Mawar Farisya Farid Alsuwad

SHAH ALAM - Wang terkumpul bagi membantu kos pembedahan Mawar Nur Farisya Farid Alsuwad, 2, yang menghidap penyakit lumpuh otak, jantung berlubang dan injap jantung sempit kini mencecah RM4,572.

Ibunya, Sahida Ramli berkata, beliau bersyukur kerana jumlah itu semakin bertambah berbanding kelmarin hanya RM457.

Menurutnya, Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Ampang memaklum­kan, sekiranya wang pembedahan mencukupi (RM35,000), Mawar akan menjalani pembedahan, 6 April depan, selepas di masukkan ke wad selama dua hari untuk pemeriksaan.

“Saya bersyukur kerana dia tidak mengalami selesema atau demam, cuma dia akan selalu batuk.

“Alhamdulillah. Saya berterima kasih kepada mereka yang menghulurkan bantuan untuk meringankan beban kami sekeluarga,” katanya.

Sahida berkata, semalam, Lembaga Zakat Selangor berkunjung ke kediamannya untuk menguruskan dokumen ber­ke­naan permohonannya sebelum ini.

“Selain Lembaga Zakat, kami juga ada menerima panggilan dari pada Pejabat Menteri Besar akan memberikan sumbangan dan menghubungi semula,” katanya.

Menurut Sahida, di sebabkan beberapa kesulitan dialami mereka yang ingin menghulurkan sum­bangan melalui akaun Bank Islam, sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Maybank atas nama suaminya, Farid Alsuwad Mohamed Maki di nombor akaun 162254719300.

“Ramai hubungi kami memberitahu ada kesulitan, jadi, kami harap sesiapa yang mahu beri sumbangan boleh menggunakan akaun ini," katanya.