|
SKUAD hoki negara mencatat kemenangan ketiga pada kempen Kelayakan Olimpik 2012 London apabila membelasah Ukraine 5-1 di Dublin, Ireland malam semalam.
Begitupun, kejayaan besar tersebut masih belum selesa buat skuad negara dari segi perbezaan jaringan kerana dua pencabar utama, Korea Selatan dan Ireland masing-masing menang dengan jumlah yang lebih besar iaitu 8-2 dan 12-0.
Ini bermakna Malaysia hanya akan layak ke final sebagai dua pasukan teratas dengan mengharapkan kemenangan ke atas Korea Selatan atau Ireland dalam dua baki perlawanan kempen ini.
Pada aksi semalam, skuad kendalian Tai Beng Hai itu sekali lagi buntu mencari gol seawal mungkin dengan beberapa percubaan terbaik di depan gol Ukraine dilepaskan begitu saja sepanjang 20 minit permainan.
Pemain penyerang, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd. Jalil akhirnya meledakkan gol pertama pada minit ke-26 sebelum Hafifihafiz Hanafi menambah gol kedua (32) dan Muhd. Razie Rahim menjadikan kedudukan 3-0 menerusi jaringan sudut penalti tiga minit selepas babak kedua bermula.
Ukraine bagaimanapun cuba memberi tentangan dengan mendapat gol pertama mereka pada minit ke-57, namun Muhd. Amin Rahim dan Mohd. Sukri Mutalib akhirnya memadam usaha pasukan tangga ke-29 dunia itu masing-masing dengan jaringan sudut penalti (60) dan penalti(68).
Esok, skuad kendalian Tai Beng Hai itu akan berdepan laluan getir apabila turun berdepan Korea Selatan yang dilihat sebagai antara penentu kepada nasib Malaysia dalam kempen kelayakan ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: