surau

KOTA RAJA BERSIUNG, KERIAN – Lebih 20 tahun keadaan surau di Kampung Kota Raja Bersiung di sini terbiar dan sering dijadikan tempat melakukan kegiatan tidak bermoral.

Wakil penduduk, Abu Osman Ahmad menyuarakan kekesalannya terhadap kejadian yang berlaku itu kepada pihak berkenaan namun ia dipandang sepi.

Menurutnya, surau itu sepatutnya menjadi tempat beribadah penduduk setempat memandangkan masjid terletak jauh dari kediaman mereka.

“Saya berharap ada pihak memberikan peruntukan untuk membaik pulih surau itu dan dapat digunakan semula penduduk dengan lebih selesa,” katanya.

Katanya, kerja pemulihan itu perlu diadakan memandangkan banyak permohonan untuk pembinaan rumah ibadat lain mudah mendapat perhatian.

“Peruntukan itu bukan untuk kepentingan diri sendiri tetapi untuk semua penduduk kerana keadaan surau yang sedia ada memang sudah uzur.

“Pernah beberapa ketika dahulu, orang luar singgah di sini untuk menunaikan solat namun terpaksa bersolat di atas tanah kerana lantai bahagian atas surau telah reput dan ia boleh mengundang kemudaratan,” katanya.

Selain itu, persekitaran surau juga tidak diselenggara dengan baik dan dipenuhi semak-samun.

“Kita khuatir kawasan ini akan terus digunakan oleh individu yang tidak bertanggungjawab untuk melakukan kegiatan jenayah sekiranya ia tidak diselenggara dengan baik,” katanya.

Osman berharap ada pihak memandang serius perkara itu seterusnya menyalurkan peruntukan agar surau berkenaan dapat dibaik pullih dan digunakan semula.

“Sebagai penduduk kampung yang sudah berpuluh tahun tinggal di sini, saya amat berharap surau ini dapat dibaik pulih dan dipenuhi semula dengan kariah seperti dahulu,” katanya.