Friday, March 16, 2012

Hati tersentuh pelanggan cerewet

KERJASAMA...Rohimah yakin semua ini tidak akan terhasil sekiranya tidak mendapat kerjasama daripada semua kakitangan.
KERJASAMA...Rohimah yakin semua ini tidak akan terhasil sekiranya tidak mendapat kerjasama daripada semua kakitangan.

MEMULAKAN kerjaya dalam dunia perhotelan dan kini ‘tercampak’ pula dalam bidang pembinaan serta pengeluaran cat, sedikitpun tidak menimbulkan masalah bagi Rohimah Mamat, 45, untuk menyesuaikan diri dalam dua pilihan kerjaya berbeza.

Dia sebelum ini bekerja sebagai pengemas bilik di sebuah hotel terkemuka untuk menyara keluarga dan kemudian menjadi Pengurus Resort di Pantai Balok, Kuantan sebelum berhenti kerja untuk menumpukan perhatian kepada anak-anak.

  • Foto

    ROHIMAH...tidak memiliki sebarang pengalaman dalam dunia perniagaan tetapi mampu terajui syarikat yang lazimnya dimonopoli lelaki.

  • Foto

    SELIA...Rohimah meneliti setiap proses yang dilakukan bagi memastikan kualiti cat yang terhasil bermutu.

Wanita cekal itu mengakui tidak mudah melakukannya, tetapi ia juga bukan sesuatu yang mustahil untuk dicapai sekiranya tekad mengatasi segalanya.

Menurutnya, produk cat syarikatnya dikeluarkan sejak 1990 dengan penghasilan produk pertamanya iaitu Storm Guard Paint. Sejak dipasarkan, ia mendapat permintaan tinggi daripada syarikat pembinaan tempatan kerana berkualiti tinggi dan senang dibancuh serta boleh didapati pada berharga berpatutan.


Sungguhpun tidak memiliki sebarang pengalaman dalam dunia perniagaan, dia tidak mudah mengalah dan mula mempelajarinya sedikit demi sedikit.


“Saya bermula dari bawah dan tidak pernah mengharapkan sebarang keistimewaan disebabkan saya wanita sebaliknya berusaha sedaya upaya memberikan hasil terbaik dalam segala bidang.

“Semuanya saya belajar daripada perkara yang kecil hinggalah membantu menyelesaikan masalah berat dan ia menjadi satu pengalaman sukar dilupakan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Bandar Baru Ampang, Selangor, baru-baru ini.

Lebih membanggakan kini, syarikatnya juga memasarkan produk cat lapisan kalis air, MyFrosheil 300 ke pasaran antarabangsa iaitu di Vietnam selepas mendapat permintaan memberangsangkan di pasaran Singapura dan Brunei.

Katanya, permintaan menggalakkan ini disebabkan kualiti produk keluarannya sentiasa dipertingkatkan melalui kajian yang dilakukan suaminya merangkap penasihat perniagaannya iaitu Profesor Dr Mohd Fawzi Ramli.

Kajian formulasi cat yang dilakukan berdasarkan teknologi Eropah ini ternyata memberikan banyak manfaat kerana ia berupaya mengekalkan tekstur cat yang dibuat bagi membentuk hasil akhir yang lebih menarik.

Selain itu, Rohimah berkata, dengan formulasi teknologi terbaru yang dibawa masuk dari luar ini, cat yang dihasilkan mampu menahan air daripada masuk ke dalam konkrit selain tahan panas, tidak mudah menggelupas dan antikulat.

Di samping itu, dia juga tidak pernah mendapatkan bantuan mana-mana pihak dan menggunakan duit poketnya RM300,000 sebagai modal permulaan untuk mendapatkan peralatan serta kelengkapan bersesuaian dengan perniagaan yang ingin diceburinya itu.

“Mulanya modal berkenaan dibuat pusingan untuk menghasilkan cat kalis air kemudian dikembangkan kepada penghasilan produk sistem LBS iaitu konkrit ringan (batu blok) bagi pembinaan.

“Saya cuba mempelbagaikan keluaran produk secara sistematik dan bukan secara drastik bagi memastikan ia mampu dipasarkan dengan lebih meluas dan mendapat permintaan mengikut kesesuaian projek,” katanya.

Sepanjang pengalamannya mengendalikan urusan perniagaan ini, dia akui bertemu dengan pelbagai kerenah pelanggan daripada yang baik hinggalah kepada paling cerewet hinggakan adakalanya mampu membuatkan hatinya tersentuh.

Tetapi, walau apapun yang berlaku mutu serta kualiti produk yang dihasilkan tetap perlu dijaga dan diutamakan serta menjadikan segala teguran pelanggan sebagai maklum balas positif bagi memberikan perkhidmatan terbaik.

Kesabaran adalah faktor paling penting bagi memastikan kelangsungan perniagaan berlaku dengan jayanya kerana jika terlalu terburu-buru pasti sedikit sebanyak ia mencalar imej syarikat yang ingin dicipta di mata pelanggan.

“Disebabkan itu, walaupun menangis di dalam hati saya tidak pernah menunjukkannya di hadapan pelanggan kerana saya tahu jika kita juga sama berkeras seperti mereka masing-masing tidak akan memperoleh manfaat sepatutnya.

“Paling penting adalah untuk memberikan penjelasan sebaik mungkin dan membuat teguran secara berhemah agar pelanggan terbabit mengetahui silap mereka dan menerimanya sebaik mungkin,” katanya.

Daripada segi pemilihan cat yang dikeluarkannya, terdapat lebih 1,000 pilihan warna untuk dimiliki bergantung pada kesesuaian tempat dan kegemaran pelanggan itu sendiri.

Menurutnya, syarikatnya juga mengeluarkan cat minyak lapisan khas yang berkesan untuk menutup permukaan lantai berlubang serta tidak sekata.

“Bukan saja memberikan hasil sekata pada bahagian yang digunakan, cat ini juga mampu menghilangkan kesan berlekuk berkenaan dengan mudah tanpa meninggalkan kesan minyak pada permukaannya.

“Ia bukan saja praktikal untuk digunakan, malah memudahkan tanpa perlu bersusah payah menggunakan bahan lain untuk menutupnya,” katanya.

Selain itu, syarikatnya juga aktif dalam kerja pembinaan dan pengubahsuaian serta mempunyai kepakaran menguruskan bangunan retak serta jalan raya mendap.

Tidak dapat dinafikan di awal pembabitannya dalam dunia pembinaan, terdapat pelbagai pandangan yang dilemparkan kepadanya dalam dunia perniagaan yang dimonopoli kaum lelaki itu.

“Saya tidak pernah menjadikan itu sebagai pematah semangat sebaliknya berusaha menukarkan segala persepsi yang diberikan orang melalui hasil kerja.

“Saya sendiri berada di lapangan dalam cuaca panas terik, mengenal pasti jenis tanah sungguhpun tiada pendidikan formal mengenainya dan pelbagai lagi urusan yang kebiasaannya dilakukan lelaki. Kini ia sudah menjadi perkara biasa bagi saya,” katanya.

Namun, katanya semua ini tidak akan terhasil sekiranya tidak mendapat kerjasama daripada semua kakitangan yang turut berusaha memastikan kejayaan dan kesinambungan perniagaannya.

Ibu kepada dua cahaya mata ini mengakui banyak masanya digunakan ataupun lebih diperuntukkan untuk memastikan kestabilan syarikatnya berada di tahap optimum.
Namun, dia bernasib baik kerana memiliki keluarga yang memahami minatnya dalam dunia perniagaan sebegini dan sentiasa memberikan sokongan penuh terhadap usahanya.

“Saya tidak mempunyai masa untuk kelihatan cantik seperti wanita lain kerana kebanyakan masa saya habiskan di lapangan yang memerlukan saya berpakaian agak selekeh.

“Tetapi saya masih tahu had dan batas yang perlu saya ikuti kerana sungguhpun bekerja dalam suasana penuh lasak, saya tetap seorang wanita,”
katanya.


PROFIL

NAMA: Rohimah Mamat
ASAL: Pekan Melor, Kelantan
TARIKH LAHIR: 11 Mei 1966
KERJAYA: Ketua Pegawai Eksekutif Westside Acrythane Polymers Sdn Bhd (WAP), Pennoni Associates Consultant dan MFR Injection Sdn Bhd.
STATUS: Berkahwin
PENDIDIKAN: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
SUAMI: Profesor Dr Mohd Fawzi Ramli

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: