Monday, March 5, 2012

Tangki air berkarat diturunkan


SOON HAI (tengah) bersama penduduk ketika melawat kerja-kerja menurunkan tangki air di Rumah Pangsa Taman Setia Jaya, Alor Setar semalam.


ALOR SETAR – Lebih 300 penghuni Blok G, Rumah Pangsa Taman Setia Jaya di Jalan Langgar di sini lega apabila tangki air berkarat dan hampir pecah di bumbung bangunan empat tingkat itu diturunkan di sini mulai semalam.

Kerja-kerja menurunkan tangki air berusia 22 tahun itu adalah inisiatif Ahli Dewan Undangan Negeri Derga, Dr. Cheah Soon Hai yang menampung perbelanjaan berjumlah RM6,000 bagi tujuan itu.

Menurut Soon Hai, kontraktor yang dilantik memerlukan masa selama tiga hari untuk menurunkan kepingan tangki air yang sudah berkarat satu demi satu.

“Tangki air ini sudah dikosongkan sejak sebulan lalu kerana keadaannya yang tidak selamat digunakan. Selain itu, kedudukannya betul-betul di tepi bangunan juga mengancam nyawa penduduk sekiranya terjatuh,” katanya.

Beliau ditemui ketika melawat kontraktor menjalankan kerja-kerja menurunkan kepingan tangki air berkarat itu di sini semalam.

Menurut Soon Hai, pihaknya telah memohon bantuan daripada kerajaan negeri sejak lapan bulan lalu untuk melakukan sesuatu bagi menyelesaikan masalah penghuni rumah pangsa itu namun tidak ada maklum balas positif diterima.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: