Ini mencetuskan pertengkaran apabila arahan ibu bapa tidak diendahkan manakala anak pula inginkan kemahuan mereka dituruti. Konflik ini lama kelamaan memberikan kesan negatif kepada anak. Dari sudut lain anggapan ibu bapa tidak menyayangi anak akan wujud apabila masing-masing tidak sependapat dalam mencari penyelesaian.
Menurut pakar psikologi, Robert Kubey, mereka yang ketagih menonton televisyen sebenarnya mempamerkan kelakuan yang sama seperti penagih dadah dan mempamerkan ciri-ciri seperti menonton apa saja rancangan, menonton televisyen ketika ingin tidur serta meragam dan marah apabila tidak dapat menonton rancangan pilihan mereka.
Menurut Dekan Fakulti Pengajian Awal Kanak-Kanak, Universiti Pengurusan dan Teknologi (UMTECH), Prof Madya Dr Bustam Kamri, kedegilan, keghairahan serta obsesi yang keterlaluan kepada televisyen dan gajet berpunca daripada ibu bapa itu sendiri. Pada zaman sains dan teknologi, hiburan dapat dinikmati di mana-mana dan melalui pelbagai sumber. Semuanya di hujung jari, tekan butang televisyen pelbagai program disediakan atau klik saja paparan di skrin komputer, anak dapat menonton apa yang mereka inginkan.
Namun, membiarkan anak memilih program sendiri adalah sesuatu yang kurang bijak dan membawa mereka terjebak dalam pelbagai perkara negatif. Ibu bapa diberi mandat dan kuasa bagi mengawal kecenderungan anak menonton program pilihan mereka.
“Pengawalan dalam jumlah masa menonton atau siaran pilihan terletak di tangan ibu bapa. Ibu jangan takut pada anak. Ini kerana disebabkan tidak mahu anak menangis atau mengamuk, ibu membiarkan anak menonton televisyen atau bermain permainan video menerusi komputer riba. Begitu juga disebabkan bimbang anak bising atau menyepahkan rumah, ibu membiarkan mereka menonton dalam tempoh yang panjang.
“Apabila gaya hidup sebegini dibenarkan lama kelamaan ia menjadi rutin harian dan sukar diubah. Jika berjaya sekali pun, ia mengambil masa lama,” katanya.
Walaupun ibu bapa memberi alasan sibuk bekerja, sebagai ketua keluarga mereka harus bertanggungjawab dan memantau pergerakan anak. Caranya dengan mengehadkan jumlah waktu menonton atau bermain permainan video. Biasanya rancangan untuk kanak-kanak disiarkan pada waktu petang, jadi berikan masa di antara satu hingga dua jam saja menonton, selebihnya digunakan untuk membuat kerja sekolah atau bermain di padang.
Apabila ibu bapa sudah menetapkan masa, mereka tiada alasan berada di hadapan televisyen sehingga lewat malam. Malam hanya digunakan untuk mengulang kaji pelajaran dan berbual dengan ibu bapa.
“Sekiranya anak tidak mampu mengikut arahan ibu bapa, buat jadual secara lebih sistematik bermula pada waktu pagi sehingga tidur. Pastikan jadual mendapat persetujuan anak menerusi proses perbincangan,” jelasnya yang meminta ibu bapa berpendirian tegas dalam setiap arahan yang diberikan.
Selain itu, bagi memastikan anak-anak menonton rancangan berkualiti dan berfaedah, jelaskan mengapa mereka hanya boleh menonton rancangan berunsurkan pendidikan dan sesuai dengan tahap usia saja. Elakkan menonton rancangan drama atau filem mengandungi unsur seks, tahyul atau keganasan. Keprihatinan ibu bapa terhadap pemilihan rancangan mampu mengawal kecenderungan menonton rancangan berbentuk hiburan atau ganas.
Dalam hal ini ibu bapa harus menunjukkan contoh terbaik kepada anak. Ini kerana sudah menjadi kebiasaan ibu menonton drama atau filem berunsur ganas bersama anak mereka. Secara tidak langsung pengawasan menonton tidak akan berjaya. Sebaliknya, jika ibu mahukan anak membuat kerja sekolah, mereka harus berada di samping anak bukannya menonton televisyen.
“Ibu bapa menjadi model terbaik kepada anak dalam semua perkara. Jangan pula menjadi seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus, sedangkan dia sendiri tidak betul. Ibu bapa sebaliknya perlu mengajak anak-anak menonton program televisyen yang bermanfaat seperti berita, ceramah atau rancangan motivasi atau rancangan yang sesuai ditonton bersama ahli keluarga seperti filem Melayu klasik,” katanya.
Bagi memadatkan masa anak daripada aktiviti tidak berfaedah, rancang aktiviti menarik bersama mereka. Lazimnya pada waktu lapang anak gemar menonton televisyen terutama program hiburan. Jadi aktiviti yang disusun ibu bapa seperti gotong-royong atau beriadah pada waktu cuti mengelakkan anak-anak kerap menonton televisyen. Malah aktiviti ini akan lebih mengeratkan kasih sayang sesama keluarga.
Ujar Dr Bustam, ketagihan kepada televisyen boleh membawa kepada kesan kesihatan yang negatif seperti pertambahan berat badan.
“Kanak-kanak gemar makan sambil menonton. Ini secara tidak langsung akan menambah kalori yang tidak digunakan dalam badan sekali gus menambah berat badan. Menonton televisyen lebih tiga jam sehari juga meningkatkan risiko obesiti,” katanya.
Selain itu kanak-kanak juga boleh mengalami gangguan mental sekiranya menonton program yang tidak sesuai. Ini kerana mereka melihat pelbagai bentuk keganasan dan seks di televisyen yang boleh menjejaskan tingkah laku serta cara berfikir.
Kesan paling buruk apabila gangguan kepada pola tidur kanak-kanak yang akan menjejaskan kesihatan mereka.
“Penonton yang terlalu obses akan berjaga semata-mata menonton program kesukaan mereka. Golongan ini sanggup menunggu dan berjaga sehingga lewat malam dan akhirnya tertidur di hadapan televisyen. Apa yang merunsingkan apabila anak lewat bangun dan tertidur di dalam kelas. Ini akan mengganggu pembelajaran mereka,” ujarnya yang menasihatkan ibu bapa hanya membenarkan anak menonton televisyen satu jam sehari saja.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: