Walaupun pernah mempertaruhkan album di awal kemunculan dalam industri seni pada 1984, namun rezeki Mas Omar, 56, bukanlah dalam bidang nyanyian. Jika ditanya mana-mana artis atau penggiat seni, rata-rata mengenali insan ini yang sudah lebih 30 tahun menggalas tanggung jawab sebagai pengurus artis.
Umum mengetahui, pengurus artis bukanlah kerja mudah kerana jatuh bangun seseorang artis bergantung kepadanya. Dalam erti kata lain, pengurus bertanggung jawab menjaga periuk nasi artis. Tidak perlu mempertikaikan kerja Mas Omar kerana hampir 99 peratus artis di bawah jagaannya mampu pergi lebih jauh dengan usahanya berlipat ganda.
30 tahun bukanlah tempoh masa singkat. Pelbagai pengalaman dan peristiwa ditempuhi Mas Omar untuk memegang tugas itu. Walaupun industri mengalami lambakan artis dan pengurus, namun nama Mas Omar tetap gah.
“Saya akui, memang setiap artis itu tidak sama perangainya. Ada senang diurus dan ada memeningkan kepala. Namun, saya tetap lakukan yang terbaik. Jika mereka berjaya mematuhi arahan, mereka lebih berjaya. Tapi bagi malas berusaha, mereka tidak lama dalam industri. Setiap pekerjaan mempunyai cabaran tersendiri, jadi saya menganggap ini lumrah.
“Tidak kurang juga ‘lupa daratan’ sehingga melupakan usaha saya menaikkan namanya. Namun, saya tidak pernah berkecil hati. Saya tidak pernah mendoakan keburukan untuk mereka, tetapi lambat laun mereka akan sedar,” katanya yang kini menguruskan penyanyi baru, Haris Abdul dan kumpulan indie, Stubborn.
Pernah jadi penyanyi
Mengimbau sejarah penglibatannya, Mas Omar memberitahu, pada awal 80-an, dia mula berjinak sebagai penyanyi. Niatnya itu bukanlah sekadar angan-angan kosong kerana pada 1984, dia berjaya menampilkan album Disko Dangdut Barat (DBB Group) bersama R Jaafar. Album bertemakan pang lipur lara itu berjaya mencuri tumpuan pendengar menerusi killer song, Minah Kilang.
Menurutnya, setelah rakan-rakan seangkatannya seperti Halil Chik, Hail Amir dan Latif Ibrahim mula mencuri tumpuan peminat, niatnya meneruskan karier sebagai penyanyi seakan terbantut.
“Memandangkan mereka semua hebat dan sukar ditandingi, saya berundur. Persaingan ketika itu terlalu sengit. Jadi saya rasa, nyanyian bukanlah bidang saya. Tanpa disangka, saya mendapat tawaran daripada Omar Wahab dari Nawab Production sebagai pengurus artis. Saya mula mempelajari dunia pengurus.
“Lama-kelamaan, saya dapat rasa bidang ini sesuai dengan saya dan ia terus menjadi karier sehingga sekarang. Pun begitu, saya sempat merakamkan tiga album lain iaitu Album Nasyid Pop, Seribu Bintang Berhari Raya dan Senandung Mesra Aidilfitri," katanya yang diberi tanggung jawab menguruskan artis pertama, Fareez (bekas suami Noraniza Idris), Noraniza Yusof (Juara Bintang RTM) dan Norynn Nor.
Selain itu, Mas Omar turut menguruskan artis lain termasuk Nasir Wahab, Ramlah Ram, Liza Abdullah, Rohana Jalil, Juliza Adlizan, Datuk Shake, Datuk M Daud Kilau, Datuk Jefrydin, Ella, M Nasir, Rahim Maarof, Search, Wings, May, Gersang, Siti Fairuz, Zur Eda, Herman Tino, N D Lala, arwah Izwan Pilus, KRU, Elite, Restu dan Trio Santan Berlada.
Di sebalik nama Mas
Bertanya mengenai pemilihan gelaran Mas dipangkal namanya, dia memberitahu, ia kenangan zaman percintaan bersama isteri, Sawiah Ali. Katanya, ketika itu, Malaysia Airlines System (MAS) mula diperkenalkan dan mereka mengambil singkatan itu yang membawa makna ikatan percintaan.
“Mohamad and Sawiah. Disingkatkan menjadi Mas. Jadi, saya gunakan singkatan Mas untuk keturunan saya. Anak-anak dan cucu saya semuanya bermula dengan nama Mas. Begitu juga nama saya, saya gunakan nama pena, Mas pada pangkal nama. Saya harap legasi Mas ini diteruskan walaupun saya sudah tiada nanti. Ia kenangan manis saya dan isteri,” kata bapa kepada Mas Sazly, (35), Mas Sazmy (32), Mas Sazny (30) dan Mas Mona (20).
Dia pernah ilhamkan nama anak bongsunya, Mas Mona, untuk lagu dendangan, Datuk Jefrydin. Lagu itu menjadi siulan ramai walaupun anaknya ketika itu baru berusia enam bulan.
Tidak hanya dikenali sebagai pengurus artis, Mas Omar bijak menyusun jadualnya mengendalikan dua syarikat sendiri, Masa Entertainment & Production dan Zasyaz Production. Jelas Mas Omar, Masa Entertainment & Production diuruskan isterinya. Syarikat itu ditubuhkan untuk mengurus dan menganjurkan majlis persembahan syarikat swasta dan korporat.
“Bagi Zasyaz Production pula, kami menjadi pembekal kepada stesen televisyen untuk menyajikan drama bermutu. Sebelum ini, kami berjaya menerbitkan sitkom bersiri, Fa So La Ti Do untuk saluran RTM. Sitkom itu diarahkan Roslan Abd Aziz dan mengambil pendekatan atau idea daripada karya Allahyarham Tan Sri P Ramlee seperti Bujang Lapok, Labu Labi dan Laksamana Do Re Mi.
“Kini, kami optimis mengembangkan lagi syarikat ini. Selain mendapatkan persetujuan daripada stesen TV, kami mencari idea bernas untuk menampilkan rancangan menarik,” katanya.
Monday, March 19, 2012
Mas Omar masih jadi pilihan artis
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: