|
|
SUKAR untuk berkongsi riwayat cinta dengan seorang wanita yang patah hati lantaran ditinggalkan kekasih tanpa alasan kukuh. Getir kekecewaan jelas kelihatan pada wajah, tambahan pula kalau ia adalah cinta pertama.
Pengalaman putus cinta itu turut dirasai penyanyi Leez Rosli, salah seorang penggiat seni tanah air yang dikenali menerusi program realiti televisyen Akademi Fantasia musim keempat (AF4) terbitan Astro kira-kira enam tahun lalu.
Kisah cinta pertama Leez bermula selepas terkeluar dari rancangan tersebut dan bertemu dengan pelawak dan pelakon dari rancangan Raja Lawak, Mohd. Razizan Abdul Razak atau lebih dikenali dengan Zizan.
Pasangan tersebut kemudiannya menjalinkan hubungan cinta secara serius pada penghujung tahun 2007. Ditanya bagaimana mereka boleh terpikat satu sama lain, semuanya bermula dari ikatan persahabatan yang kemudiannya bertukar rasa sayang tanpa disedari.
Hubungan tersebut juga membataskan langkah pelakon yang dikenali dalam drama Di Bawak Ketiak Isteri di Astro Prima ini. Leez tiba-tiba menjadi terlalu pemilih dalam soal tawaran berlakon dan menyanyi. Sikapnya itu mungkin dipengaruhi dengan pendirian kekasih yang tidak suka Leez terlalu banyak masa di lokasi.
Pada masa yang sama, Leez mengakui bahawa cinta yang mendalam terhadap Zizan buat dia 'mabuk' sehingga mereka berpisah pada awal 2009.
"Kalau dikenang balik, memang bodoh sebab terlalu bersedih kerana seorang lelaki, tapi saya tak boleh bohong perasaan sendiri. Mungkin saya terlalu mencuba pertahankan cinta pertama, walaupun perbuatan itu buat derita saya kian bertambah.
"Saya tahu tindakan mengagungkan cinta sesama insan itu sia-sia tapi saya tak punya pilihan lain," dedahnya yang susut berat badan sehingga 20 kilogram akibat perpisahan itu.
Hanya kerana Zizan, Leez sanggup memerap selama dua tahun lamanya tanpa dilimpahi sebarang publisiti. Adakah Leez tidak rasa kisah cinta Leez itu bakal merendahkan martabat diri seorang wanita?
"Ya, saya dah buat silap. Orang cakap saya emosi lebih, macam heroin filem Hindustanlah. Saya memang tak dapat kawal diri dan terlalu memikirkan diri sendiri.
"Sebab itu, selepas berpisah saya tak keluar rumah, walaupun ada ramai kawan media ajak fotografi, tapi saya tolak cara baik. Saya tak tahan kalau orang asyik bertanya tentang hubungan cinta kami
"Letih sangat nak ulas cerita lama, hati pun jadi tambah sakit. Saya pula jenis hati rapuh dan mudah melayan perasaan. Alhamdulillah, kini semuanya dah berakhir dan saya berjaya pulihkan semangat diri," dedahnya.
Menanyakan soalan punca perpisahan pemilik nama Rosliza Rosli ini ternyata mengeruhkan wajahnya.
"Perkara ini terlalu sulit untuk diberitahu, sebab saya sendiri tertanya-tanya punca perpisahan kami. Cuma apa yang dapat saya simpul mungkin populariti seseorang itu boleh mengubah segalanya, macam penampilan atau pergaulan boleh ubah seseorang jadi bukan diri dia lagi," ringkasnya berkias.
Sengaja mengusik persoalan adakah wanita berusia 25 tahun ini bersedia untuk bekerjasama dengan Zizan andai mereka berpeluang bekerja di bawah satu produksi, Leez tidak ada masalah.
Anak kelahiran Gombak, Selangor ini mengatakan: "Saya tak ada masalah. Saya perlu rasional dan asingkan urusan kerja dan perkara bersifat peribadi".
Ditanya apa pengajaran yang dipelajari dari perpisahan cinta pertama, Leez mengatakan dia rugi dalam banyak perkara.
"Sekarang tiba masa saya bangkit semula untuk tebus kesalahan lampau dan kembali fokus pada mata pencarian. Saya tak nak menyusahkan orang lain bila mereka tahu tentang perpisahan kami.
"Selepas berpisah, saya belajar jadi matang, menghargai orang sekeliling dan paling penting tak terlalu menghukum diri sendiri," katanya jujur.
Kenapa Leez Rosli?
SEIRING dengan perpisahan dengan Zizan, Leez nekad untuk mengubah nama pentasnya yang sebelum ini dikenali sebagai Leez AF. Apa motif bertukaran namanya itu?
"Tak ada kena mengena pun, cuma saya nak orang lebih kenal saya dengan nama Leez Rosli berbanding AF. Lagi pun AF pun dah tak ada, buat apa nak kekalkan nama tu, kan lebih molek kalau Leez Rosli sebab saya seorang saja yang pakai nama itu di dunia," katanya.
Mengulas tentang kerjaya lakonannya pula, pelakon filem Pulau Asmara dan Momok The Movie ini menyatakan keinginan untuk berlakon watak aksi seperti dilakukan pelakon Hollywood, Angelina Jolie dalam Tomb Rider.
"Saya pernah berborak dengan pelakon aksi lasak, Azlan Komeng yang sokong niat saya ni sebab tak ada pelakon wanita Malaysia berani ambil cabaran ini.
"Kebetulan, saya memang berminat dalam seni mempertahankan diri. Mana tahu impian saya ini termakbul satu hari nanti sebab saya betul-betul nak jadi pelakon lain daripada yang lain," katanya bersungguh-sungguh.
Mengulas tentang karya bidang nyanyian pula, penyanyi Merah Itu Cinta ini juga bakal muncul dengan sebuah lagi single terbaru berentak balada dengan kerjasama komposer dari Tanah Sebarang.
"Semua ini dalam rancangan dan diusahakan secara sedikit-sedikit. Doakan ia menjadi kenyataan ye," harap Leez mengakhiri perbualan baru-baru ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: