AKTRES Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) 1992, Deanna Yusoff menegaskan tidak pernah berkahwin dan enggan mahu memikirkan soal jodoh mahupun anak buat ketika ini kerana ada hala tuju sendiri.“Saya tidak pernah berkahwin dan ia adalah pilihan dalam hidup saya. Saya akui sukakan kanak-kanak tetapi setakat itu saja rasa itu dan tidak terfikir untuk mempunyai anak sendiri. Jika terlintas memiliki anak, mungkin saya akan mengambil anak angkat.Bukan takut kegagalan tetapi tanggungjawab dalam perkahwinan sangat berat dan saya tidak terfikir mampu melakukannya. - Deanna Yusof “Bukan takut kegagalan tetapi tanggungjawab dalam perkahwinan sangat berat dan saya tidak terfikir mampu melakukannya,” katanya ketika ditemui pada sidang media Bola Kampung The Movie baru-baru ini sambil memberitahu jika berkahwin tetapi tidak bahagia maka tiada gunanya perkahwinan itu dalam kehidupan.
Katanya, sepanjang usianya, dia tidak pernah langsung mempunyai impian perkahwinan seperti orang lain.
“Sesiapa pun pasti tidak akan faham apa yang saya fikirkan ini tetapi sejujurnya saya tidak ada perkahwinan impian walaupun ada rakan-rakan yang begitu teruja dengan impian perkahwinan masing-masing.
“Jika ada rakan yang berkahwin, saya tumpang gembira saja. Lagipun, saya berkawan dengan ramai yang tidak berumah tangga,” katanya dan memberitahu kehidupannya begitu selesa kini.
Ditanya berkenaan lelaki pilihan, Deanna berkata, lelaki itu perlu selesa dengan dirinya terlebih dulu, tidak bongkak, perlu mengurangkan rasa ego dan baik hati.
“Itu ciri lelaki pilihan saya tetapi saya tidak pernah terfikir untuk mencarinya. Saya lalui kehidupan hari ini dengan begitu gembira dan ia sudah memadai,” katanya.
Walaupun sudah berbelas tahun dalam industri seni, Deanna tidak terlalu banyak muncul dalam filem mahupun drama. Disogok soalan tidakkah dirinya yang begitu ekslusif membuatkan peminat bosan melayan kerenahnya, Deanna menafikan perkara itu.
“Saya memang memilih dan tidak bersetuju peminat akan bosan dengan saya jika sesekali membuat kemunculan. Apa yang saya terima daripada peminat adalah kerinduan mereka terhadap saya dan hadir dalam bentuk berbeza,” katanya yang akan muncul dengan drama berjudul Cendana pada Mei nanti.
Mengenai perkembangan dirinya, Deanna menjelaskan bukan fesyen mahupun kecantikan yang menjadi pertaruhannya, lebih selesa memilih coklat sebagai asas perniagaan yang diceburi sekarang.
Menurutnya, dia memulakan perniagaan coklat yang diimport dari Switzerland secara kecil-kecilan sejak beberapa tahun lalu.
Apabila melihat sambutan oleh rakan-rakannya serta mendapat permintaan tinggi, barulah dia yakin mengembangkan lagi perniagaannya dengan menubuhkan syarikatnya, Artisanal Asia dua tahun lalu.
“Apa yang boleh saya katakan, perniagaan coklat ini amat berbeza dengan mana-mana jenama coklat yang ada di pasaran kerana kami akan menghantarnya terus ke rumah. Memang saya akui harga memang mahal tetapi saya tidak melihat ia sebagai satu kekangan untuk melangkah jauh dengan perniagaan ini.
“Selain itu juga, saya rasa sudah tiba masanya untuk kita mendidik dan mendedahkan kepada masyarakat tentang coklat yang berkualiti," katanya yang amat meminati coklat susu.
Sementara itu, berbicara soal pembabitannya dalam siri Bola Kampung The Movie yang akan muncul tidak lama lagi di pawagam, Deanna mengakui minatnya terhadap siri kartun sejak kecil membuka hatinya menjadi tenaga penting dalam siri itu.
“Masa kecil, saya gemarkan kartun. Lagipun saya melihat animasi ini mempunyai jalan cerita yang baik dan berkesan untuk menggamit penonton ke pawagam. Lagipun saya seronok dapat bekerjasama dengan pelakon berbakat lain seperti Afdlin Shauki, Douglas, Ezlyn dan juga rakan lama lain,” katanya sambil memberitahu siri itu kini sudah siap sepenuhnya dan sedang dalam proses memasukkan suara pelakon.
Filem yang menampilkan watak kartun seperti Iwan,Sabok, Aziezul serta Nasha itu menggunakan banyak elemen imej komputer grafik (CGI) dan bakal menjengah pawagam pada hujung tahun ini dan adalah terbitan pertama Animasia Studios Sdn Bhd dengan kos sebanyak RM6 juta.
INFO Deanna Yusof
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: