ARISYA... dapat ‘ayah’ pendendam dan panas baran
KUALA LUMPUR: Badan berbirat akibat dibelasah dengan tali pinggang manakala penampar dan sepak terajang menjadi ‘makanan’ harian seorang gadis sejak kecil, gara-gara dendam tidak berkesudahan lelaki dipanggil bapa.
Seksaan diterima Arisya (bukan nama sebenar), 24, hanya disebabkan lelaki berkenaan tidak dapat menerima hakikat dia terpaksa menjadi ‘pak sanggup’ dengan mengahwini ibunya selepas wanita itu hamil sebelum bernikah.
Menurut Arisya, zaman kanak-kanaknya tidak seperti rakan sebaya lain yang sentiasa disaluti kasih sayang ibu bapa serta kegembiraan.
Katanya, kehidupannya penuh kedukaan kerana didera ‘bapanya’ tanpa belas kasihan setiap kali melakukan kesilapan, biarpun tidak sebesar mana.
Disebabkan sering menerima layanan buruk ‘bapa sendiri’, Arisya sering tertanya-tanya, apakah dosa dilakukannya sehingga diperlakukan sedemikian.
Menginjak usia remaja, dia pernah terdengar pertengkaran besar di antara orang tuanya. Bapanya mengungkit yang dia terpaksa menjadi ‘pak sanggup’ kerana ibunya mengandung benih orang lain.
Akibat dendam kesumat itu, bapanya sering menjadikan ibunya sebagai mangsa deraan apabila cuba menyebelahi Arisya.
“Sebenarnya, ayah seorang yang panas baran terhadap emak, saya mahupun adik-adik. Namun saya paling teruk dibelasah walaupun kerana ingin bergurau, bergaduh kecil atau bermanja dengan adik-adik, seolah-olah melakukan kesalahan sangat besar.
“Saya tak tahu mengapa ayah terlalu baran dengan saya. Penampar yang diberi bertahun-tahun membuatkan jiwa saya tertekan.
“Terakhir ketika saya berusia 14 tahun apabila dibelasah dengan tali pinggang hingga menangis seharian akibat menanggung kesakitan yang amat sangat. Kesan daripada situ, saya membuat keputusan lari daripada rumah tapi tidak tahu ke mana hendak dituju.
“Ketika itu, yang terfikir ialah melarikan diri ke balai polis lalu membuat laporan saya didera ayah kandung. Polis kemudian membuat tangkapan dan ayah ditahan kerana kesalahan mendera berdasarkan laporan kesihatan oleh pihak hospital,” katanya kepada Metro Ahad.
Bagaimanapun, kesan psikologi terhadap Arisya sangat teruk kerana terpaksa melalui dugaan yang bukan sedikit apabila dihantar ke rumah perlindungan kanak-kanak dan berpisah dengan keluarga.
“Ia pengalaman sukar yang terpaksa diharungi bagi remaja yang masih mentah seperti saya. Disebabkan laporan itu ayah dibuang kerja, menyebabkan kebenciannya terhadap saya makin meluap-luap.
“Namun, saya mungkin selamat kerana berada di rumah perlindungan kanak-kanak tapi terfikir juga, apa akan jadi dengan emak dan adik lain sepanjang ketiadaan saya,” kata anak sulung itu.
Apabila ditempatkan di rumah perlindungan bawah pengawasan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kedudukan tempat itu jauh daripada ibu kota dan di situlah bermula episod baru dalam hidup Arisya.
Keindahan hidup diimpikan Arisya tidak seindah disangka walaupun dia diterima masuk ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Ketika menuntut di IPTA, dia terpaut dengan rakan sekuliah dikenali sebagai Izzat (bukan nama sebenar) tetapi berlainan bidang pengajian dan hubungan mereka direstui kedua-dua keluarga.
Sebaik tamat pengajian mereka, Izzat menghantar keluarganya untuk meminang dan keluarga Arisya menetapkan tempoh pertunangan dua tahun kerana masing-masing ingin mengukuhkan kerjaya.
Sekali lagi Arisya diuji dengan peristiwa dahsyat apabila setahun selepas bertunang, Izzat meminta hubu ngan itu diputuskan tanpa sebab.
Puas memikirkan kesilapan dilakukan dan mendesak tunangnya menjelaskan perkara sebenar, akhirnya Izzat membuat pengakuan dan perkara itu benar-benar melukakan hatinya.
“Sebenarnya, emak Izzat yang meminta pertunangan diputuskan selepas dia mendapat tahu saya anak tidak sah taraf atau bahasa kasarnya, anak luar nikah.
“Bayangkan, luluhnya hati saya saat itu sehingga membuatkan jiwa tertekan, sekali gus jatuh sakit beberapa bulan. Walaupun Izzat meminta saya supaya tabah, apalah ertinya sebab dia sendiri tidak memberi sebarang harapan untuk memujuk emaknya.
“Akhirnya, saya terima hakikat yang Izzat sebenarnya ‘anak emak’ sebab apa saja keputusan ibunya diterima bulat-bulat, walaupun dia tidak mahu hubungan kami diputuskan,” katanya.
Lebih memilukan Arisya, bekas tunangnya berkahwin beberapa bulan selepas itu dengan gadis pilihan ibunya, tetapi sehingga kini lelaki itu masih menghubunginya.
Katanya, Izzat menyatakan rasa kesalnya terhadap apa yang berlaku tetapi lelaki itu kini dianggapnya kawan biasa.
Walaupun jauh di sudut hati, kasih sayang lelaki itu terhadapnya terlalu mendalam memandangkan Arisya cinta pertamanya, segala-galanya terpaksa dikorbankan kerana tidak sanggup memusnahkan rumah tangga Izzat yang dibina atas pilihan orang tuanya.
Kini Arisya tinggal bersama rakan di sebuah kondominium dan semangatnya semakin kuat menempuh setiap ujian hidup serta berhasrat untuk lebih berjaya dalam bidang diceburi walaupun kini belum ada pengganti.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: