Saturday, October 6, 2012

Liverpool bukan sekadar kota bola sepak


NIKMATI alunan muzik The Beatles yang didendangkan oleh beberapa kumpulan di Cavern Club.


SECAWAN kopi yang dipesan sudah sedia terhidang di atas meja di kafe Costa. Ia memberikan semerbak aroma kopi yang segar pada awal pagi.
Walaupun sebelum itu, penulis perlu berjalan kaki hampir satu kilometer dari Hotel Radisson Blu ke Albert Dock, namun tiada yang lebih berbaloi pada saat kedinginan pagi di kota Liverpool, sambil meneguk secawan kopi panas, mata dihidangkan dengan panorama yang memukau.
Itulah kompleks pelabuhan kapal yang diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai Taman Warisan Dunia dikenali Bandar Maritim Ekonomi Liverpool.
Albert Dock terdiri daripada kompleks bangunan batu-bata merah yang direka berbentuk segi empat bagi mengepung kawasan pantai membentuk dok tertutup untuk kapal berlabuh.
Bangunan merah yang tersergam indah, kapal-kapal yang berlabuh di depan dok dan burung-burung camar yang berterbangan di pesisir laut memberikan panorama yang cukup mendamaikan jiwa.
Itulah hakikatnya untuk menggambarkan suasana sebenar Liverpool. Pernah mencapai kegemilangan pada abad ke-18 sebagai sebuah pelabuhan utama di England, hari ini ekonomi Liverpool lebih banyak dipacu oleh sektor perkhidmatan sekali gus memberikan gaya hidup lebih santai penghuninya.
Selain sektor perkhidmatan, satu lagi penggerak ekonomi Liverpool ialah pelancongan dan percutian rekreasi.
Di padang Anfield
Atas sebab itu jugalah penulis menjejakkan kaki ke bumi Liverpool Mei lalu. Penulis antara jutaan pelancong yang berkunjung ke Liverpool disebabkan pasukan bola sepaknya.
Bagaimanapun, penulis ke sana bukanlah untuk membuat laporan khusus pasukan Liverpool, sebaliknya dijemput syarikat perbankan Standard Chartered untuk membuat liputan Piala Standard Chartered 2012 yang dilangsungkan di Stadium Anfield.
Penulis turut ditemani Pengurus Kanan Bahagian Perhubungan Korporat Standard Chartered Malaysia, Ahmad Ridzuan Samsudin (Reed) selain enam pemain bola sepak yang juga kakitangan Standard Chartered Malaysia.

ZULEZWAN (kiri) bersama rakan serumahnya sempat menyediakan hidangan makan malam untuk penulis.


Masa selama empat hari sememangnya banyak masa kami habiskan di Akademi Liverpool dan Stadium Anfield.
Penulis dan rakan rombongan berpeluang dua kali berada di Anfield. Pertama semasa menyaksikan perlawanan Liverpool dengan Chelsea, manakala keduanya ketika kejohanan Piala Standard Chartered 2012 yang melibatkan 10 buah negara.
Tiada kata dapat penulis ucapkan semasa berada di Anfield. Apatah lagi saat dapat memijak rumput dan menendang bola di padang Anfield, sedangkan pada awalnya penulis dihalang berbuat demikian. Terima kasih Reed atas bantuan meloloskan penulis ke padang.
Dalam kesibukan tugas itu, penulis sempat juga mencuri masa terluang untuk menikmati sedikit sebanyak inti pati penting pelancongan Liverpool.
Ikon Liverpool
Selain Albert Dock dan kawasan sekitarnya yang menjadi lokasi wajib pelancong saat ke Liverpool, saat di kota itu, panjangkan kaki anda ke kawasan beli-belah dikenali Liverpool One.
Di Liverpool One keseronokan membeli-belah bagaikan tiada penghujungnya, apatah lagi sekiranya anda seorang pencinta pasukan bola sepak Liverpool dan Everton. Selain butik khas kedua-dua pasukan itu, percaya atau tidak kami menghabiskan masa hampir tiga jam di SportDirect.com untuk mencari jersi, barangan cenderamata sehinggalah beberapa biji bola.
Bagaimanapun, sekiranya anda ingin mencari cenderamata khas Liverpool seperti rantai kunci, baju T atau magnet peti sejuk lebih baik anda membeli-belah di kedai sekitar Albert Dock kerana harganya lebih murah.
Selain itu, mungkin ramai yang tidak mengetahui Liverpool adalah kota kelahiran kumpulan termasyhur dunia, The Beatles.
Atas sebab itulah, penulis dan Reed tidak melepaskan peluang memanjangkan kaki ke Mathew Street yang menempatkan Cavern Club iaitu sebuah kelab yang didedikasikan khas untuk The Beatles.
Di sana kami menikmati sepuas-puasnya muzik The Beatles.

ENAM kakitangan Standard Chartered Malaysia yang mewakili syarikat itu sedang memanaskan badan di Anfield.


Bercerita mengenai ikonik, satu lagi kisah yang tidak boleh dipisahkan dengan Liverpool ialah Titanic.
Walaupun Titanic berlepas dari pelabuhan di Southampton ke New York pada April 1912, namun kapal tersebut sebenarnya didaftarkan di Liverpool.
Malah, hampir kebanyakan kru kapal, jurutera sehinggalah pemuzik di atas Titanic berasal dari Liverpool.
Satu lagi tarikan terbaharu Liverpool yang diciptakan pada tahun 1998 dikenali sebagai Superlambanana. Ia merupakan arca seni yang dicipta oleh seorang artis Taro Cheizo menggabungkan buah pisang dengan biri-biri.
Ia simbolik kepada komoditi terpenting Liverpool semasa zaman perdagangan dahulu iaitu pisang dan biri-biri.
Arca Superlambana boleh dilihat di beberapa lokasi di sekitar Liverpool termasuk salah satu arca terbesarnya dengan ketinggian 17 kaki (5.2 meter) di depan Perpustakaan Universiti John Moores Liverpool.
Menambahkan lagi kemanisan saat menjadi tetamu di Liverpool apabila dapat bertemu dengan salah seorang sahabat baik penulis, Zulezwan Ab. Malik yang kini sedang melanjutkan pelajarannya dalam bidang Sains Sukan dan Senaman di Universiti John Moores Liverpool.
Bahkan, kesempatan melawat kediamannya dengan beberapa pelajar dari Malaysia di London Road sangat menyeronokkan.
Ternyata, empat hari bertugas di Liverpool sambil mencuri-curi masa menjelajah isi kota itu sememangnya tidak mencukupi. Liverpool yang sarat dengan bangunan penuh estetika seni bina pasti menggamit penulis untuk menjelajahnya lagi satu hari nanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: