Melia Aimiellia

Nama Melia Aimiellia dalam industri seni, boleh diibaratkan seperti pelukis bersama kanvas putihnya. Bertapak di suatu tempat yang diimpikan ramai pihak, Melia berhati-hati mencorakkan kanvasnya itu untuk tatapan peminat.

Namun, dalam usaha untuk mencantikkan kanvasnya itu, ada tangan-tangan nakal yang cuba merosakkan dengan menyimbah cat hitam bagi mencacatkan lukisan yang baru dilakarnya dengan penuh berhati-hati.

Melia tidak menyangka, keputusannya untuk menyertai industri seni, membawa pengalaman yang cukup pahit untuk ditelan. Dikatakan hamil anak luar nikah, menggugurkan kandungan dan yang terbaru, video bogel yang dikatakan untuk tatapan kekasih tersebar di blog hiburan.

Biarpun pada mulanya tidak mahu mengambil pusing mengenai cerita-cerita negatif yang keluar dan menganggap semua itu sebagai lumrah sebagai anak seni, namun akhirnya keparahan itu membawa duka kepada dirinya sendiri.

Mendapat kecaman bukan sahaja daripada masyarakat sekeliling bahkan daripada individu yang mempunyai pertalian darahnya dengannya sendiri, keharmonian keluarga bagaikan hilang dan Melia juga harus menelan pahit apabila ada sesetengah produksi menarik balik tawaran berlakon kerana khuatir dirinya akan digam stesen televisyen.

Tidak mahu terus berdiam diri, Melia akhirnya membuat keputusan membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menjalankan siasatan.

Sementara itu sumber polis berkata, mana-mana individu tidak kiralah penulis bloq ataupun orang awam boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 922 Kanun Keseksaan dan Seksyen 5 Akta Penapisan Filem iaitu menyimpan dan memiliki bahan lucah.

Ikuti luahan Melia atau nama sebenarnya Noor Melia Aimiellia Zaidi, 19, mengenai kontroversinya ini dan perkembangan kesnya bersama Zass.


ZASS: Apa khabar Melia dan bagaimana perkembangan kes setakat ini?

Melia: Saya sihat, Alhamdulillah. Mengenai kes ini, setakat yang saya tahu, siasatan masih dijalankan. Namun saya belum mendapat perkembangan terkini daripada pihak polis mahupun SKMM.
Saya juga sudah melantik peguam membantu uruskan kes ini dan apa-apa follow up, akan dibantu peguam dan ibu bapa saya. Insya-Allah, jika segalanya selesai, saya akan mengadakan sidang media untuk beri penerangan lanjut mengenai perkara ini kepada umum.


Zass: Siapa yang mendorong Melia mengambil tindakan?

Melia: Saya dapat rasakan ada muslihat mencurigakan di sebalik penyebaran video itu. Apabila saya bertanya kepada dua blog yang memulakan penyebaran video itu, mereka tidak mengetahui sumber asal rakaman tersebut.
Ketika diminta mengalihkan video itu, mereka padam entri tersebut buat sementara waktu, tetapi tidak lama kemudian ia dimuat naik semula dan tersebar ke blog-blog lain pula.
Pada mulanya, saya sudah beri tempoh kepada pengendali beberapa blog untuk memadam dan membuang entri laporan fitnah itu. Malangnya, tiada usaha daripada mereka. Tahap kesabaran saya ada batasnya, jadi saya perlu mengambil tindakan bagi membersihkan semula nama saya.

Jadi atas nasihat beberapa pihak, saya sendiri mengambil keputusan untuk membuat laporan polis dan laporan kepada SKMM berkenaan isu ini dengan tujuan membersihkan nama saya yang sudah cukup tercemar dengan fitnah mengarut ini.
Lagipun negara kita ada undang-undang dan saya kini mengikut saluran betul untuk dapatkan hak sepatutnya.


Zass: Bila terpampangnya cerita-cerita negatif mengenai Melia, bagaimana Melia mengharungi hari-hari yang cukup pahit? Boleh kongsi perasaan?

Melia: Bohonglah kalau saya katakan saya langsung tidak sedih, tidak kecewa mengenai perkara ini. Saya faham sebagai anak seni, sudah menjadi lumrah buat saya mengharungi gosip dan kontroversi, tetapi bila melibatkan periuk nasi saya, saya rasa sangat kecewa.
Saya tahu, nama saya bukanlah terkenal sangat dalam industri ini, tetapi seboleh-bolehnya tidak mahu orang mengenali saya kerana cerita negatif ini. Kalau boleh biarlah orang kenal Melia Aimiellia kerana bakat atau lakonan.
Mungkin ada pihak tidak berpuas hati dengan saya, sekali gus memburukkan nama saya. Kadang kala saya tidak ambil pusing, tapi saya kesian keluarga turut menerima tempias ini.
Namun gosip-gosip sebegini bukan penamat kerjaya saya. Jika masih ada tawaran dan kehendak untuk saya berlakon, saya akan terus berlakon.


Zass: Semenjak tersiarnya kontroversi ini, bagaimana hubungan dengan keluarga?

Melia: Hubungan saya dengan keluarga okey. Mereka beri sokongan tidak berbelah bagi kepada saya. Cuma masalahnya apabila ada sanak-saudara yang lebih percaya laporan media berbanding kenyataan saya sendiri. Ibu bapa saya kecewa apabila keluarga sendiri bukan sahaja tidak memberikan sokongan moral, malah mengecam mereka dengan kata-kata kesat.
Selain itu ada antara saudara saya yang sanggup memutuskan hubungan silaturahim hanya kerana mereka percaya dengan cerita negatif mengenai saya.
Tidak kurang juga, saya pernah diugut untuk dipukul sekiranya terbukti individu di dalam video bogel itu adalah saya. Bagi saya, jika saya tidak melakukan kesilapan, tidak gunanya untuk saya takut. Selagi saya tidak bersalah, saya akan berusaha untuk buktikan saya tidak bersalah.

Cuma yang saya kesalkan, mereka lebih mempercayai cerita luar berbanding cerita anak saudara mereka sendiri. Saya harap jika semuanya akan terbukti saya tidak bersalah kelak, mereka akan kembali kepada kami.
Bak kata orang hubungan saudara ini macam air, biarpun dicincang, ia tidak akan putus. Sejujurnya saya memang mengharapkan hubungan kekeluargaan akan kembali pulih selepas segalanya selesai.


Zass: Bagaimana pula dengan tawaran lakonan?

Melia: Buat masa ini saya masih menghadapi masalah dari segi tawaran. Saya pernah menghubungi satu produksi ini untuk bertanyakan tentang bayaran saya. Kemudian dia ada bercerita tentang projek terbaru mereka. Bila secara berseloroh saya tanya sama ada mereka mahu atau tidak mengambil saya berlakon, wakil produksi itu mengakui takut mengambil saya berlakon kerana takut saya digam.
Memang sedih. Malah ada juga yang kata takut mengambil saya kerana stesen televisyen tidak berkehendakkan saya berlakon dalam drama yang akan di siarkan di stesen mereka. Sumber pendapatan saya 100 peratus datangnya dari bidang lakonan. Jadi bila sudah terjejas macam ini, saya rasa tertekan. Saya harap biarlah kes ini selesai segera kerana ia melibatkan periuk nasi saya.


Zass: Apakah harapan Melia berhubung kes ini?

Melia: Saya berharap kebenaran akan dapat dibuktikan kelak. Walaupun sebelum ini saya sudah tampil memberi penjelasan, tetapi nampaknya perkara ini masih dipanjangkan.
Justeru, saya memang mengharapkan perkara ini akan selesai segera.
Tetapi saya juga tidak memaksa pihak lain mempercayai saya. Saya sudah beri penjelasan. Saya dah penat untuk memperkatakan tentang video lucah ini. Saya percaya nasib orang teraniaya seperti saya ini akan dapat pembelaan suatu hari nanti.