
PENGERUSI Jawatankuasa Penganjur AIM
19, Rosmin Hashim (empat dari kiri) bergambar dengan barisan juri dan
tulang belakang ahli Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) pada
sidang akhbar AIM 19 di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur baru-baru ini.
KESAN kesilapan tahun lalu, Anugerah Industri Muzik 19 tahun ini terkena badinya. Bukan saja kurang sokongan daripada sudut penyertaan penggiat seni tanah air, malah juga sokongan daripada pihak penaja.
Anugerah yang akan mempertandingkan lagu-lagu pengkarya tempatan sepanjang bulan Julai 2011 hingga Jun 2012 itu secara puratanya didominasi oleh calon penyanyi yang sama dalam beberapa kategori seperti Yuna, Jaclyn Victor, Stacy, Nora dan band Hujan.
Faktanya, enam pencalonan daripada Yuna tercalon dalam lima kategori iaitu Kulit Album Terbaik, Video Muzik Terbaik, Lagu Pop Terbaik, Lagu Inggeris Tempatan Terbaik (dua pencalonan) dan Susunan Muzik Terbaik Dalam Lagu.
Begitu juga Jac yang tercalon dengan jumlah yang sama menerusi kategori Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu Wanita (dua pencalonan), Lagu Pop Terbaik (dua pencalonan), Lagu Inggeris Tempatan Terbaik dan Susunan Muzik Terbaik Dalam Lagu.
Paling mencuri tumpuan adalah pencalonan dalam kategori Lagu Pop Etnik Terbaik yang kelima-lima lagu didominasi oleh ratu pop etnik Malaysia, Noraniza Idris menerusi lagu Endang Endong Cintaku Satu, Hari Demi Hari, Kuasa Cinta, Mahligai dan Menarik Hati.
Itu tidak menjadi hal kerana biarpun penyanyi yang sama tersenarai lima lagu terbaik dalam satu kategori, penilaian akan dibuat berdasarkan komposer atau penulis lirik.
Popular atau kualiti
Jelas sekali jika diteliti, tiada nama penyanyi popular semasa tempatan yang menghiasi carta lima terbaik setiap kategori. Ke mana hilangnya Aizat, Alyah, Hafiz, Anuar Zain dan mungkin Najwa Latif?
Menjawab persoalan yang timbul ekoran tiada pencalonan penyanyi-penyanyi terkenal dan lagu-lagu popular sepanjang tempoh setahun ke belakang, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM 19, Rosmin Hashim tampil memberikan jawapan.
“Prinsip AIM sejak dari dahulu lagi adalah memartabatkan produk-produk tempatan yang bukan berlandaskan populariti semata-mata. AIM bukan berunsurkan komersial sebaliknya kualiti sesebuah rakaman lagi.
“Ini bukan anugerah berasaskan populariti, sebaliknya hasil kerja. Mungkin lagu-lagu lain selain yang tercalon ini tidak menepati kriteria yang telah ditetapkan tapi tidak bermakna lagu itu tidak bagus,” katanya yang ditemui ketika majlis sidang akhbar AIM 19 di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Kembali meneliti beberapa pencalonan, terkandung nama penyanyi dan kumpulan yang diketahui umum bukan warganegara Malaysia. Hal status kerakyatan kembali menjadi isu.
“Calon tidak semestinya warganegara Malaysia untuk melayakkan seseorang itu bertanding dalam AIM, sebaliknya mereka yang memiliki kerakyatan luar, tetapi menandatangani kontrak bersama syarikat rakaman tempatan yang bernaung di bawah Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) boleh bertanding dalam AIM,” ujarnya menjawab kesahihan penyertaan Stephen Rahman Hughes dan kumpulan duo Sleeq.
Sementara itu, Rosmin menegaskan bahawa syarat lagu yang dipertandingkan sebenarnya mengikut tarikh kod nada lagu (dalam format digital) dikeluarkan dan bukanlah berdasarkan tarikh sesebuah lagu itu disiarkan di radio.
Pencalonan hambar
Cuba mengembalikan maruah yang tercalar akibat kesalahan pengiraan tahun lalu, firma audit Ernst & Young digantikan dengan KPMG dan Macomm Management Sdn. Bhd. sebagai firma profesional penyeliaan anugerah.
Malah seramai 57 orang juri profesional terdiri daripada komposer, penulis lirik, artis, penerbit album, jurutera bunyi dan penerbit kulit album dilantik sepanjang proses penghakiman 465 pencalonan untuk AIM 19.
Antaranya Datuk M.Nasir, Afdlin Shauki, Aylwin Santiago, Edrie Hashim, Edry KRU, Helen Yap, Ghaz Abu Bakar, Buddhi Hekayat, Pak Ngah Suhaimi, Syafinaz dan Adnan Abu Hassan selaku ketua juri.
Kata Adnan, dia akan berusaha memastikan keputusan yang telus dan tidak akan timbul sebarang pertikaian selepas usai majlis kelak. Adnan bagaimanapun kecewa dengan pencalonan yang diterima tahun ini.
“Perkara yang harus diakui, pencalonan yang diterima tahun ini tidak banyak dan semeriah lima atau enam tahun lalu. Mungkin kebanyakan penyanyi sekarang lebih gemar keluarkan single demi single berbanding album penuh,” getusnya.
AIM 19 akan disiarkan secara langsung dari Stadium Malawati Shah Alam, Selangor bermula pukul 9 malam secara eksklusif di saluran Astro Ria (104) pada 17 November ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: