Sunday, October 14, 2012

Kemunculan semula Nicky Astria


PERTEMUAN antara grup Konspirasi dan Nicky (tengah) menghasilkan sebuah kolaborasi yang padu dan mantap.


PEPATAH lama ada menyebut, untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Pepatah itu sarat makna sebuah kehidupan.
Kemunculan semula Nicky Astria membawa maksud yang besar dalam hidupnya serta penantian semua para peminat penyanyi berasal dari Jakarta ini.
Tujuh tahun menyepi daripada dunia hiburan, tanpa album dan tanpa persembahan. Jujur Nicky memberitahu tentang kemunculannya yang ditemui saat sidang akhbar album terbaharunya, Retrospective yang diadakan di Kafe Opal, Tebet Green, Jakarta Selatan, baru-baru ini. Dia rindukan dunia hiburan tetapi bebas daripada label selebriti.
Tidak munafik
"Saya menjalani kehidupan normal sebagai isteri, ibu dan orang biasa sepanjang tidak melibatkan diri dalam dunia hiburan. Tujuh tahun saya menyepikan diri. Berkahwin dan kini punyai empat orang anak.
"Jujurnya juga saya bukanlah jenis yang bergaul dalam dunia hiburan. Tapi tujuh tahun merupakan tempoh yang lama. Saya rasa perlu penyegaran semula. Akhirnya selepas diizinkan suami, saya keluar dengan album Retrospective," tuturnya tentang album dengan tiga buah lagu baharu.
Buah rindu yang muncul dari tangkai jantungnya juga membuatkan dia kembali berada di atas pentas. Nicky mengaku tidak mahu menjadi munafik.
"Saya tidak mahu munafik, saya rindu. Tapi bukan rindu seperti orang gila. Saya rindu untuk muncul semula kerana didorong oleh banyak pihak," lanjutnya.
Lalu album Retrospective dihulurkan kepada khalayak. Masih di bawah bendera Logiss Record dengan kerjasama Tropic Jaya Sdn. Bhd., penyanyi solo rock yang memiliki suara berciri khas ini menawarkan album yang berisikan 16 lagu terbaik seperti Gelombang Kehidupan, Panggung Sandiwara, Cinta Di Kota Tua, Mengapa, Bias Sinar dan beberapa lagu lain yang merupakan renungan perjalanan karier Nicky.
"Ini album semacam kompilasi karya terbaik, banyak lagu lama tetapi ada tiga lagu baharu iaitu Carry On (Terus Melangkah), Alright, dan I Love You, Babe sebagai sebuah bentuk penyegaran," ucapnya.
Mahu kekal positif
Sekitar 10 buah lagu dinyanyikan secara langsung sewaktu sidang akhbar diadakan. Berlatarbelakangkan pemuzik handalan yang dipanggil Konspirasi, Nicky turut mengundang sang gitaris handalan iaitu Ian Antono untuk memetik gitar akustik.
Ujar Nicky, kali ini dia tampil dengan lirik dan minda lebih positif. Itu merupakan konsep yang mahu dijuangkan dalam diri dan albumnya.
"Ini konsep saya sendiri. Saya terpanggil dan ingin menjadi lebih positif. Setiap individu pasti pernah melalui jatuh dan bangun hidupnya, kan?
"Saya mahu menyuntik elemen positif dalam minda," luah bunga Indonesia yang lahir pada 8 Oktober 1967 tersebut.
Melihatkan tenaga yang masih konsisten serta suara yang masih boleh ditarik seperti zaman mudanya, jelas Nicky dia menjalani gaya hidup sihat.
"Saya tidak minum arak, tidak juga merokok. Saya melalui kehidupan yang sihat," ujarnya yang mengaku hidupnya berjalan seperti air yang mengalir.
Tidak takut tua
Walaupun kelihatan matang, Nicky ternyata masih cantik. Tinggi, 'bergetah' dan yang paling penting punya stamina yang cukup di atas pentas. Itu sudah menunjukkan persediaan beratnya menghadap kembali hidup di sebalik persembahan pentas.
Sewaktu diajukan soalan tentang usia dan waktu tua, Nicky ketawa dan langsung tidak menunjukkan rasa terguris. Sewaktu dia ketawa, garis-garis ketuaan muncul di sudut matanya namun dia tidak menolak hakikat itu.
"Saya sering bergurau dengan kawan-kawan tentang hal tua dan usia. Mengapa harus tersinggung. Walau apa pun, kita akan menghadapi waktu tua. Usia saya kini 45 tahun dan saya mengakuinya," dia kembali senyum dan ketawa cantik.
Sinonim dengan lagu Mengapa ciptaan LY, komposer Malaysia tersebut turut menyumbangkan sebuah lagu buat Nicky yang bertajuk I Love You, Babe.
Pelantun Cinta Di Kota Tua ini menambah bicara dengan menyatakan kembalinya dia ke dalam dunia muzik adalah untuk meramaikan industri namun tidak meletakkan sasaran spesifik.
"Saya pernah di sini sebelum ini. Sekarang rasa senang kerana dapat menyanyi semula. Saya kembali lagi bukan untuk mengejar apa-apa tapi saya untuk berkongsi," tutur penyanyi yang mula berkarya sejak tahun 1984 ini dan mempunyai 17 buah album studio.
"Membuat sebuah album bukan hanya sekadar rekod vokal tetapi kolaborasi rumit antara penyanyi, jurutera bunyi, produser, label hinggalah pengedaran," ulas pemilik nama Nicky Nastitie Karya Dewi ini.
Akhir bicara Nicky, dia sempat berkongsi bahawa dia tidak pernah bercita-cita menjadi seorang penyanyi profesional.
"Saya tidak pernah bercita-cita menjadi penyanyi. Bila waktu saya berhenti atau bermula lagi, seperti yang saya katakan, biarlah dia mengalir sahaja," senyumnya cantik.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: