Saturday, March 24, 2012

Volvo V40: Designed Around You!


PINTU belakang V40 adalah warisan daripada model klasik Volvo P1800.


BARU-BARU ini di Pameran Motor Antarabangsa Geneva, Volvo Car Corporation secara rasminya mendedahkan kepada umum model hatch lima pintu terbaharunya, V40. Model itu diposisikan dalam segmen premium dengan rekaan mewah dan karakter kereta besar tetapi bersaiz kompak.

“Model V40 lima pintu dan lima tempat duduk adalah kesinambungan daripada model C30. Ia merupakan model pertama yang dibina berdasarkan strategi Designed Around You. Dilengkapi dengan ciri-ciri berteknologi tinggi, ia bakal mencabar pesaing-pesaing lain.

“Terima kasih kepada pelanggan-pelanggan seluruh dunia untuk maklum balas yang diberikan. Varian model V paling kompak kami ini merupakan adunan rekaan, keselamatan dan versatiliti.

“Kereta ini dipenuhi dengan ciri-ciri yang dimahukan oleh pembeli kereta mewah moden,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Volvo Car Corporation, Stefan Jacoby.

Pengaruh Klasik

Bonet berbentuk V klasik dikemaskan lagi dengan garisan ekspresif yang lebih menonjol. Gril depan direka rendah dan lebar bagi menampakkan imej sporty dan rapat ke bumi. Rekaan berlekuk pada bahagian bawah kereta bukan sahaja menambah karakter badan, bahkan turut mengalirkan angin untuk efek aerodinamik yang lebih baik.

Lampu DRL (Daytime Running Lights) pula dipasang pada bahagian bawah bampar dan menghala ke atas jika dipandang dari hadapan. Lampu depan rekaan bilah pula mempunyai corak yang menarik di waktu malam.

Bahu badan yang lebar bermula dari lampu hadapan dengan garisan yang tajam dan rekaan pada pintu belakang adalah warisan daripada model klasik P1800. Imej yang kuat pula boleh dilihat pada gugusan pintu belakang kereta.

Silhouette bumbung kereta memberi impresi seolah-olah kereta condong ke depan seperti tidak sabar-sabar untuk bergerak. Rekaan lampu belakang yang menyerlah pula adalah sebahagian daripada DNA Volvo. Lampu tersebut diposisikan tinggi dan mengikut lekukan bahu badan kereta.

But berbentuk heksagon yang pertama kali diperkenalkan pada model C30 dan diinspirasikan daripada model P1800ES juga merupakan signatur Volvo. Model V40 serba baharu itu turut dilengkapi dengan bumbung panorama yang besar. Dari cermin depan hinggalah ke belakang, ia memberi efek keluasan pada ruang kabin kereta.

Cermin bumbung itu digelapkan dan direka bagi mengurangkan radiasi infra merah ke dalam kereta. Bagi menghalang pancaran matahari, bidai fabrik yang dikawal secara elektronik pula boleh dibuka dari belakang ke depan seterusnya membolehkan penumpang belakang ‘berjemur’ di bawah cahaya matahari. Pada masa yang sama, pemandu dan penumpang hadapan masih lagi boleh berteduh daripada pancaran cahaya.

Citarasa Scandinavian.

Ruang dalaman V40 baharu direkabentuk dengan fokus kepada manusia. Ia memberi penekanan terhadap aspek ergonomik, keselesaan dan pengalaman pemanduan yang menyeronokkan.

Panel instrumen yang lebar bersama-sama rekabentuk pintu menjadikan kereta terasa lapang seperti sebuah kereta besar. Rekabentuk dalaman dibina bagi menawarkan pemandu dan penumpang atmosfera luas serta tenang dengan citarasa Scandinavian. Pemilihan material dan warna pula menekankan rasa mewah dan ketelitian.

Selain itu, Volvo V40 turut menawarkan kepada pemandu opsyen grafik dengan tiga tema. Tema elegan memaparkan iluminasi ambar yang menampakkan aura yang tenang dan tradisional.

Tema Eco pula mempunyai iluminasi latar belakang berwarna hijau bagi menampakkan efek alam sekitar. Meter Eco dipaparkan di sebelah kiri dan pemandu akan dihadiahkan lampu hijau apabila kereta dipandu secara ekonomikal. Tema Performance pula mempunyai iluminasi latar belakang berwarna merah, sesuai dengan imej prestasi.

Enam Varian Enjin

Volvo V40 memiliki penawaran enjin yang kompresif, bermula dari sesaran kecil hinggalah besar sama ada diesel atau petrol. Daripada output 115hp hinggalah 254hp untuk varian paling berkuasa.

Enjin-enjin diesel yang ditawarkan ialah D2 1.6 liter berkuasa 115hp, D3 2.0 liter berkuasa 150hp dan D4 2.0 liter berkuasa 177hp. Enjin-enjin petrol yang ditawarkan pula ialah T3 1.6 liter berkuasa 150hp, T4 1.6 liter berkuasa 180hp dan akhir sekali T5 2.5 liter berkuasa 254hp.

Volvo menyasarkan untuk menjual 90,000 unit V40 serba baharu setahun. Model itu secara primanya disasarkan untuk pasaran Eropah dengan 85 peratus daripada volum keseluruhan untuk benua itu.

Antara pasaran besar yang dikenal pasti adalah United Kingdom, Jerman, Sweden, Perancis, Belgium, Itali, Belanda, Sepanyol, Jepun, China, Switzerland dan Australia.

V40 baharu akan dibina di kilang produksi Volvo di Ghent, Belgium. V40 - Volvo yang bakal menarik pelanggan bukan tradisional jenama Sweden itu yang sinonim dengan rekabentuk bersegi dan keras.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: