Sunday, March 18, 2012

Gurauan jerat Wilma

Wilma Muhammad
Wilma Muhammad

ANDAI bertemu jodoh, dia tidak teragak-agak meninggalkan dunia lakonan dan peragaan. Itu tekadnya 11 tahun lalu, biarpun filem kedua lakonannya, Pasrah, baru menjengah pawagam ketika itu.

Dia tidak berpaling lagi dan mengucapkan selamat tinggal kepada dunia glamor kerana fokusnya beralih 360 darjah kepada suami tercinta, Allahyarham Mahir Effendi Mahmud yang menghembuskan nafas terakhir pada 27 Januari 2011 akibat saluran arteri tersumbat.

  • Foto

  • Foto

  • Foto

Ujar Wilma Muhammad, 39, istilah menyesal tidak wujud berikutan tindakan drastik itu bahkan sangat bahagia dengan laluan hidup yang dipilih. Bersama suami tersayang, dia menyulam bunga-bunga cinta dan dikurniakan lima cahayamata iaitu Raida Thaqifa, 10, Athira Inara, 8, Mahira Aqila, 6, Muhamad Yusuf, 4 dan Umar Al Faruq, 3.

Selepas sekian lama tidak muncul di layar perak mahupun skrin kaca, nama model dan pelakon jelita ini kembali menjadi perhatian apabila berita membintangi filem 1945: Malaya Without Malay arahan Emran Ismail tersebar.


Ketika menjayakan fotografi bersama SELEBRITI, ibu berjiwa penyayang ini dengan rendah diri menjelaskan tidak pernah terlintas di sanubarinya untuk beraksi semula di depan lensa kamera namun gurauan ketika menjawab pelawaan teman sepejabat ‘menjeratnya’ untuk kembali ke dunia yang sudah lama ditinggalkan.


“Kira-kira enam bulan selepas suami meninggal dunia, saya bekerja di syarikat kawan sebagai eksekutif pemasaran. Sepanjang memikul tanggungjawab itu, saya bertemu ramai orang termasuklah sahabat lama dalam industri. Ada antara mereka memujuk saya kembali berlakon bahkan sebelum itu banyak tawaran hadir tetapi hati ini belum terbuka.

“Nak dijadikan cerita, rakan saya, Asri Abdul Rahman, bertanya adakah saya minat untuk berlakon semula. Disebabkan banyak kali bertanya saya pun jawab dengan gurauan, kalau ada tawaran filem, watak utama, jalan cerita dan bayaran bagus serta saya boleh kekal bertudung, tidak mustahil.

“Tiba-tiba dia keluarkan surat kelulusan Finas untuk bikin filem. Saya terkedu, saya ingat dia main-main. Tidak lama selepas itu, dia bawa saya jumpa sahabatnya, Emran Ismail yang akan mengarah filem 1945: Malaya Without Malay.
Saya teliti skrip dan jatuh cinta dengan jalan ceritanya yang lain dari lain.
Selepas berfikir panjang, saya menyatakan persetujuan dan keputusan ini mendapat restu keluarga,” katanya.

Mengulas lanjut filem terbarunya itu, Wilma yang anggun menggayakan busana rekaan O’oi Coutoure menjelaskan, ia diadaptasi daripada kisah benar namun diselitkan beberapa watak rekaan bagi mencantikkan lagi penceritaan.

Berlatarbelakangkan Tanah Melayu sebelum merdeka, rakyat hidup dalam ketakutan apabila komunis bermaharajalela. Kaum Adam diberkas, diseksa malah ramai dibunuh dengan kejam gara-gara enggan tunduk kepada tekanan komunis.

“Tatkala keadaan semakin darurat, wanita terpaksa mengambil alih tempat lelaki mempertahankan keselamatan tanah air. Ketika inilah Tengku Suraya, watak lakonan saya, menggantikan posisi suaminya sebagai pucuk pimpinan gerila Selimut Merah yang diiktiraf Kerajaan Tanah Malaya untuk menentang kekejaman
komunis.

“Saya teruja bawa watak berat ini. Ia bukan saja menuntut saya menjadi wanita bangsawan berjiwa rakyat tetapi sanggup berjuang demi keamanan negara dan menyelamatkan suami tercinta yang ditawan komunis.

“Pada masa sama, saya berdebar-debar. Maklumlah, sudah lama tinggalkan dunia lakonan. Risau memikirkan adakah persembahan saya mencapai piawaian yang penerbit serta pengarah mahukan kerana jika ikutkan, ini baru filem ketiga saya. Ketika membintangi Ghazal Untuk Rabiah, saya tidak ada asas atau pengalaman berlakon. Risau hanya Tuhan saja yang tahu apatah lagi saya pegang watak utama.

“Saya ingat itulah percubaan pertama dan terakhir, tak sangka pula tiba-tiba dapat tawaran menjayakan filem Pasrah di samping Erra Fazira dan Norman Hakim.
Baru saja filem itu ditayangkan, saya sudah berundur dari industri dan kini saya memikul peranan penting dalam 1945. Insya-Allah saya akan buat sehabis baik dalam filem ini,” katanya.


Biasa menembak dan berburu

LOKASI 1945: Malaya Without Malay di sekitar Lembah Klang sangat melegakan Wilma kerana tidak perlu berjauhan dengan anak-anak. Meskipun ada babak dalam hutan, bergelumang dengan letupan bom dan bunyi tembakan senapang, dia tidak kekok.

Ini kerana dia yang menggemari aktiviti lasak mempunyai pengalaman menggunakan senapang ketika zaman remaja di Sabah.

“Ayah dan bapa saudara saya suka menembak dan berburu. Saya belajar menembak daripada mereka dan sesekali ikut mereka berburu. Mungkin kerana sudah terbiasa jadi saya tidak kisah menjalani penggambaran dalam hutan.

“Filem ini mendapat kerjasama Angkatan Tentera Malaysia di mana saya difahamkan kira-kira 200 anggota tentera darat akan beraksi sebagai pelakon ekstra.
Sebelum penggambaran bermula, barisan pelakon akan diberi latihan ketenteraan.
Pengalaman ini sangat menarik malah saya rasa sangat bersemangat di lokasi penggambaran,” katanya.

Ditanya seandainya ada lagi tawaran berlakon selepas ini adakah dia akan kembali lagi ke lokasi penggambaran, sambil tersenyum manis Wilma berkata, tidak mustahil jika produksi sanggup mengikut syarat yang diletakkannya.

“Jika ada tawaran menarik, skrip yang bagus, watak bersesuaian dan masih kekal bertudung, saya tidak ada masalah. Seboleh mungkin, saya mahu elak babak yang menuntut saya bersentuhan dengan lelaki bukan muhrim dan jika penerbit atau pengarah bersetuju, mungkin saya akan terima watak yang ditawarkan.

“Saya tahu pasti ada yang pertikai kenapa saya mahu kembali berlakon jika itu tak boleh ini tak boleh. Bagi saya sebagai manusia kita ada pilihan, selagi termampu apa salah kita jaga,” katanya mesra.

Mengulas statusnya sebagai ibu tunggal, Wilma mengakui banyak onak dan duri terpaksa ditempuh namun dia tidak pernah mengeluh. Apa yang berlaku itu sudah tersurat dan sebagai manusia dia reda dengan segala ketentuan Ilahi.

Menjadi prinsipnya sejak dulu, tidak perlu risau berlebihan atau kusutkan fikiran dengan terlalu banyak berfikir kerana ia hanya akan memburukkan lagi keadaan. Cara terbaik, jalani saja kehidupan seadanya malah sentiasa suburkan jiwa dengan kesedaran bahawa Allah SWT Maha Penyayang lagi Maha Pengasihani.

“Siapa yang tidak sedih jika suami menyahut seruan Ilahi apatah lagi dia pergi secara mengejut. Masih segar di ingatan detik-detik pemergiannya, pulang dari kerja, suami berjumpa anak-anak terlebih dulu sebelum naik ke bilik yang terletak di tingkat atas dan ketika masuk ke dalam bilik dia rebah tidak sedarkan diri.

“Saya yang kebetulan masuk ke dalam bilik terus memangku kepala suami dan ketika itu dia masih bernyawa. Tidak lama kemudian dia menghembuskan nafas terakhir di depan mata saya. Kehilangannya amat dirasai apatah lagi arwah suami yang sangat baik tetapi saya kena reda. Saya kena kuat demi anak-anak.

“Syukur saya dikurniakan keluarga mentua yang baik, kami sangat rapat malah setiap hari ibu mentua pasti datang menjenguk anak-anak. Ipar duai pun sangat mengambil berat malah mereka menghormati saya sebagai kakak. Berada bersama mereka buat saya rasa sangat disayangi.

“Memang tidak dinafikan hidup sebagai ibu tunggal banyak cabarannya tetapi saya tidak mahu fikirkan sangat.

Saya percaya nasib dan rezeki setiap manusia itu sudah ditentukan jadi kenapa perlu bebankan diri dengan terlalu banyak berfikir. Daripada menangisi nasib, ada baiknya belajar reda dan percayalah rezeki anak-anak pasti ada. Allah kan Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,” katanya seraya tersenyum manis.

Tambahnya, memori bersama suami akan menjadi pemacu semangatnya membesarkan anak-anak. Sebagai ibu dia akan memberikan didikan terbaik buat zuriat yang menjadi amanahnya itu bahkan amat menitikberatkan didikan agama dengan harapan pewarisnya itu menjadi insan soleh serta solehah.

“Arwah suami sangat bertanggungjawab dan penyayang orangnya. Dari awal perkahwinan dia tidak pernah menghalang apa yang saya suka bahkan kalau saya mahu kembali aktif berlakon, dia izinkan tetapi saya yang tidak mahu.

“Saya tidak boleh buat dua perkara dalam satu masa. Justeru itu, pilihan harus dibuat dan sudah tentu keluarga jadi keutamaan. Kebetulan pula usia saya ketika mendirikan rumah tangga 29 tahun, saya mahu cepat menimang cahaya mata,” katanya yang mula bertudung selepas sebulan bergelar isteri bahkan transformasi itu dapat dilihat ketika berlangsungnya majlis resepsi keduanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: