MENYERLAH...gaya tradisi pilihan fesyen kebaya ketat bersama batik Indonesia.
Menggunakan kombinasi fesyen kebaya tempatan dan Indonesia, pemilihan fesyen kebaya pengantin yang dihasilkan memberikan kelainan tersendiri.
Bukan saja menonjolkan keanggunan gaya tradisional malah ia diberikan sentuhan moden dengan penggayaan perincian manik pada keseluruhan fabrik jaring.
Antara kelebihannya yang menjadi tanda pengenalan busana kebaya pengantin koleksi RKM ialah penggunaan layah fabrik jaring pada baju yang panjangnya boleh mencecah hingga dua meter.
Pengasasnya, Sitti Nurohmah Sunandar, berkata pemilihan kebaya sebagai fesyen utama bertujuan menonjolkan kembali gaya tradisi tetapi dengan cara lebih moden dan menarik bersesuaian dengan peredaran fesyen terkini.
“Tidak dinafikan gaya potongan busana tetap sama malah penerapan bentuk tradisional masih dikekalkan.
“Namun, ia diberikan penambahan terkini dengan bentuk potongan kain bertingkat, ropol selain gaya kebaya bersama kain kipas ataupun kembang,” katanya ketika ditemui di butiknya di Seksyen 7, Shah Alam, baru-baru ini.
Setiap rekaan kebaya memenuhi kehendak pengantin tempatan walaupun masih terdapat sedikit sentuhan gaya kebaya Indonesia.
Selain kebaya, RKM juga menawarkan gaun, jubah serta gaun ala kebaya yang memberikan daya tarikan tidak berbelah bahagi kepada bakal pengantin yang sentiasa mencari kelainan untuk dijadikan kenangan sempena hari bersejarah mereka.
Sitti Nurohmah banyak menggunakan kombinasi batik Indonesia, songket tempatan dan Indonesia bersama fabrik mewah seperti bridal satin bagi menampilkan baju pengantin yang kelihatan lebih mewah dan menawan.
“Saya amat mementingkan kualiti pakaian kerana setiap bahagian baju yang dicantumkan akan diberikan penilaian tersendiri.
“Begitu juga dengan penambahan aksesori serta perincian pada baju yang dihasilkan menggunakan tangan oleh pakar terpilih, justeru masa untuk menyiapkannya agak lama,” katanya.
Ada antara busana pengantin yang disediakan mengambil masa beberapa bulan untuk disiapkan kerana ketelitian untuk setiap aspek baju serta bergantung kepada rekaan dipilih bakal pengantin.
Sulaman dan perincian manik serta kristal yang menghiasi baju pula banyak difokuskan pada bahagian dada dan pinggang serta hujung layah fabrik jaring pada baju.
Paling penting, ia boleh digayakan tanpa mengira bentuk badan bakal pengantin sekiranya mengetahui teknik yang betul dalam pemilihan kebaya.
“Bakal pengantin perlu memilih warna pastel lembut untuk dijadikan imej tumpu pada baju bagi memberikan kesan lebih kurus pada bahagian badan tertentu yang ingin ‘disembunyikan’.
“Untuk bahagian dada pula, gunakan warna lebih gelap daripada warna pilihan baju dan gaya kontra ini mampu menyerlahkan lagi gaya,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: