PADA Jumaat lalu, Bank Dunia telah mengumumkan satu perikatan global dalam mengurus dan melindungi lautan-lautan dunia yang berdepan ancaman penangkapan ikan berlebihan, pencemaran serta perubahan iklim.
Presiden Bank Dunia, Robert Zoellick memberitahu semasa menghadiri persidangan mengenai pemuliharaan lautan di Singapura, lautan merupakan tunjang kepada planet dan ekonomi global.
Sungguhpun begitu, lautan masih dieksploitasi sepenuhnya. Pinggir-pinggir laut mengalami hakisan teruk dan terumbu karang berdepan ancaman akibat pencemaran serta peningkatan suhu.
"Kita memerlukan Selamatkan Lautan Kita (SOS) yang baharu," kata Zoellick ketika mengumumkan perikatan berkenaan.
"Perikatan berkenaan akan mempertemukan negara-negara, pusat-pusat saintifik, badan bukan kerajaan (NGO), organisasi antarabangsa, yayasan-yayasan dan sektor swasta," katanya.
Bank Dunia boleh membantu menjayakan usaha berkenaan dengan membawa program-program pemuliharaan lautan sedia ada, menggerakkan kewangan dan membangunkan mekanisme pasaran dalam meletakkan nilai-nilai faedah berkaitan lautan.
Jutaan manusia bergantung kepada lautan untuk pekerjaan dan makanan malah kebergantungan tersebut akan meningkat apabila populasi dunia mencecah sehingga sembilan bilion orang. Hal itu sekali gus memerlukan pengurusan lautan lebih baik.
Sebagai langkah permulaan, Zoellick berkata perikatan itu komited mengerahkan sekurang-kurangnya AS$300 juta (RM904 juta) dari segi kewangan.
|
|
"Menjalin kerjasama dengan kerajaan, komuniti saintifik, pertubuhan masyarakat awam dan sektor awam, kita menyasarkan keumpilan kewangan sebanyak AS$ 1.2 bilion (RM 3.6 bilion) dalam menyokong kelestarian dan kesihatan lautan," ujarnya lagi.
Salah satu fokus utama adalah memahami secara menyeluruh mengenai nilai kekayaan dan perkhidmatan ekosistem lautan.
Lautan merupakan sumber oksigen utama dalam membantu mengawal iklim manakala bakau, terumbu dan tanah lembap bertindak melindungi pesisiran pantai daripada bencana seperti ribut.
"Adalah mustahil untuk merangka evolusi perancangan mengurus dan meningkatkan sebarang jenis sumber tanpa mengetahui nilai sebenarnya," jelasnya.
Satu lagi tujuan ialah untuk membina semula sekurang-kurangnya separuh stok ikan dunia yang dikenal pasti semakin menyusut.
Terdapat kira-kira 85 peratus perikanan lautan dieksploitasi sepenuhnya, terlebih eksploitasi atau susut.
"Kita perlu meningkatkan faedah bersih tahunan perikanan antara AS$20 bilion (RM60 bilion) dan AS$30 bilion (RM90 bilion).
"Kita menganggarkan bahawa perikanan global kini mengalami kerugian bersih ekonomi kira-kira AS$5 bilion (RM15 bilion) setiap tahun," dedah Zoellick.
Lebih efisien
|
|
Peserta persidangan membicarakan mengenai dividen jangka panjang daripada pemuliharaan lautan dan pengurusan sumber yang lebih efisien.
Bagaimanapun, ia memerlukan ahli ekonomi, pengurus bank dan ahli lembaga pengarah untuk menentukan nilai modal semula jadi lautan-lautan.
"Kunci utama dalam kejayaan perikatan ini akan dilihat melalui mekanisme pasaran baharu yang menilai modal semula jadi dan menarik dari pihak kewangan swasta," kata Ketua Global Pasaran Karbon, Bank of America Merrill Lynch, Abyd Karmali.
Dia memberi contoh mengenai nilai menjaga hutan bakau yang kaya dengan karbon dan rumpai laut selain prospek pendapatan karbon yang diperoleh daripada usaha memulihara di kawasan-kawasan tersebut.
"Stok lautan berada dalam kesukaran. Kita telah mengurangkan nilai asetnya dengan sangat besar. Kini, pengurusan aset yang lemah ialah kelemahan ekonomi," kata Pengarah Stesen Marin Hopkins, Universiti Stanford, Stephen Palumbi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: