UNTUNG...Jamil Khir (tengah) melihat keuntungan diperoleh Majlis Agama Islam negeri, semalam.
KOPERASI Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) menyasarkan sebanyak 450,000 transaksi pada tahun ini meningkat 37 peratus dan membabitkan pembiayaan bernilai RM901.1 juta bagi skim pembiayaan mikro kredit pajak gadai Ar-Rahnu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pembiayaan berkenaan menunjukkan peningkatan sebanyak 37 peratus berbanding jumlah pembiayaan sebanyak RM651.7 juta dengan 327,000 transaksi yang dicatatkan pada tahun 2011.
“Perkembangan ini memperlihatkan kepada kita program ini berupaya menjadi pilihan utama kepada masyarakat yang memerlukan perkhidmatan seumpama ini.
“Pertambahan unjuran dari segi transaksi dan jumlah pinjaman melalui Koperasi YaPEIM pada tahun ini adalah berasaskan beberapa faktor utama, selain sambutan terhadap setiap cawangan terus meningkat,” katanya pada Majlis Penyerahan Keuntungan Pelaburan Program Ar-Rahnu YaPEIM Bagi Tahun 2011 kepada tujuh agensi Islam peringkat negeri membabitkan keuntungan keseluruhan pelaburan tahun lalu bernilai kira-kira RM6.2 juta di Kuala Lumpur, semalam.
Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah Amanah YaPEIM, Datuk Ahmad Tajuddin Abd Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif YaPEIM, Dr Abd Malek Awang Kechil.
Lebih memberangsangkan apabila kadar dividen bagi tempoh pelaburan tahun lalu mencatatkan 7.69 peratus, penurunan sebanyak 0.07 peratus berbanding tahun 2010 dengan keuntungan 38.6 peratus.
Beliau berkata, peningkatan yang ketara dari segi keuntungan berasaskan jumlah penyertaan pelaburan yang meningkat pada tahun lalu.
“Apa yang uniknya dalam konteks pelaksanaan program yang digerakkan YaPEIM, sebagai penyelaras dana pelaburan dalam program ini, pihak YaPEIM tidak mengenakan sebarang caj pengurusan kepada institusi pelabur.
“Sumbangan ini semuanya daripada Majlis Agama Islam Negeri-negeri (Main) dan Tabung Baitulmal Negeri. Langkah tidak mengenakan caj atas semangat untuk membantu dan memberi ruang kepada rakan pelabur mendapat manfaat optimum,” katanya.
Jamil Khir berkata, perkembangan Program Ar-Rahnu YaPEIM yang memberangsangkan itu berupaya memberi perkhidmatan melalui transaksi membabitkan 5.4 juta dengan jumlah pinjaman terkumpul sebanyak RM8.6 bilion sudah dikeluarkan sejak program diperkenalkan pada tahun 1993.
“Pada tahun lalu, program ini berupaya memberi manfaat melalui transaksi sejumlah 760,000 kumpulan sasar membabitkan jumlah pinjaman berjumlah RM1.8 bilion. Perkembangan ini memperlihatkan kepada kita bahawa program ini berupaya menjadi pilihan utama kepada masyarakat,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: