PROFESIONAL...aksi Wincci ketika pembikinan klip video Terus Teranglah.
Cerita Wincci, kini bekas kekasihnya itu akan berkahwin dan Wincci pula semakin deras memacu langkahnya untuk menguasai industri seni. Ternyata impian si jelita itu bukan sekadar angan-angan kerana dia sudah pun mengambil langkah dengan mencuba nasibnya sebagai penyanyi dan pelakon di Taiwan. Sebahagian dari masanya, dia akan berada di negara itu.
“Ketika saya sibuk merancang ke Taiwan, dapat pula tawaran menyertai Masterchef Selebriti Malaysia dan pada masa sama menghasilkan mini album lagu Melayu.
Selepas setahun lebih mengadakan perancangan untuk ke sana, baru sekarang saya berpeluang.
“Menghasilkan dua album serentak, cabaran yang besar kerana saya terpaksa memberikan sepenuh komitmen. Saya tidak boleh mengabaikan salah satu daripadanya kerana kedua-dua adalah impian saya.
“Jarak antara dua negara pula tidak menjadi halangan kerana mudah direntasi dengan pengangkutan udara. Saya berada dalam industri hiburan tempatan sudah tiga empat tahun dan saya lihat laluan saya bukanlah mudah. Saya tidak puas hati dengan apa yang saya ada dan saya perlu bekerja keras lagi,” katanya.
Jelas Wincci, dia memilih mengembangkan kerjayanya di Taiwan kerana negara itu adalah pusat pop muzik terbesar untuk pasaran di China.
“Industri muzik di Taiwan sangat besar dan saya perlu mencipta nama di negara itu sebelum boleh mengembangkan kerjaya di negara lain seperti Hong Kong. Bakat saya perlu dikenali dan diiktiraf di Taiwan sebelum membolehkan saya merintis jalan ke negara lain.
“Di Taiwan, saya bekerjasama dengan syarikat rakaman bebas berpengaruh di sana selepas saya menghubungi mereka dan menghantar kertas kerja. Ia bukan proses yang senang kerana selepas setahun setengah barulah terjadinya kerjasama itu.
“Sebagai pengenalan diri kepada peminat seni di sana, saya tampil dengan imej baru berambut paras bahu. Saya terpaksa mengorbankan rambut panjang saya.
Walaupun penat dengan jadual kerja yang padat, tetapi saya menyukainya dan dengan kesibukan itu tiada masa untuk saya memikirkan perkara lain.
“Sebab itulah saya sanggup korbankan cinta saya kerana saya tidak mahu si dia terus menunggu. Impian saya bukan hanya mahu terkenal di Malaysia dan Taiwan, tetapi juga di Hollywood. Sebelum itu, saya akan menguasai pasaran di Asia dulu. Kalau saya mahu berjaya, saya kena harungi satu persatu dan melakukan semua perkara.
“Di Taiwan persaingan sangat sengit dan saya ke sana dengan persediaan yang lengkap,” katanya.
Wincci mengagumi kejayaan Shila Amzah yang berjaya menjuarai pertandingan Asian Wave 2012 di Shanghai, China, sekali gus membuka peluang kepada artis Malaysia yang ingin mencari ruang di sana.
“Dia bagus dan sebutannya ketika menyanyikan lagu Mandarin sangat sempurna.
Saya tidak cemburu dengan kejayaannya bahkan bangga dengannya. Sekurang-kurangnya mereka di sana tahu artis Malaysia juga berkebolehan,” katanya.
Menurut bekas Ratu Malaysia 2008, dia juga akan berlakon di Taiwan dalam drama 30 episod yang bakal disiarkan di stesen televisyen paling popular di negara itu, Set TV.
“Perancangan dan strategi mesti tepat. Saya menghasilkan album dulu dan selepas orang di sana mengenali saya sebagai penyanyi, barulah saya akan berlakon.
Kalau terus berlakon, nanti mereka tertanya-tanya siapa saya,” katanya.
Aktiviti dan perjalanan seninya di Taiwan akan direkodkan dalam tesis pengajian PhDnya. Wincci akan mengupas tajuk bagaimana mahu mengembangkan bakat artis Malaysia pada peringkat antarabangsa.
Dia sudah pun memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari University of Reading, United Kingdom dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Kolej Segi, Kota Damansara dan kini mendapat biasiswa melanjutkan pengajian PhD (Pentadbiran Perniagaan) dari Open University Malaysia (OUM).
Dia juga ada sijil vokal, bermain piano dan menggubah lagu.
“Saya menggunakan diri sendiri sebagai bahan uji kaji kerana lebih senang merekodkan perjalanan kerjaya seni sendiri dan saya sanggup belajar lagi sebagai contoh kepada remaja. Saya tidaklah pandai, tetapi saya kena belajar untuk jadi orang pandai.
“Untuk melakukan semua kerja pada satu masa, saya kena korbankan masa tidur saya,” katanya.
Wincci ditemui pada pelancaran klip video single Terus Teranglah, lagu ciptaan Ajai dan lirik oleh Ajai serta Joe Flizzow.
“Saya gembira kerana berjaya menghasilkan album Melayu yang pertama. Album ini akan dipasarkan pada November ini yang memuatkan lima lagu,” katanya.
Lagu lain terdapat dalam album itu, Musim Asmara, Jangan Risau, Nombor 1 dan Terus Teranglah (minus one).
Klip video itu diarahkan oleh Jin dari New Stream Production dan dirakamkan di Museum Restoran Bar, Setia Walk Puchong, Sentimas Auto, Jalan Gombak dan Bluwater Bungalow, The Mines Seri Kembangan.
“Saya puas hati dengan pembikinan klip video walaupun rakamannya dibuat di Malaysia, tetapi dengan kreativiti Jin, ia nampak seperti di Hollywood,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: