Sunday, April 1, 2012

Zawahir ketagih laksana kebajikan

AMAL...program makan malam amal bersama Datuk Sharifah Aini.
AMAL...program makan malam amal bersama Datuk Sharifah Aini.

MENIKMATI pendapatan mencecah lima angka sebulan membolehkan lelaki ini terbang ulang-alik ke utara Semenanjung semata-mata ingin menjamah nasi kandar yang terkenal di Pulau Pinang.

Tatkala mengidam nasi dagang iaitu masakan popular Terengganu, tanpa berlengah masa tiket kapal terbang dibeli sebelum berlepas ke negeri pantai timur dan pulang ke ibu kota sebaik selesai menjamu selera.

  • Foto

    KETAGIH...kebajikan membuatkan Zawahir ketagih.

  • Foto

    PENTING...keluarga menjadi tonggak utama.

  • Foto

    IMPIAN...kompleks kediaman anak yatim menjadi impian Zawahir.

Berasal daripada keluarga sederhana, sememangnya menjadi impian Zawahir Abdullah menjalani kehidupan menyenangkan dewasa kelak, sekali gus dikongsikan bersama ibu bapa tersayang.

Biarpun dikategorikan berjaya, bekas pegawai bank dan pengurus jualan dan pemasaran di sebuah syarikat automotif Bumiputera ini masih tidak puas, selain merasakan kekurangan sesuatu dalam hidupnya.Enggan terus makan gaji, Presiden Pertubuhan Bantuan Islam Malaysia (IAM) ini memberanikan diri menubuhkan syarikat menjual kereta terpakai, namun perniagaan itu tidak berpanjangan apabila terjejas teruk akibat krisis kewangan pada 1998.


Bangkit daripada kejatuhan itu, lelaki berusia 45 tahun ini menyertai Majlis Kanser Nasional (Makna) selama lima tahun untuk membantu insan yang menghidap kanser.

“Menyertai Makna membuka mata saya terhadap kesusahan masyarakat memerlukan bantuan, terutama yang berasal daripada keluarga berpendapatan rendah.

“Selepas meninggalkan Makna, saya ditawarkan jawatan Pengarah Negara, Islamic Relief Malaysia (IRM) selama dua tahun bermula 2008 yang memerlukan saya menjalani sesi temuramah bersama exco tertinggi di Birmingham.

“IRM adalah satu organisasi Arab berpusat di United Kingdom dan kebanyakan misi dijalankan menjurus kepada membantu masyarakat di negara yang mengalami bencana, antaranya tsunami di Aceh.

“Dua tahun menyandang jawatan itu, saya mengambil keputusan meninggalkan IRM dan membuat perancangan menubuhkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu masyarakat yang mengalami kesusahan di negara sendiri,” katanya ketika ditemui di Taman Serdang Perdana.

Membangunkan satu NGO berasaskan bantuan diakui bukan mudah, apatah lagi ia memerlukan perbelanjaan besar bagi menampung kos pejabat, pencarian sumber
dana serta penyertaan sukarelawan.

Nekad di hati ingin melihat senyuman terukir di wajah insan mengharap, Zawahir ketika itu mengalami kekurangan sumber kewangan IAM sanggup berkorban harta apabila menjual kereta Kenari miliknya.

“Kereta itu adalah kegunaan harian, malah pinjaman bank juga habis dibayar.
Namun saya yakin jika kita berkorban untuk sesuatu yang baik, dengan cara lain Allah akan pulangkan kepada kita.

“Syukur, dengan berbekalkan wang jualan kereta sebanyak RM20,000, saya berjaya memperoleh ruang pejabat kondusif dan penyertaan teman daripada IRM juga menguatkan semangat meneruskan hasrat ini.

“Tanggal 18 Januari 2011, akhirnya IAM ditubuhkan yang berfungsi membantu golongan sasar seperti orang daif, ibu tunggal dan warga emas miskin, anak yatim, mangsa bencana, orang kelainan upaya (OKU) serta masyarakat Orang Asli,” katanya.

Berusia menjengah setahun jagung, Zawahir menyatakan rasa gembira apabila IAM kerap menerima sumbangan dan dana daripada individu serta teman rapat yang prihatin. Hampir setiap bulan, kalendar IAM dipenuhi pelbagai program bantuan seluruh Malaysia.

Selain mengharapkan sumbangan orang ramai, IAM menggunakan alternatif lain untuk mengumpul dana, termasuk jualan dan majlis makan malam amal.

Mendengarkan perkataan ‘Islam’ yang tertera di IAM, mungkin ramai beranggapan golongan fokus hanya menjurus kepada masyarakat Islam, namun badan ini turut membantu seluruh lapisan rakyat tanpa mengira pegangan agama, terutama yang dihimpit kemiskinan.

Seolah-olah ketagih melakukan kebajikan, lelaki ini turut membawa bersama anaknya menyertai program anjuran IAM dengan niat supaya warisnya dapat menyaksikan kesusahan dan kesukaran dialami golongan tidak bernasib baik serta bersyukur atas nikmat diberikan.

“Selesai menunaikan solat Jumaat di sebuah masjid sekitar Bangi, saya dikerumuni sekumpulan kanak-kanak lelaki memakai serban menghulurkan tangan untuk bersalam. Saya terkejut kerana langsung tidak mengenali mereka, hinggakan ramai orang di masjid itu menyaksikan kejadian berkenaan.

“Kemudian, kanak-kanak itu pulang menaiki sebuah van dan saya dimaklumkan teman bahawa mereka daripada rumah anak yatim yang pernah menerima bantuan IAM.

“Sesungguhnya saya terharu dengan sikap mengenang jasa ditonjolkan mereka,” katanya yang berkongsi pengalaman tidak dilupakan.

Perasaan kagum penulis bertambah apabila bapa kepada empat cahaya mata ini meluahkan impiannya ingin mendirikan kompleks kediaman anak yatim serba moden
di atas sebidang tanah seluas tiga hektar di Kubang Pasu, Kedah yang diberikan teman baiknya.

Kompleks yang bakal memuatkan 200 anak yatim itu akan dilengkapi kemudahan sewajarnya, termasuk bilik bagi lima pelajar, ruang tamu untuk mengulang kaji, gelanggang badminton dan tenis serta ruang makan selesa.

Bagi mengelakkan kekurangan dana bagi menampung perbelanjaan penghuni kompleks berkenaan, Zawahir turut merancang membina ‘homestay’ atau inap desa di kawasan tanah yang tidak digunakan.

Selain berupaya membuahkan pendapatan, homestay berkenaan boleh dijadikan lokasi mempelajari teknik kemahiran hidup, sekali gus memberi pendedahan kepada kanak-kanak terbabit.

Hasrat yang ingin dicapai sebelum menutup mata, Zawahir mengakui penyediaan kompleks serba sempurna itu mampu memberi kesan positif kepada golongan anak kurang bernasib baik mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Zawahir menjangkakan menjelang penghujung tahun ini, projek pembinaan kompleks kediaman anak yatim bakal bermula.



PROFIL:

NAMA: Zawahir Abdullah
JAWATAN: Presiden Pertubuhan Bantuan Islam Malaysia (IAM)
LAHIR: 9 Ogos 1967
ASAL: Kok Lanas, Kelantan
ISTERI: Nalia Saadah Abd Munir
ANAK: Amir (18), Adam (17), Azim (12) dan Anas (7)
PENDIDIKAN: Sarjana Pentadbiran Perniagaan, New Zealand Institute of Management (2002)

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: