hiasan Dalaman
Jejaka kelahiran Terengganu itu mengakui, tawaran lakonan yang datang kepadanya tidak sebanyak pelakon popular yang lain, bagaimanapun tidak bermakna jadual hariannya tidak padat.
Kata Zoey, ramai yang tidak tahu, selain berlakon dan menjadi pengacara, dia juga merupakan seorang pereka kanan di syarikat hiasan dalaman milik abangnya, Calista Design Sdn. Bhd. yang beribu pejabat di Bandar Bukit Jalil sejak empat tahun yang lalu.
"Jika saya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti seni, masa saya akan dihabiskan di pejabat dan membuat rekaan untuk hiasan dalaman rumah serta pejabat. Memang ramai yang tidak tahu saya mempunyai pekerjaan lain, tetapi sebagai selebriti saya harus menyediakan payung sebelum hujan, jika kerja dalam bidang seni, ia tidak bertahan lama.
"Bidang hiasan dalaman pula bukan paksaan keluarga atau sesiapa sebaliknya kerana minat yang tinggi serta saya sendiri belajar bidang tersebut ketika menuntut di kolej dahulu. Bagi saya apa salahnya bekerja dengan keluarga sendiri, rasanya lebih baik daripada bekerja dengan orang lain. Jadual lebih fleksibel sesuai dengan saya yang mempunyai dua pekerjaan serentak," tuturnya.
Luah anak keempat daripada lima beradik itu, selain perniagaan hiasan dalaman, dia juga bakal membuka sebuah restoran di kampung halamannya di Besut, Terengganu tidak lama lagi.
"Restoran di Besut itu merupakan perniagaan keluarga dan satu kebanggaan buat saya apabila dapat membuka perniagaan di negeri kelahiran sendiri. Selepas ini, saya pasti akan sibuk berulang-alik antara Kuala Lumpur dan Terengganu," katanya yang seronok mempunyai perniagaan sendiri.
TERKENAL dengan imej ceria dan bertubuh kecil, Zoey dan Elfira kerap menjadi pilihan penerbit untuk mengacara program kanak-kanak.


Elfira semakin berani
Aktres kecil molek, Elfira Loy atau nama sebenarnya Nurul Elfira Loy cukup dikenali sebagai pelakon. Lihat deretan drama lakonannya yang mendapat penonton seperti drama Qalesya dan juga telefilem Biar Mimpi Sampai Ke Bintang, cukup berkesan sehingga menaikkan graf popularitinya.
Disebabkan itu, Elfira yang bermula sebagai pelakon teater telah dipilih sebagai duta produk Maybelline. Sungguhpun begitu, bidang pengacaraan sangat jauh berbeza dengan kerjayanya sebagai pelakon. Kata Elfira, dia cukup bimbang untuk menerima tawaran Astro sebagai pengacara program Rekativiti.
"Mulanya saya agak bimbang dan gementar. Boleh atau tidak saya lakukan, memang sebelum ini pernah menjadi pengacara program kanak-kanak tetapi itu sudah lama. Namun, apabila mendengar pengacara gandingan saya adalah Zoey, saya terus setuju kerana tahu yang kami serasi.
"Zoey mempunyai lebih pengalaman dan dia banyak membantu saya mengurangkan perasaan gementar. Lama-kelamaan timbul rasa seronok pula dalam hati sebab menjadi pengacara dan pelakon merupakan dua perkara yang berbeza kerana kami bekerja tidak terlalu mengikut skrip sebaliknya berdasarkan situasi," balas anak kedua daripada empat beradik itu.
Disoal mungkinkah selepas ini, Elfira akan lebih terbuka untuk menerima tawaran sebagai pengacara selepas meraih pengalaman daripada program Rekativiti?
Jawabnya: "Ya, mungkin, jika program itu sesuai dengan saya. Program yang berat-berat mungkin tidak sesuai dengan saya kerana usia saya yang masih muda, tetapi jika diberi peluang untuk saya mengendalikan sebuah program remaja, mungkin boleh. Program Rekativiti merupakan permulaan yang baik buat saya untuk menonjolkan bakat dalam bidang pengacaraan,"
Sambungnya lagi yang bakal muncul dalam filem KL Meroyan, dia juga bimbang akan menghadapi masalah yang sama dengan Zoey iaitu sentiasa diberi watak remaja disebabkan tubuh badannya yang genit.
"Bimbang juga jika saya menghadapi masalah yang sama dengan Zoey, tapi sekarang ini saya okey lagi kerana umur baru 18 tahun. Lima tahun akan datang saya, tidak tahu bagaimana penerimaan orang ramai, sebenarnya seronok sebab orang sangka saya muda sentiasa.
"Apa yang tidak seronoknya, kita akan diberi watak yang sama. Saiz badan saya memang kecil, baju pun saiz paling kecil, jadi orang selalu sangka saya masih budak sekolah sedangkan sudah meninggalkan alam persekolahan," ujarnya yang kini sedang menyambung pelajaran peringkat diploma dalam bidang Seni Hiburan di Kolej Damansara Utama.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: