|
KONSERT Kemuncak Suria FM 2012 yang diadakan di Dataran Putrajaya pada 29 September lalu mendapat sambutan yang cukup hangat apabila dibanjiri kira-kira 30,000 pengunjung.
Menerapkan elemen segar, santai, ceria dan hidangan muzik terbaik, acara yang berlangsung seawal 12 tengah hari itu dipenuhi dengan pelbagai program menarik seperti karnival, pelbagai aneka gerai jualan dan pertandingan karaoke.
Timbalan Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Yusry Abu Samah berkata, sebelum ini sudah berlangsung siri jelajah konsert di empat buah lokasi seperti Perak, Pahang, Selangor dan Johor serta acara kemuncaknya yang diadakan di Putrajaya.
“Secara keseluruhannya pihak Suria FM memang berpuas hati memandangkan konsert kali ini paling meriah berbanding tiga penganjuran yang lepas dengan kehadiran seramai 30,000 orang.
“Mengenai pemilihan lokasi acara yang terus diadakan di Putrajaya buat kali yang keempat, ternyata penganjuran konsert ini terus mendapat perhatian dalam kalangan warga penduduk di sekitar kawasan ini,” ujarnya.
Menurut Yusry lagi, sebelum berlansungnya acara kemuncak, satu konsert mini telah diadakan bermula jam 5 hingga 7 petang dengan menampilkan barisan penyanyi seperti Drama Band, Arrora Salwa, Amir Jahari, Klangit, Aryan Band dan Nadia.
Pada sebelah malam pula kemeriahan acara diteruskan lagi dengan Konsert Kemuncak Suria FM 2012 dan pengunjung dihiburkan dengan persembahan penyanyi popular, antaranya kumpulan Nico, Mojo, Shila Amzah, Aliff Aziz, 6ixth Sense, Jimmy Palikat, One Nation Emcees, Alyah, Ella dan Faizal Tahir.
“Mengenai pemilihan artis yang membuat persembahan pula, kami memilih penyanyi-penyanyi yang popular sekitar tahun 90-an sehingga sekarang, sesuai dengan tema saluran Suria FM yang banyak memutarkan lagu-lagu dalam lingkungan era tersebut,” jelasnya.
Ditanya mengenai aktiviti lain yang akan dianjurkan selepas berakhirnya acara tersebut, Yusry menjelaskan pihaknya sudah merancang untuk mengadakan sebuah lagi konsert yang akan berlangsung di Sabah pada hujung tahun ini.
Tambahnya, konsert tersebut diadakan bertujuan untuk memberi penghargaan kepada para pendengar di negeri berkenaan memandangkan stesen radio Suria FM juga sudah beroperasi di sana.
Clash Of The Band
Selain penganjuran konsert, pihak Suria FM juga tidak ketinggalan menganjurkan pelbagai aktiviti lain yang menarik, termasuk program Clash of the Band yang terbuka kepada penuntut universiti dan kolej.
Menurut Yusry, program yang dianjurkan buat kali kedua itu bertujuan untuk mencari kumpulan muzik yang hebat dan berkebolehan dalam kalangan pelajar institut pengajian tinggi awam dan swasta.
“Program ini sudah mula dianjurkan pada tahun lalu dan ia mendapat sambutan yang cukup hangat. Jadi, ia akan diteruskan lagi dan siri jelajah program ini dijangka akan bermula pada bulan ini,” jelasnya.
Ujarnya, dengan pelbagai program yang dianjurkan oleh pihaknya setiap tahun, ia merupakan salah satu cara promosi yang terbaik dan pihaknya melihat ia begitu berkesan memandangkan jumlah pendengar Suria FM sekarang sudah mencecah tiga juta orang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: