Monday, March 5, 2012

Ezad Lazim kahwin masa terdekat




BERPECAH daripada kumpulan Exist pada tahun 2008, Ezad Lazim membawa namanya secara solo. Dirasakan lebih selesa tanpa perlu memikirkan banyak isu, hatinya teguh masih menyokong Exist.

Menggantikan Mamat selaku vokalis Exist yang menarik diri pada tahun 1995, Ezad atau nama sebenar Mohd. Rohaizad Mohd. Lazim, 33, serik dirinya dituduh punyai masalah disiplin.

Malah, dia kini masih terus mencuba untuk mengikis sedikit demi sedikit imej Exist darpada dirinya. Maka, album solo pertamanya yang diberi judul Mengharap Bintang terbitan Universal Music Malaysia dan MVM Production Sdn. Bhd. merupakan langkah awal percubaannya.

Sebanyak lima buah lagu baharu yang dipertaruhkan iaitu Percintaan Ini, Mengharap Bintang, Gambaran Sebuah Rindu, Kau Dan Aku Yang Dulu dan Tiba-Tiba Teringat.

Selain itu, turut diselitkan lima lagu popular Exists yang dinyanyikan semula iaitu Alasanmu, Dirantai Digelangi Rindu, Rindu Serindu-Rindunya, Mengintai Dari Tirai Kamar dan Masih Terserlah Ayumu.

Ikuti temu bual bersama bekas anggota kumpulan Exist, Ezad Lazim sewaktu majlis pelancaran cakera padat video Mengharap Bintang di Red Box Ria, Sogo, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kosmo!: Bagaimana sambutan peminat terhadap album solo Ezad selepas dilancarkan penghujung tahun lalu?

Ezad: Alhamdulillah, sambutan yang diterima sangat menggalakkan. Album ini satu simbolik yang bermakna dan saya anggap ini kelahiran semula Ezad Lazim.

Kalau diperhatikan, sukar sekali untuk Ezad mengikis imej kumpulan Exist sama ada menerusi penampilan mahupun lagu-lagu dalam album solo ini. Malah, ada juga lagu-lagu daripada kumpulan Exist termuat dalam album ini. Komen Ezad?

Saya masih menggunakan khidmat komposer yang sama sejak saya menganggotai kumpulan Exist dulu. Mungkin masih ada persamaan vokal. Saya sudah cuba semua genre lain dan rata-rata peminat meminati saya melalui cara sekarang. Saya hanya buat apa yang ada dalam jiwa saya.

Bagaimana dengan panggilan peminat kepada Ezad sekarang? Masih menggelarkan anda sebagai Ezad Exist atau Ezad Lazim?

Sebenarnya masih ramai lagi yang memanggil saya dengan nama Ezad Exist sebab saya merupakan penyanyi yang paling lama bersama kumpulan itu. Saya tak kisah peminat mahu panggil saya dengan apa gelaran sekalipun.

Adakah bagi Ezad sendiri masih dalam peringkat mencuba-cuba atau masih dibelenggu bayangan kumpulan Exist?

Kejam untuk saya menghapuskan imej Exist secara total. Saya bertuah dapat bersama Exist, selebihnya terpulang kepada peminat untuk memutuskan sendiri. Mungkin sebab ini album solo saya yang pertama dan saya terlalu lama dengan Exist.

Susah untuk Ezad bergerak solo?

Susah! Saya anggap ini sebagai satu pengalaman yang mematangkan dan tidak mengecewakan. Kematangan lahir apabila bergerak solo, imej, pembawaan diri, semuanya perlu lebih bersedia.

Dalam album solo ini, Ezad masih memuatkan lagu-lagu daripada kumpulan Exist. Kenapa?

Tidak berminat dengan idea ini pada mulanya tapi setelah melalui perbincangan, saya rasakan album kompilasi adalah lebih memberangsangkan. Peminat juga dapat dengar balik lagu-lagu lama Exist. Ia ibarat bonus track.

Sepanjang tempoh lima tahun setelah berpecah daripada kumpulan Exist, apa yang Ezad buat?

Banyak. Saya ada buka perniagaan dengan keluarga iaitu Ezad Perfume. Kecewa pun ada tapi mujurlah ada keluarga yang tetap menyokong saya. Pengalaman selama lima tahun buat saya rasa segar semula, ini proses untuk saya belajar bermula dari bawah.

Memandangkan usia Ezad pun sudah mencecah ke angka 33 tahun, ada perancangan untuk menamatkan zaman bujang?

Insya-Allah dalam masa terdekat. Calon sudah ada, orang biasa saja dan dia lebih muda daripada saya. Kami saling mengenali sejak tiga tahun lalu dan tidak salah lagi dialah insan yang paling layak dan tidak pernah jemu menyokong saya.

Bagaimana perkenalan kalian berdua dan bagaimana penerimaan kedua-dua belah keluarga?

Kedua-dua keluarga sudah berjumpa dan kami berkenalan secara tidak sengaja bermula sekadar kawan biasa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: