Monday, March 5, 2012

Makan malam staf hotel NS


ISMAIL HISHAM (kiri) menyampaikan hadiah kepada wakil salah sebuah hotel yang memenangi acara sukan antara hotel di Negeri Sembilan.


MENGENAKAN baju kurung Kedah bersama kain batik, Riana Mat Zain berjalan mendekati dua ekor kambing yang diikat di sebatang pokok. Walaupun sedikit ragu-ragu, sambil membetulkan kain batik yang turut dikenakan di kepalanya dia cuba menyentuh kambing itu.

Jika anda fikirkan Riana adalah gadis yang berada di sebuah kampung, ternyata tekaan anda meleset.

Wanita berusia 30-an itu sebenarnya adalah kakitangan Klana Resort Seremban dan cuba memenuhi tema Kampung Night sempena makan malam Persatuan Hotel Malaysia kawasan Negeri Sembilan (MAH NS) 2011 yang diadakan di Hotel PNB Ilham Resort, Port Dickson baru-baru ini.

Mengumpulkan lebih 34 buah hotel di bawahnya, ia merupakan makan malam tahunan yang diadakan untuk mengeratkan hubungan sesama ahli persatuan. Ia juga bertujuan menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan sukan dalam kalangan hotel MAH NS yang diadakan sebelum ini.

Menurut Pengerusi MAH NS, Andre Jean Sibert, makan malam tersebut merupakan kali kelapan dianjurkan oleh persatuan tersebut selepas 10 tahun penubuhannya.

"Kita amat gembira kerana malam ini, kita dapat mengumpulkan lebih 350 kakitangan hotel-hotel di sekitar Negeri Sembilan yang berdaftar dengan MAH. Mereka terdiri daripada kakitangan biasa sehinggalah ke pihak pentadbiran," ujar Sibert yang juga Pengarah Urusan Avillion International Hotel.

Tambahnya, acara tahunan tersebut diadakan secara bergilir-gilir dalam kalangan hotel.

"Jika tahun lepas acara tahunan ini diadakan di Klana Resort Seremban, tahun ini giliran Ilham Resort untuk menjadi tuan rumah," ujarnya.

Jelas Pengurus Residen PNB Ilham Resort, Ismail Hisham Ahmad Zambri, untuk tahun ini pihaknya memilih tema Kampung Night.

Lantaran itulah ujar beliau, kebanyakan tetamu datang mengenakan pakaian bertemakan kampung sama ada berbaju batik, memakai sarung, baju Melayu dan sebagainya.

Kata Ismail, untuk menambahkan lagi suasana kampung, kawasan sekitar PNB Ilham Resort dipasang dengan lampu pelita minyak tanah dan panjut. Malah, pihaknya turut membawa kambing dan beberapa ekor ayam yang diletakkan di depan laman dewan.

MAH NS dianggotai oleh 34 buah hotel di sekitar Negeri Sembilan antaranya Nilai Springs Golf and Country Club, Glory Beach Resort, Klana Resort Seremban, Klana Beach Resort PD, Avillion PD, Kondo TNB PD dan Royale Bintang Seremban.

Makan malam tersebut turut menyaksikan persembahan pentas daripada kakitangan beberapa buah hotel yang menunjukkan bakat menari.

Selain itu, beberapa hotel turut menerima piala selepas menjuarai acara sukan yang diadakan sebelum itu.

Antaranya Thistle Port Dickson yang memenangi kategori boling, Port Dickson Golf and Country Club acara bola tampar, Avillion Admiral Cove bagi sukan ping pong dan Royale Bintang Seremban untuk bola sepak.

Turut hadir memeriahkan majlis tersebut ialah Exco Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu Negeri Sembilan, Datuk Razi Kail.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: