Sunday, March 4, 2012

Rumah kos sederhana bertukar moden


PEMILIK bijak menyuai padan kerusi rotan dan langsir berwarna putih yang kontras dengan lantai di sudut santai.


TIDAK kira memiliki banglo atau kondominium mewah, asalkan pandai menghiasnya, rumah yang kecil pun akan kelihatan cantik dan selesa. Begitulah petua yang dipegang oleh Saiful Bahari Hashim, 33.

Pegawai perhubungan pelanggan sebuah syarikat utiliti itu sekadar mendiami sebuah rumah teres dua tingkat berkeluasan 6.1 meter lebar dan 19.8 meter panjang di Batu 9, Cheras, Selangor.

Namun, bertandang ke kediaman Saiful yang dihuninya sejak tiga tahun lalu itu menerbitkan aura yang berbeza daripada rumah kos sederhana rendah yang lain.

“Rumah ibarat syurga yang kita angankan. Ia menjadi tempat istirehat yang paling nyaman dan selesa.

“Kalau rumah kita bersih dan cantik, adakalanya hendak keluar berjalan-jalan pun terasa malas kerana lebih seronok duduk di rumah,” kata Saiful yang telah mengubah suai kediaman itu mengikut cita rasanya sendiri.

Saiful membeli rumah berharga RM150,000 itu pada tahun 2010 sebelum menambah beberapa puluh ribu ringgit lagi untuk mengubah suainya.

“Pada asalnya rumah ini cuma ada tiga buah bilik yang kesemuanya terletak di tingkat atas.


RUANG dapur yang terhad masih boleh menempatkan meja makan enam kerusi.


Balkoni

“Apabila diubah suai, saya membuat sebuah bilik di tingkat bawah khusus sebagai bilik sembahyang. Ia juga boleh diubah menjadi bilik tetamu jika ada saudara-mara yang datang,” tutur lelaki yang berasal dari Manjoi, Perak ini.

Selain menambah bilangan bilik, Saiful turut membina balkoni untuk bilik utama di tingkat atas.

Dari segi dekorasi, Saiful berkongsi idea dengan isterinya, Azizah Abdul Aziz, 33.

“Kadang-kadang kami bercanggah pendapat tetapi akhirnya bersetuju untuk mengaplikasikan idea terbaik yang sesuai dengan bajet yang kami ada,” ujarnya lagi.

Dari pandangan hadapan kediaman, cat hijau putih menyejukkan mata memandang. Dua pasu pokok duit-duit pula seolah-olah setia menanti kedatangan tetamu di beranda.

Pintu utama kediaman ini agak unik. Pintu dua daun itu diperbuat daripada kayu nyatuh yang berat dan kukuh. Difahamkan, pintu itu berharga RM3,000 dan didatangkan khas dari Indonesia.

Sejurus kaki melangkah melepasi pintu itu, sangkaan kediaman ini mempunyai ruang tamu yang sempit ternyata meleset.

“Saya sentiasa mahukan ruang tamu yang nampak luas walaupun hakikatnya ruang itu terhad. Untuk itu saya memilih rona putih krim bagi dinding dan jubin hitam sebagai lantai,” kata Saiful.

Kediaman ini juga tidak sarat perabot malah perabot sedia ada disusun dengan kemas. Saiful merupakan penggemar fabrik, jadi beliau lebih menyukai barang-barang upholsteri khususnya sofa.

“Memanglah sofa kulit selalunya disukai golongan kaya namun bagi saya sofa biasa sudah memadai. Saya memilih sofa krim coklat kerana ia sepadan dengan warna lantai dan dinding,” ujarnya.

Saiful turut menyediakan sudut santai yang ringkas berupa sebuah kerusi rotan berwarna putih berhampiran pintu gelangsar.


TELEVISYEN skrin leper banyak membantu menjimatkan ruang.


Ibu

Di ruang yang kecil seperti rumah kos sederhana rendah ini, permainan warna adalah penting. Warna putih cerah dapat mengelakkan kediaman daripada kelihatan gelap manakala warna garang memberi aura ceria kepada penghuni.

“Isteri saya memilih warna jingga muda sebagai latar di belakang kabinet televisyen.

“Warna itu ceria dan menenangkan,” kata Saiful yang kurang selesa dengan cahaya yang terlalu terang di ruang tamu khususnya semasa menonton televisyen.

Setiap bilik rumah Saiful dihias ringkas tetapi menarik. Saiful berkata, beliau dan isteri menggemari rona jingga muda di kamar utama kerana ia menimbulkan mood sedang bercinta.

“Kami mengidamkan bilik yang romantis. Jadi katil berkonsepkan Inggeris klasik dengan cadar bercorak mawar merah menjadi pilihan.

“Di kiri dan kanan kepala katil pula kami letakkan pelita hiasan. Apabila pelita itu dinyalakan, seluruh bilik akan berbau harum. Api pelita yang meliuk-liuk pula terasa sungguh romantik,” cerita Saiful yang turut menempatkan sebuah pelita seumpama itu di tangga ke tingkat atas.

Seperkara yang mengagumkan bagi lelaki ini ialah beliau juga menyediakan sebuah bilik yang sangat selesa untuk si ibu berusia 72 tahun yang tinggal bersamanya.

“Ibu perlukan ketenangan semasa tidur. Untuk itu, saya mengecat biliknya dengan warna biru dan menempatkan sebuah katil bujang rekaan lama dengan palang besi di kepala dan kaki katil,” ujar Saiful.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: