Pegawai eksekutif Petronas dipenjara

KUALA TERENGGANU – Hakim Azman Mustapa, menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM35, 000 ke atas seorang pegawai eksekutif petronas, Jasmi Mohd Jemadi, 45 setelah didapati bersalah bersabit dua kes rasuah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Selepas mendengar keterangan pihak pembela dan pendakwa, Azman menetapkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM15,000 bagi pertuduhan pertama manakala hukuman penjara dua tahun dan denda RM20,000 bagi pertuduhan kedua.

Azman, bagaimanapun membenarkan pelaksanaan hukuman tersebut ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin ke atas tertuduh
Keputusan itu dibuat selepas Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Sazli Abdul Khairi berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh pada 17 Februari 2009 kira-kira jam 6.09 petang di Maybank cawangan Paka, Dungun telah secara rasuah memperoleh satu suapan iaitu RM1,500 daripada Azmi Abu Bakar yang dimasukkan ke dalam akuan tertuduh.

Wang tersebut diberikan sebagai dorongan untuk tidak melakukan suatu perkara berhubung dengan hal ehwal prinsip iaitu tidak melaporkan kepada ibu pejabat Petronas Dagangan Berhad berkenaan injap kompak yang dibekalkan syarikat Dual Metal Sdn Bhd milik pengadu kepada Depoh Petronas Melaka yang dikatakan telah bocor.

Manakala, dalam pertuduhan kedua, tertuduh pada 24 Februari 2009 pada jam kira-kira 3 petang, di lokasi yang sama, tertuduh telah menerima suapan sebanyak RM2,000 daripada orang yang sama bagi tujuan serupa.

Atas kedua-dua kesalahan itu, tertuduh didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Jika gagal membayar denda, tertuduh boleh dikenakan hukuman lapan bulan penjara dan mahkamah memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak.