Tai & Wan Sharmila

Hanya menerusi trademark 'Ape Celop', nama Taiyuddin Bakar atau Tai, menjadi sebutan ramai. Apatah lagi, penampilannya bersama Zizan dalam Hantu Bonceng mendapat perhatian ramai.

Malah, kerana Hantu Bonceng juga, Tai memenangi anugerah Pelakon Harapan Lelaki di Festival Filem Malaysia Ke-24 (FFM24) pada November tahun lalu.

Kini, kerana trademark diilhamkan dari makanan 'Celup-Celup', Ape Celop diangkat ke drama bersiri yang mula disiarkan semenjak 20 Februari lalu.

"Saya tak sangka trademark digunakan menjadi tajuk drama bersiri sekarang. Biarpun ada mendakwa Ape Celop bermaksud lucah, sebenarnya saya mendapat ilham perkataan Ape Celop dari makanan Celup-Celup yang biasa dijual di pasar malam.

“Justeru, Tai menegaskan perkataan itu tidaklah membawa apa-apa maksud yang tidak baik seperti dicanangkan," jelasnya.

Sementara itu, bagi Wan Sharmila pula, pengalaman bekerjasama dengan produksi Ape Celop memberi pengalaman bermakna buatnya.

Malah, Wan Sharmila mengakui, jika Ape Celop mempunyai sekuel selepas ini, dia sanggup mengosongkan jadualnya bagi memberi komitmen terhadap Ape Celop.

"Memang seronok bekerja dengan semua team Ape Celop. Memandangkan usia kami tidak jauh berbeza, jadi kami cepat mencapai keserasian. Malah mereka juga semuanya 'gila-gila'. Walaupun kami banyak ketawa, bermain, tetapi bila sampai masa bekerja, kami komited dengan kerja masing-masing.

"Jadi memang tak stress dan Ahmad Idham sebagai pengarah juga juga bagus dan tahu apa yang dimahukan," katanya kepada Zass.

Biarpun perlu mengorbankan rambut panjangnya demi Ape Celop, Wan Sharmila berkata, dia sedikit pun tidak menyesal dan merasa lebih muda selepas berambut pendek.

"Mula-mula memang terasa sayang untuk memotong rambut, tapi lama-kelamaan saya tak menyesal kerana ramai memuji penampilan saya berambut pendek. Malah ada yang kata saya nampak lebih muda.

"Lagi pula dah lama saya tidak berambut pendek. Kali terakhir kira-kira lima atau enam tahun lalu. Saya memotong rambut pun atas permintaan TV3 yang mahu saya sesuaikan imej saya sebagai budak kampung dalam drama ini," katanya.

Bercerita tentang pengalaman berlakon dalam drama tersebut, Wan Sharmila memberitahu ia pengalaman baru kerana sebelum ini dia tidak pernah melakonkan watak yang melibatkan aksi-aksi lasak atau bahaya. Dalam masa yang sama, dia juga berasa seronok kerana dapat bekerjasama dengan baik dengan semua pelakon dan krew Apa Celop.

“Memang seronok dapat terlibat dengan drama ini, tapi saya agak gementar apabila terlibat dengan aksi-aksi merempit. Saya rasa takut kerana sebelum ini saya memang tidak pernah mencuba aksi-aksi lasak sebegitu. Maklumlah, saya ini memang tak biasa membonceng motosikal. Apatah lagi hendak menunggangnya. Mujurlah tidak ada sebarang kejadian tidak diingini berlaku. Saya rasa setiap kali terlibat dengan adegan motor, saya pasti menahan takut dan cuba mengawal pergerakan kerana tidak mahu kelihatan kekok. Saya cuba buat yang terbaik,” ujar Wan Sharmila lagi.


Berjinak bidang pengacaraan

Semenjak membintangi drama Nora Elena, saham Wan Sharmila dilihat semakin meningkat. Tidak terbatas semata-mata dalam bidang lakonan, Wan Sharmila kini mula berjinak-jinakkan diri dalam bidang pengacaraan.

Mengakui mengimpikan rancangan di bawah jenamanya sendiri seperti Aznil Nawawi, Wan Sharmila berharap impiannya ini akan terlaksana suatu hari nanti.

"Saya kini mengacarakan program Dialek Kita untuk siaran RTM sebanyak 13 episod. Sebelum ini saya pernah mengendalikan program Klik-Klik Asean untuk RTM juga dan sebuah program realiti di RTM, Pentas Dikir," katanya.

Wan Sharmila berkata, dia berharap dengan belajar dari bawah, dia akan mengikut jejak Aznil yang kini menjadi pengacara nombor satu negara.

"Saya gemarkan kanak-kanak, jadi saya teringin mempunyai program seperti Macam-Macam Aznil. Saya juga gemarkan program masakan. Saya harap selepas ini akan ada tawaran untuk saya mengacarakan rancangan seperti itu," katanya.

Mengulas mengenai dirinya yang jarang muncul dalam bidang lakonan, Wan Sharmila menjelaskan, komitmen terhadap drama bersiri kadangkala mengambil tempoh lama membataskan dirinya untuk menerima tawaran lain.

"Biasanya penggambaran drama bersiri mengambil masa sehingga dua bulan lebih. Saya pula lebih senang memberi satu komitmen dalam satu masa. Sebab itulah saya jarang dilihat muncul dalam telemovie dan sebagainya.

"Malah jika tidak terlibat dalam penggambaran drama, saya terlibat pula dalam rakaman program. Jadi secara tidak langsung, saya jarang dapat muncul secara kerap di kaca TV," katanya yang bakal muncul dalam drama Seindah Sakura di TV3 tidak lama lagi.


Tak cari kontroversi

Bila menyebut nama Wan Sharmila, pasti ramai mengaitkannya dengan imej seksi yang sentiasa ditonjolkan. Mengulas mengenai kenyataan itu Wan Sharmila mengakui, dia sememangnya lebih senang memakai sesuatu pakaian dirasakan sesuai dengan dirinya.

"Setiap kali menghadiri majlis atau program seni saya sentiasa memastikan pakaian yang dipakai sesuai dengan konsep selain selesa dan sedap mata memandang. Saya juga tahu batas dalam menggayakan pakaian.

"Bukan pakai tangkap muat saja. Lagipun saya bertubuh kecil, takkanlah saya mahu memakai dress panjang, tentulah nampak lagi kecil. Namun apa yang penting, saya tahu diri saya sendiri bagaimana.

"Saya akui memang saya selesa memakai dress yang sesuai dengan saya. Mungkin orang nampak seksi, tapi saya tidak kisah kerana pandangan orang berbeza-beza," katanya.

Menyentuh mengenai perihal peribadinya, wanita berusia 31 tahun ini, mengakui fobia dan sangat berhati-hati dalam membina perhubungan dengan lelaki selepas kegagalan perkahwinan pertamanya.

Menurut Wan Sharmila, penceraiannya dengan bekas suami, Fazli Bahrom pada 23 Oktober 2009 meninggalkan kenangan pahit dan hal tersebut membuatkan dia lebih selesa hidup solo selain mempunyai jadual padat.

Bagaimanapun, dia tidak menolak untuk berkahwin semula jika satu hari nanti dia dijodohkan dengan seorang lelaki yang sesuai dengannya.

"Cuma kadangkala saya takut gagal, menyebabkan saya letak ke tepi dulu soal perkahwinan. Walaupun mempunyai perasaan fobia, sebagai seorang perempuan sudah semestinya saya mahu memiliki seorang suami yang boleh membimbing saya dan pada masa sama saya juga teringin untuk memiliki zuriat," katanya yang masih mengekalkan hubungan baik dengan bekas suami.


Tai tak lupa diri

Sejak di awal kemunculannya, sudah ada pihak yang seolah-olah dengki dengan populariti pantas yang dimilikinya. Justeru, ada sahaja pihak yang cuba memburukkan nama Tai apatah lagi semenjak dia memenangi trofi pada FFM lalu.

Malah Tai juga mengakui terkejut dengan dakwaan kononnya dia mula bersikap besar kepada dan mempunyai masalah disiplin sejak akhir-akhir ini.

Terbaru, pemilik nama sebenar Sallehuddin Abu Bakar ini, dikatakan sering hadir lewat ke sesi latihan pementasan teater muzikal Gerimis Mengundang yang kini berlangsung di Istana Budaya, di sini.

Tidak menafikan isu kelewatan itu, Tai berkata, segala tuduhan yang diperbesarkan seolah-olah mahu memburukkan namanya yang baru berjinak dalam industri ini tanpa mengetahui punca sebenarnya.

"Saya akui ada beberapa kali lewat ke sesi latihan Gerimis Mengundang tetapi semuanya bersebab. Sebagai orang baru, takkan saya sengaja untuk bertindak begitu?

“Ia hanya perkara kecil yang terjadi pada mana-mana individu dalam industri ini tetapi bagi kes saya ia seolah-olah diperbesarkan untuk menimbulkan masalah kepada karier saya," jelasnya.

Tai berkata, sebagai orang baru, bukan niatnya untuk mula bersikap diva dan lupa diri dengan rezeki yang diperolehnya kini.

“Kenapa pula ada pihak menuduh saya mula bersikap besar kepala sedangkan perkara itu mengarut. Anda boleh tanya pada mana-mana produksi yang pernah saya bekerja bagaimana sikap saya ketika bekerja.

“Saya tahu tuduhan-tuduhan sebegini dilakukan oleh pihak yang tidak berpuas hati dengan saya. Saya sedang mengukuhkan bukti sebelum menghebahkan kepada khalayak mengenai sikap buruk pihak tersebut. Apabila tiba waktu yang sesuai selepas mendapatkan nasihat peguam, saya tidak akan teragak-agak untuk bertindak balas,” katanya.


Lakonan vs teater

Menyentuh mengenai kariernya dalam bidang teater, Tai yang sebelum ini aktif dengan pementasan teater mengakui terpaksa menerima mana-mana tawaran yang datang dahulu kerana kedua-dua bidang, teater dan lakonan sama penting.

Tai berkata, walaupun jadual padat, dia berpuas hati kerana dapat melibatkan diri ke dalam bidang yang menjadi cintanya.

“Bidang lakonan dan teater, memberi kepuasan yang tersendiri buat Tai. Justeru bila ada peluang datang, Tai akan cuba terima dan buat sebaik mungkin.

“Bila orang puas hati dengan kerja kita, secara tidak langsung, ia memberi satu penghargaan besar buat Tai,” katanya.

Tai yang kini sedang sibuk dengan latihan pementasan teater muzikal Gerimis Mengundang, mengakui berdebar menanti reaksi penonton terhadap penglibatannya itu. Bairpun sudah biasa dengan pementasan teater, namun masalah yang dihadapinya dalam teater ini adalah memerlukan Tai menyanyi dan menari.