Zarina Ann Julie
DALAM kehangatan orang memperkatakan aksi panasnya yang disiarkan majalah FHM Indonesia dan perang twitter bersama penyanyi berasal Singapura, Aliff Aziz, pelakon yang sering diulit kontroversi, Zarina Ann Julie atau Zarina, 25, memberi perkhabaran baru yang pastinya cukup mengejutkan.
“Saya mahu bernikah dan ia akan berlangsung dalam waktu terdekat ini,” katanya yang mahu berkongsi cerita bersama pembaca Selebriti Metro Ahad.
Bagaikan tidak percaya akan apa yang diperkatakan kerana sebelum ini tidak pernah pula timbul cerita gadis berasal dari Nilai, Negeri Sembilan ini sedang asyik menyulam cinta.
Paling akhir apabila dia dikatakan didekati Aliff tetapi entah di mana silapnya, ia menimbulkan ‘ribut’ antara mereka apabila berlaku perang twitter selepas jejaka yang popular menerusi lagu Sayang-Sayang itu menafikan pernah keluar dengan Zarina.
“Maaf, cerita saya dan Aliff sudah ketinggalan. Saya tidak mahu lagi ambil pusing mengenainya. Biarkanlah dia. Apa yang penting, amaran sudah diberikan.
Sekiranya dia membuka mulut mengenainya lagi saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan,” katanya.
Zarina menjelaskan, sekarang ini dia mahu memberikan tumpuan kepada urusan pernikahan yang sedang rancak dilakukan. Apatah lagi kebelakangan ini, perkara itu tidak dapat dilaksanakan kerana sibuk menjalani penggambaran filem terbaru arahan Mamat Khalid di Ipoh dan Ular terbitan KRU Studios.
“Saya mahu cepat bernikah kerana itulah jalan terbaik. Tambahan pula saya harap dengan keputusan dibuat ini, saya tidak lagi dikaitkan dengan kontroversi yang boleh mengaibkan. Kalau selepas bergelar isteri ada lagi orang nak cerita buruk mengenai saya terutama mengaitkan dengan mana-mana lelaki, saya tidak tahu hendak kata apa lagi,” katanya.
Bercerita mengenai siapakah jejaka yang berjaya bertakhta di hatinya itu, Zarina bagaimanapun enggan mendedahkan kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali.
“Cukuplah sekiranya saya katakan dia kenalan lama. Perkenalan kami bermula sebagai rakan perniagaan. Jujur saya katakan, antara kami tidak ada perasaan cinta, tetapi saya percaya ia akan datang selepas kami bernikah.
“Saya sama sekali tidak mahu mendedahkan siapakah bakal suami kerana takut nanti apa yang berlaku kepada bekas tunang turut berlaku kepada bakal suami.
Dulu saya silap, kerana mendedahkan tunang kepada umum. Niat saya baik dan tidak mahu hipokrit, tetap apa yang berlaku adalah sebaliknya. Ada orang dengki menyebarkan pelbagai cerita.
“Bukan itu saja, sehinggakan ada yang sanggup menghantar gambar saya sebelum ini kepada keluarga bakal mentua sehingga menyebabkan hubungan dijalin terputus. Kali ini saya mahu lebih berhati-hati. Saya tidak mahu mendedahkan identiti bakal suami sehinggalah kami selamat bernikah,” katanya.
Puas ditanya siapakah jejaka bertuah itu, Zarina tetap mengambil tindakan tutup mulut. Malah dia sendiri yakin dengan keputusan dibuat walaupun kelak akan timbul pelbagai cerita kurang enak contohnya, konon bakal suaminya itu mungkin suami orang menyebabkan dia merahsiakan identitinya.
“Walaupun benar dia suami orang, sekurang-kurangnya kami membuat keputusan yang betul. Lebih baik saya menjadi isteri kedua, ketiga mahupun keempat, asalkan apa yang kami lakukan kelak halal di sisi agama.
“Berbanding orang bujang bercinta sakan sehingga melakukan perkara di luas batas, ia lebih besar dosanya. Pada saya, keputusan baik yang mahu diambil ini sepatutnya mendapat restu ramai dan didoakan yang baik-baik saja buat kami berdua,” katanya.
Begitupun tegasnya, sepanjang mengenali jejaka pilihan hatinya itu, orangnya masih bujang dan belum pernah berkahwin. Keputusan dibuat selepas kedua-dua belah pihak berasakan ada keserasian antara mereka selepas beberapa tahun berkawan.
“Segalanya bermula apabila dia memberi cadangan mengapa tidak berkahwin kerana sangat baik dan akrab sebagai kawan. Saya sendiri mencari pasangan hidup yang bukan saja boleh menjadi suami dan bapa kepada anak-anak, tetapi rakan yang boleh dibawa berbincang membabitkan apa saja perkara.
“Sebelum ini saya pernah bercinta dengan lelaki yang dikatakan memiliki segala-galanya tetapi akhirnya tiada apa yang saya dapat. Cinta tidak membawa saya ke mana. Saya sudah penat berhadapan dengan kerenah lelaki tidak jujur.
“Sekurang-kurangnya dengan dia, saya tahu dia ikhlas dan jujur. Saya percaya selepas bernikah nanti, cinta akan datang dan ia mungkin lebih membahagiakan,” katanya.
Zarina turut menjelaskan, apa yang penting baginya adalah menyelesaikan majlis pernikahan yang tarikhnya juga dirahsiakan. Ia diadakan di rumah keluarganya dan hanya dihadiri keluarga rapat kedua-dua belah pihak.
Mengapa orang tidak pandang bakat saya?
APABILA berbicara mengenai kerjaya seni, Zarina mengakui agak sedih dengan segala cerita panas dan kontroversi yang dikaitkan dengan dirinya sehinggakan orang tidak nampak apa yang dilakukan selepas hampir lima tahun bergelar pelakon.
Bintang yang bakatnya diperkenalkan menerusi drama bersiri Anak Pontianak ini turut menjelaskan, sekiranya dia tidak berbakat, tidak mungkin dia ditawarkan berlakon filem. Malah drama bersiri terbaru lakonannya, Kampus kini ditayangkan di Astro saluran TVi 180.
“Dalam segala banyak drama dan filem saya bintangi, orang tetap hendak memperkatakan kontroversi diri saya. Saya faham media memang mencari cerita sensasi tetapi dalam waktu sama, janganlah sampai ia menenggelamkan kerjaya seni saya.
“Waktu sama, orang kata saya sengaja menjual cerita sensasi untuk popular sedangkan bakat tidak seberapa. Sekiranya benar saya tidak berbakat, tidak mungkin pengarah dan produksi masih memanggil saya berlakon.
“Malah kepercayaan pengarah terhadap bakat yang saya miliki bukan calang-calang orang. Antaranya Datin Paduka Shuhaimi Baba dan Mamat Khalid, dua pengarah yang pernah memenangi anugerah Pengarah Terbaik. Malah Yusry Abdul Halim juga percaya dengan bakat saya apabila menawarkan salah satu watak utama dalam filem Ular,” katanya.
Jelas Zarina lagi, antara sebab mengapa dia mahu bernikah awal kerana tidak mahu lagi cerita kontroversi dikaitkan dengan dirinya. Katanya, jika ada pihak mahu mengaitkannya dengan mana-mana lelaki pasti mereka berasa malu dan menghormati akan statusnya sebagai isteri orang.
“Kalau selepas berkahwin perkara itu berlaku juga, saya sudah tidak tahu apa lagi yang mahu dilakukan. Mungkin saya akan mengambil tindakan meninggalkan dunia seni dan menumpukan perhatian kepada suami dan rumah tangga,” katanya.
Walaupun sudah berumahtangga kelak, jelas Zarina bakal suaminya memberikan keizinan untuk dia terus aktif dalam bidang seni dan peragaan.
“Saya juga akan tetap meneruskan kerjaya sebagai model. Selepas wajah saya tersiar dalam majalah FHM Indonesia, saya menerima banyak tawaran lagi selepas itu. Sekarang ini pun saya sibuk berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Jakarta bagi memenuhi undangan sesi fotografi,” katanya.
Menjelaskan aksi seksinya untuk majalah FHM itu kata Zarina, ia berlaku disebabkan keadaan susuk tubuhnya yang agak berisi waktu sesi fotografi dilakukan.
“Baju yang saya gayakan itu tidak seksi sekiranya dipakai model berbadan kurus.
Masalahnya waktu dipanggil untuk sesi fotografi itu berat badan saya mencecah 60 kilogram. Sebaik baju disarungkan, saya katakan kepada mereka ia nampak seksi tetapi mereka terpaksa juga meneruskannya kerana tidak sempat mencari pengganti.
“Di keliling saya ada juga model luar yang kurus, apabila memakai baju potongan sama tidak kelihatan terlalu menjolok mata. Sekarang ini saya terpaksa menjalani diet yang ketat bagi mendapatkan kembali potongan badan ideal,” katanya.
Bf yg dgnkan dia berbogel dulu tu kot...
ReplyDelete