Tembusi  pasaran  antarabangsa

Sepuluh tahun dalam industri, kumpulan muzik terkenal Indonesia, Nidji kini semakin giat melebarkan sayapnya ke pasaran antarabangsa. Memilih Australia sebagai destinasi pilihan untuk melancarkan album terbaru berjudul Victory, Nidji telah diintai oleh syarikat rakaman negara itu, Valleyarm sejak dua tahun lalu.

Kumpulan yang dianggotai oleh enam anak muda ini menganggap pencapaian mereka itu sebagai hadiah sempena ulang tahun mereka yang ke-10 tahun ini. Menurut vokalisnya, Giring, mereka berbesar hati menerima undangan Valleyarm yang berhasrat mengadakan pelancaran album Victory di Australia pertengahan tahun ini.

“Kami baru sahaja melancarkan album keempat kami, Liberty bulan lalu di Malaysia. Sebenarnya, album Liberty & Victory adalah album berkembar. Namun kami memilih untuk melancarkan album Victory di Australia memandangkan syarikat rakaman di sana meminta kami membuat pelancaran di situ.

“Album Liberty adalah untuk pasaran di Indonesia dan Malaysia kerana dalam Bahasa Melayu, sementara album Victory mengandungi lima lagu Inggeris sesuai dengan pasaran antarabangsa,” katanya semasa sidang media mengumumkan Nidji sebagai duta jenama Mister Potato di Kota Damansara, baru-baru ini.

Selain melancarkan album, kumpulan ini juga berhasrat mengadakan sesi jelajah di negara Kanggaru itu selama sebulan.

“Kami telah ke Melbourne lebih kurang 11 hari untuk pembikinan album tersebut dan hasilnya kami berpuas hati. Cuma kini hanya perlu menunggu masa untuk melancarkan album. Dalam pada itu, kami merancang untuk terus mengadakan aktiviti promosi di sana tidak lebih daripada satu bulan,” katanya yang berhasrat membawa bersama isterinya, Cynthia untuk bercuti ke England.


Selesa imej baru

Terkenal dengan imej rambut Afronya sebelum ini, Giring kini ternyata lebih segak dengan potongan rambut baru. Menganggap transformasinya itu sebagai perubahan baru sempena usia Nidji yang telah mencecah sepuluh tahun, Giring berhasrat untuk memberi imej yang lebih segar buat tatapan peminat.

“Sejak tahun lalu, saya sudah terfikir untuk mengubah imej. Jadi, memandangkan tahun ini ulang tahun ke-10 Nidji dalam industri, saya fikir ada eloknya melakukan perubahan. Bagaimanapun, saya masih rindukan rambut Afro yang dulu, malah ada juga teman dan peminat memberitahu, mereka juga rindu melihat Giring yang dulu,” katanya sambil memberitahu selesa dengan gaya rambutnya sekarang.

Dalam perkembangan lain, Giring kini dalam proses bekerjasama dengan sebuah syarikat produksi bagi menjayakan filem baru di Indonesia.

“Saya baru menerima tawaran berlakon filem sebagai tunjang utama, namun masih belum menandatangani kontrak itu lagi. Jika semuanya berjalan lancar, kami akan melakukan penggambaran di Jerman,” katanya.