Tuesday, October 2, 2012

Awal selesa, Scha selektif



KETIKA memegang status bujang dalam kehidupan masing-masing, ternyata pasangan popular Ahmad Awal Ashaari, 31, dan Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Alyahya, 29, atau Scha sudah bertapak kukuh dalam dunia lakonan.
Bagaimanapun, setelah bergelar pasangan suami isteri, kelibat kedua-duanya semakin berkurangan di kaca televisyen. Berbanding Scha yang masih lagi sesekali tampil menerusi beberapa buah drama dan telefilem.
Ketika ditemui semasa majlis pelancaran produk makanan House Of Mini di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur baru-baru ini, Awal memberitahu dia kini sudah semakin selesa bergelar pengacara.
"Selepas berakhirnya program Fuhh!! pada awal tahun ini, saya memang mencari program lain yang bersesuaian. Kemudian saya ditawarkan sebagai pengacara undangan untuk rancangan Melodi.
"Pada asalnya saya sekadar menggantikan Zizan yang secara kebetulan mempunyai komitmen lain. Akhirnya, setelah beberapa kali mengacara, saya mendapat tawaran menjadi pengacara secara tetap," ujarnya.
Menurut Awal, pembabitannya dalam dunia pengacaraan kini semakin bertapak kukuh apabila dia muncul pula dengan sebuah program bual bicara berjudul Awal Lagi yang sudah bersiaran sejak bulan Jun lalu di TV9.
"Saya bersyukur kerana kerjaya sebagai seorang pengacara terus berkembang dan diterima peminat. Malah, program yang melibatkan saya seperti Fuhh!!, Melodi dan Awal Lagi mendapat maklum balas positif peminat.
"Bagi saya ini semua merupakan satu rezeki dan kejayaan peribadi buat diri saya. Selain pembabitan sebagai pengacara Melodi diterima, saya gembira kerana program Awal Lagi akan memasuki musim kedua," jelasnya.
Ditanya adakah kesibukannya sebagai seorang pengacara membuatkan dia kini mahu melupakan bidang lakonan, Awal menjelaskan dia sebenarnya masih lagi minat berlakon.
Ujarnya, dia masih lagi ada mendapat tawaran daripada beberapa penerbit untuk berlakon drama, tetapi terpaksa ditolak kerana bertembung dengan jadualnya sebagai pengacara.
SELEPAS empat bulan berkahwin, Awal dan Scha mula menyusun semula perjalanan karier mereka.


"Bukannya saya sudah terlalu memilih setiap tawaran yang diterima. Saya cuma risau sekiranya tidak dapat memberikan komitmen yang baik kerana biasanya tempoh penggambaran sesebuah drama mengambil masa yang lama, sedangkan saya ada tugas lain iaitu sebagai pengacara.
"Minat terhadap bidang lakonan masih lagi ada dan buat masa sekarang saya sedang menantikan tawaran yang sesuai seperti berlakon telefilem. Namun, setakat ini saya tidak mendapat sebarang tawaran berlakon telefilem," ujarnya.
Awal menyatakan dia masih mahu berlakon kerana minat yang mendalam dan tidak kisah tentang watak yang diberikan, malah menegaskan dia mahu terus berlakon bukan mengejar anugerah semata-mata.
Urus sendiri
Sepanjang lapan tahun berkecimpung dalam dunia hiburan sebagai seorang pelakon dan pengacara, Awal telah menggunakan khidmat Azlina Merican yang bertindak sebagai pengurusnya.
Namun begitu, Awal mengakui dia kini tidak lagi menggunakan khidmat pengurusnya sejak dua bulan lalu dan segala perjalanan kariernya sekarang diuruskan oleh dirinya sendiri.
"Pada mulanya memang agak kekok kerana selama ini segala urusan kerjaya diuruskan oleh pengurus dan saya jarang ambil tahu tentang sebarang tawaran berlakon atau mengacara kerana segala persetujuan dibuat oleh pengurus saya.
"Sekarang ini saya sudah mula menilai dan memilih setiap tawaran yang diterima. Lagipun ia merupakan satu kebaikan buat diri saya sendiri kerana lebih bebas membuat sebarang keputusan," jelasnya.
Enggan mendedahkan terdapat salah faham yang timbul dengan bekas pengurusnya memandangkan mereka sudah lama bersama, pengacara yang berasal dari Kampung Baru, Kuala Lumpur itu yakin perjalanan kariernya tetap berjalan seperti biasa.

SCHA AL YAHYA dan Awal Ashaari masih dalam fasa bulan madu. Mereka masih menanti berita gembira untuk menimang cahaya mata.


"Buat masa sekarang saya tidak ada sebarang perancangan mencari pengurus baharu dan selesa bergerak sendiri. Sekiranya jadual saya semakin padat, barulah saya akan cari pengurus yang akan menguruskan kerjaya seni saya dan Scha," ujarnya.
Jaga batas
Sementara itu, Scha yang ditemui pada majlis yang sama mengakui sudah semakin kurang berlakon sejak bergelar isteri kepada Awal Ashaari selama empat bulan.
Menafikan status dirinya sekarang sebagai salah satu punca tawaran lakonan yang diterima semakin berkurangan, Scha sebaliknya menegaskan dia sekarang perlu lebih selektif.
"Apabila sudah menjadi seorang isteri, tentu perlu ada batasan tertentu dalam lakonan, misalnya karakter yang saya lakonkan dalam sesebuah drama, telefilem atau filem.
"Dengan status sekarang saya perlu menjaga hati banyak pihak seperti suami, keluarga sendiri dan keluarga mentua. Kalau ada tawaran yang melebihi batasan yang ditetapkan memang saya akan tolak," ujarnya.
Menurut Scha, selain faktor tersebut dia banyak menolak tawaran lakonan yang diberikan kerana perlu membawakan watak yang hampir sama, sedangkan dia ingin melakonkan watak yang berbeza.
"Saya tidak kisah kalau sekadar membawakan watak yang kecil, asalkan berbeza dengan watak yang pernah dilakonkan sebelum ini. Jadi, dengan cara sedemikian saya mampu perbaiki sebarang kelemahan dan meningkatkan lagi mutu lakonan saya," ujarnya.
Apabila ditanya sama ada dia teringin untuk bergandingan dengan Awal selepas kali terakhir melakukannya menerusi telefilem Prebet Jamilah, pelakon itu mengakui cukup sukar sekiranya mereka berlakon bersama-sama.
Bagaimanapun, Scha memberitahu dia sudah mempunyai idea untuk menerbitkan sebuah program bual bicara yang menggandingkan mereka sebagai pengacara, namun ia masih lagi dalam peringkat awal perancangan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: