Wanita Inspirasiku wajah baru TV3

Bersempena sambutan Hari Wanita Sedunia, khusus buat penonton wanita, TV3 menerusi jenama, Wanita Inspirasiku menyusun program dan rancangan informatif merangkumi paparan isu semasa, gaya hidup, fesyen, keibubapaan, kerjaya, kecantikan dan kesihatan.

Bukan sekadar berkongsi maklumat dan hiburan, Wanita Inspirasiku, mampu menjadi sumber inspirasi kepada penonton wanita untuk mengecap kejayaan dan kebahagiaan dalam hidup.

Muncul wajah baru lebih relevan dan segar pada 2012, Wanita Inspirasiku, meneruskan formula dan resipi kejayaan dengan menyuntik elemen baru program diminati ramai seperti Wanita Hari Ini, Nona, 5 Rencah 5 Rasa, Mahligai Cinta serta drama bersiri berkisar pengorbanan cinta dan kekeluargaan menerusi slot Akasia, Azalea, Telenovela, Senda Pagi serta Sinetron.

Menurut Pengurus bagi Kumpulan Pengurusan Jenama Wanita TV3, Puan Hadzelynda Khairuddin, slot drama bersiri seperti Akasia, Azalea, Telenovela dan Sinetron antara program TV paling diminati dengan terbuktinya kejayaan Nora Elena dan Tentang Dhia tahun lalu.

“Namun, kami juga tidak lupa program gaya hidup dan bual bicara yang bertujuan berkongsi maklumat seperti Wanita Hari Ini, Nona, 5 Rencah 5 Rasa dan Mahligai Cinta. Sambutan hebat penonton menyuntik semangat TV3 untuk terus memperbaiki dan memperbaharui rancangan ditayangkan supaya sentiasa tampil dengan isi kandungan yang relevan dengan cita rasa dan keperluan wanita pada masa kini,” katanya ketika majlis pelancaran wajah baru, Wanita Inspirasiku di Fullhouse Lifestyle Store & Cafe, Sunway Giza, baru-baru ini.

Majlis disiarkan secara langsung menerusi program bual bicara popular, Wanita Hari Ini. Membuka tirai majlis, penonton diserikan dengan peragaan fesyen Jovian Mandagie.

Turut hadir memeriahkan majlis itu termasuk Fara Fauzana, Neelofa, Fasha Sandha, Tiz Zaqyah, Fizo Omar, Almy Nadia, Mia Sara Nasuha, Nabil, Leez, Azzarima, Wan Sharmila dan Erry Putra.

Antara rancangan bakal menemui penonton pada Mac dan April ialah Cinta Buat Emelda, Seindah Sakura, Dejavu Di Kinabalu, Bonda, siri telenovela, Endless Love (Filipina), sinetron Dia Jantung Hatiku (Indonesia), Naik Lif Turun Tangga, Mak Lang Datang Kompang Bergendang dan Rebound To Love (Thailand).