Wednesday, March 14, 2012

Norehan tidak meminta-minta


Selagi ada kudrat, Norehan Tajuddin akan terus berusaha untuk membesarkan anak-anaknya.


MENJALANI hidup serba kekurangan ditambah pula dengan keadaan suami yang lumpuh separuh badan, bukanlah tiket untuk Norehan Tajuddin, 43, hidup meminta-minta dan bergantung harap daripada orang ramai.

Malah tanggungjawab menyara keluarga termasuk menyekolahkan kelima-lima anaknya yang berusia antara 10 hingga 17 tahun digalas sepenuhnya selepas suami, Zulkifli Jaafar, 44, hilang upaya akibat serangan angin ahmar 13 tahun lalu.

Walaupun susah dan pernah mereka sekeluarga hanya menjamah bubur selama sebulan kerana kekurangan wang, Norehan tetap tabah mengharungi hidup.

"Setiap orang ada cabaran hidup masing-masing. Ini mungkin ujian Tuhan untuk saya, jadi saya perlu reda. Apa yang penting selagi dikurniakan akal fikiran, kudrat dan tenaga kita perlu berusaha," katanya penuh makna.

Untuk menyara keluarga, Norehan menjual kuih-muih di sekitar tempat tinggalnya yang terletak di Kampung Batu 8, Gombak, Selangor.

Buat masa ini dengan kudrat yang ada dia hanya mampu menghasilkan tujuh jenis kuih tradisional yang kebanyakan resipinya diambil dari buku masakan dan sesetengahnya kuih memang biasa dibuat sejak muda.

"Dalam sehari saya buat sekurang-kurang 250 biji kuih yang semuanya saya edarkan di kedai runcit berdekatan dengan rumah.

"Alhamdulillah sejak berniaga kuih-muih ini pendapatan bertambah walaupun tidak banyak jika dibandingkan ketika bekerja kedai makan sebelum ini.

"Pada peringkat permulaan, memang saya tidak yakin. Tetapi setelah mencuba saya rasa seronok dan ingin terus berniaga," katanya.

Tambah Norehan, kerja-kerja membuat kuih kini juga semakin mudah kerana dia dibantu oleh anak-anak dan suami.

"Dahulu ketika suami masih terlantar saya terpaksa membuat kuih seorang diri kerana anak-anak juga masih kecil.

"Tapi kini beban tersebut semakin ringan kerana anak-anak sudah besar dan mereka juga boleh membantu.

"Suami pula walaupun masih belum sembuh sepenuhnya tetapi dia rajin juga membantu seperti menggoreng karipap dan sebagainya sebelum dijual kepada orang ramai,"katanya.

Selain itu, suaminya turut membantu membereskan kerja-kerja rumah yang ringan dan menjaga anak-anak ketika dia keluar menghantar kuih ke kedai.

"Saya akan bangun seawal pukul 3 pagi bersama-sama suami untuk membuat kuih. Selepas itu saya bersama anak lelaki akan menaiki motosikal untuk mengedarkan kuih-muih ke kedai,"katanya.

Dia berkata, ada ketika dia menghadapi masalah modal untuk membeli bahan mentah kerana harga barangan semakin mahal.

"Keuntungan diperolehi hasil jualan tidaklah banyak tetapi sekadar mencukupi untuk menampung keluarga setiap bulan,"katanya.

Tambahnya, dia juga mendapat bantuan peralatan membuat kuih seperti mesin bancuhan dan peti sejuk untuk memuatkan kuih sejuk beku daripada TV Alhijrah menerusi program Man Jadda Wajada.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: