Muhammad Mustakim ketika dibawa keluar dari mahkamah, hari ini.

GEORGETOWN - Bekas pelajar sebuah universiti tempatan dipenjara 21 tahun dan 11 kali sebatan selepas didapati bersalah melakukan persetubuhan luar tabii dengan dua mangsa berusia 14 dan sembilan tahun, antara Oktober 2010 hingga Mac 2011.

Muhammad Mustakim Mohamad, 23, dari Taman Bukit Gambir, yang sebelum ini mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan yang dikenakan terhadapnya, menukar pengakuan kepada bersalah di hadapan Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz, hari ini.

Mengikut pertuduhan pertama, Muhammad Mustakim didakwa melakukan perbuatan di luar tabii dengan memaksa mangsa berusia 14 tahun memasukkan zakar ke dalam mulutnya, kira-kira jam 5.30 petang, 30 Mac tahun lalu.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memaksa mangsa yang sama memasukkan zakar ke dalam duburnya kira-kira jam 9.15 pagi, 19 Mac tahun lalu.

Pertuduhan ketiga, Muhammad Mustakim didakwa memaksa mangsa yang sama memasukkan zakar ke dalam mulutnya kira-kira jam 7.05 petang, 13 Mac tahun lalu.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Gambir, Gelugor di sini dan didakwa di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Sementara itu, mengikut pertuduhan keempat, tertuduh didakwa merangsang seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun untuk melakukan sesuatu perbuatan melampau di tandas tingkat bawah perumahan yang sama pada 15 Oktober 2010.

Berdasarkan pertuduhan kelima,dia didakwa melakukan kesalahan yang sama pada keesokan hari, kira-kira jam 3 petang terhadap mangsa yang sama.

Kedua-dua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 337E yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan sebatan.

Sitarun Nisa ketika membacakan keputusannya memutuskan tertuduh dihukum penjara lima tahun dan tiga sebatan bagi setiap kesalahan untuk pertuduhan pertama hingga ketiga manakala tiga tahun penjara dan satu sebatan untuk setiap kesalahan bagi pertuduhan keempat dan kelima.

Mahkamah mengarahkan semua hukuman penjara dijalankan serentak bermulahari ini.

Tertuduh diwakili peguam bela Rosli Ismail dan pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Sariza Ismail.