Sunday, March 11, 2012

'Tak mudah satukan dua jiwa'

Muka depan B*Pop hari ini.
Muka depan B*Pop hari ini.
Scha akui persiapan nikah dengan Awal Ashaari kini sudah 50 peratus siap

SEGALA rasa sangsi yang pernah bertandang di sudut hatinya perlahan-lahan beransur pergi. Semangat yang dulunya hilang kembali pulih, meyakinkan Sharifah Norazean Syed Mahadzir Alyahya atau mesra disapa Scha destinasi cintanya semakin hampir.Enggan menipu diri sendiri, Scha, 28, mengakui pernah tewas dengan permainan perasaannya apabila dia berasa seperti kehilangan dan kabur untuk memulakan persiapan majlis pernikahannya dengan pelakon dan pengacara, Awal Ashaari.
“Entah kenapa tiba-tiba keghairahan menanti hari bersejarah itu pergi begitu saja. Saya ada beritahu Awal, saya seperti dalam kebingungan, tidak tahu di mana mahu bermula. Apatah lagi ketika itu kekuatan saya diuji apabila ibu saya, Junaidah Hashim tidak sihat membuatkan saya hampir lupa kepada persiapan perkahwinan.

“Hanya selepas ramai bertanya mengenainya, baru saya bergerak untuk melakukan persediaan. Bukan tidak yakin, cuma barangkali Tuhan mahu terlebih dulu menguji kekuatan dan ketabahan hati kami sebelum bersatu. Alhamdulillah, sejak sebulan setengah lalu saya dan Awal kembali menyusun rencana perkahwinan. Mujur juga ada Dynas Mokhtar, dia banyak membantu menguruskan beberapa hal yang saya dan Awal kurang jelas untuk memulakannya.

“Setakat ini sudah 50 peratus persiapan dibuat. Pastinya majlis itu bukan dalam masa terdekat kerana saya dan Awal masih menanti pengesahan lokasi pernikahan,” kata Scha yang kelihatan sedikit susut pada pertemuan itu.

Kongsi Scha, sejak pertengahan November lalu dia terpaksa berkorban dan menolak beberapa tawaran berlakon untuk menjaga ibunya yang diserang masalah jantung dan buah pinggang yang serius. Sebagai anak, Scha enggan membiarkan ibunya sendirian menanggung kesakitan selain tidak mahu membebankan adik beradiknya yang mempunyai komitmen terhadap keluarga mereka.
“Alhamdulillah keadaan kesihatan emak semakin baik, malah sudah boleh berjalan perlahan-lahan menggunakan tongkat.
Melihat keadaan emak yang masih lemah ketika itu, saya ketepikan dulu persiapan kahwin dan memberikan sepenuh perhatian kerana mahu dia segera sembuh.

“Rencana Allah itu tersusun dengan baik. Saya berterima kasih kepada Awal yang begitu memahami, malah memberi semangat dan dorongan ketika saya berdepan situasi menguji seperti itu,” katanya.

Menyambung bicara mengenai persiapan perkahwinan mereka, anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu ketawa besar seolah-olah ada sesuatu yang menjentik perasaannya. Tatkala diusik mengenainya, Scha yang sinonim dengan drama berantai, Awan Dania dan Kelaaas Kau Maria berkata, dia dan Awal sering bertentang pendapat kerana mempunyai selera berbeza.

“Ikutkan saya, cukup sekadar majlis pernikahan ringkas dan tidak terlalu beriya-iya. Saya tidak mahu nanti membebankan kami berdua tetapi Awal pula mempunyai pandangannya sendiri. Bohong jika kami berdua tidak bertegang urat. Betullah, tidak mudah untuk menyatukan dua jiwa yang berbeza dan itu yang saya serta Awal lalui ketika merencana majlis pernikahan kami.

“Dalam beberapa hal, saya selesa mengalah dan membiarkan Awal ke depan. Mujur juga kerana saya seorang yang suka berterus terang, jadi setiap kekeliruan yang timbul akan segera diselesaikan.

“Takkan hanya kerana beberapa hal kecil, kami membiarkannya berlarutan sedangkan setiap apa juga permasalahan mempunyai titik penyelesaian,” katanya.


Akui karier seni naik turun

BARU menamatkan penggambaran telefilem, Cikgu Timah Minta Posting di samping Remy Ishak, finalis Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 ini akur, perjalanan kariernya agak perlahan sejak tahun lalu.

Scha menerima kenyataan naik turun perjalanan seorang anak seni kerana apa yang dilaluinya itu adalah sebuah putaran hidup yang tidak mampu ditepis. Di sebalik apa yang ditempuhinya itu, Scha tetap bersyukur kerana peminat masih menghargai bakatnya dan kembali meletakkannya dalam senarai Top 5 untuk kategori Pelakon TV Wanita Popular.

“Saya tidak merencana naik turun perjalanan karier kerana kudrat saya tidak mampu untuk menolak segala yang sudah tertulis.

Saya akui, sepanjang tahun lalu tidak banyak kerja saya yang meninggalkan impak kepada khalayak tetapi itu bukan alasan untuk saya meremehkan masa depan dalam industri.

“Perjalanan karier saya berbeza dengan kebanyakan pelakon lain. Ketika bakat baru lain mencari peluang mencipta nama menerusi medium televisyen percuma, saya pula menongkah arus apabila mengikat kontrak bersama Astro. Dari segi kepuasan, saya akui masih banyak yang belum dicapai dan ada ketika, saya terpaksa menerima beberapa tawaran biarpun tidak memenuhi kehendak sendiri.

“Tetapi dari segi profil, kontrak bersama Astro banyak membantu. Kontrak saya bakal berakhir April ini, tetapi setakat ini belum ada perbincangan susulan,” katanya.

Scha juga menjelaskan, dia akur jika kontraknya tidak diteruskan kerana tapak yang dibina selepas memenangi gelaran Dewi Remaja 2006 memberinya keyakinan untuk mengorak langkah secara bebas.

“Sekali lagi, semua itu terpulang kepada rezeki. Dalam apa juga perkara, saya lebih menitikberatkan kualiti dan kepuasan selain perlu menjadi selektif supaya karier saya tidak terbatas hanya pada satu ruang,” katanya yang kali terakhir menghiasi layar lebar menerusi Libas, tahun lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: