FRANCAIS The Elder Scrolls merupakan antara permainan video yang cukup terkenal di seluruh dunia. Ia dilihat sebagai legenda menyamai siri popular Dungeons and Dragons.
Permainan pertama francais itu diterbitkan pada tahun 1994 malah, sehingga kini ia masih mempunyai ramai peminat tersendiri.
Terbaharu, francais itu muncul dengan bahagian kelima (ataupun yang ke-14 mengikut turutan penerbitan) iaitu The Elder Scrolls V: Skyrim.
Permainan tersebut diterbitkan Bethesda Softworks dan dikeluarkan oleh Bethesda Studios. Disebabkan ia diterbitkan oleh Bethesda, pemain akan merasakan dunia Skyrim amat sama seperti Fallout: New Vegas yang menerapkan dunia atau persekitaran The Witcher.
Permainan Skyrim boleh dimainkan pada konsol Playstation 3, Xbox 360 dan komputer peribadi (PC).
Plot
Plot Skyrim adalah sambungan daripada Elder Scrolls Oblivion, sekitar 200 tahun kemudian. Pemain telah ditugaskan untuk membunuh seorang Dewa Naga, Alduin yang bertanggungjawab menyeru naga menyerang dunia Skyrim.
Menurut ramalan, Alduin mampu memusnahkan dunia Skyrim. Bagaimanapun hanya seorang Dragonborn iaitu individu yang mempunyai kebolehan seperti seekor naga mampu menghalangnya.
Skyrim mempunyai terlalu banyak persamaan dengan Fallout: New Vegas. Pemain mampu bertempur dalam mod orang ketiga dan orang pertama. Cuma perbezaannya adalah Skyrim tidak mempunyai sistem action point (AP). Bertemakan role playing game (RPG), Skyrim menitik beratkan pembangunan watak yang sangat mendalam.
Mekanisme permainan
Terdapat banyak kelas atau pekerjaan yang boleh dipilih oleh pemain apabila bermain permainan itu. Kelas yang dipilih akan menentukan kekuatan, kelebihan dan interaksi dengan non-playable character (NPC) dalam permainan.
Menerusi permainan itu terdapat elemen-elemen biasa RPG seperti penggunaan senjata magis, perisai dan senjata hikmat.
Kemahiran
Tidak kira jenis kelas yang dipilih, setiap watak mempunyai struktur kemahiran atau Skill Tree yang sangat rumit. Setiap cabang pokok kemahiran mampu mengubah nasib pemain dalam permainan.
Terdapat tiga pokok utama kemahiran iaitu The Warrior, The Mage dan The Thief.
Pemain perlu pandai memilih kemahiran yang seimbang dengan watak dimainkan mereka. Untuk menguasai kemahiran itu, pemain perlu mempraktikkan setiap kemahiran tersebut.
Sebagai contoh, dalam cabang The Thief terdapat satu kemahiran Lockpick. Pemain hanya mampu menaik taraf hingga ke tahap Master Lockpick sekira kemahiran dasar Lockpick pemain mencapai tahap 100.
Alchemy, enchantment
dan blacksmith
Seperti Fallout: New Vegas, Skyrim akan mengajak pemain untuk mencipta senjata dan kelengkapan sendiri. Semua itu boleh dicapai menggunakan kemahiran blacksmith dengan menggunakan forge.
Terdapat sub komponen di forge seperti batu pengasah untuk mengasah senjata, smelter untuk mencipta bahan logam mentah dan workbench untuk menyiat kulit haiwan.
Sistem alchemy pula merupakan sistem bagi pemain menghasilkan racun, manakala enchantment mencipta barangan magis yang mempunyai kesukaran hampir sama seperti blacksmith.
Dunia Skyrim
Skyrim adalah sebuah dunia luas dipenuhi dengan pelbagai tempat yang boleh dijelajah. Pemain tidak perlu risau kerana untuk ke tempat itu, pemain boleh menggunakan Fast Travel.
Oleh kerana dunianya yang primitif, kadangkala ia tampak seperti dunia daripada permainan Red Dead Redemption.
Skyrim juga dipenuhi dengan misi yang perlu diselesaikan pemain.
Terdapat terlalu banyak misi sampingan atau kecil, di mana ganjarannya bergantung kepada tahap kesukaran misi tersebut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: