Tuesday, March 27, 2012

Lebih senang hidup solo



SETELAH lama hidup bersendirian tanpa lelaki bergelar suami di sisi, figura ibu tunggal moden yang dikenali ramai sebagai Rozita Che Wan ini mengakui dia lebih selesa dan senang menerajui diri sendiri daripada hidup berpasangan buat masa ini.

Namun walaupun dia hampir mencecah umur 40-an, dengan dikurniakan rupa paras serta bentuk badan yang masih memukau pandangan, ternyata sudah pasti diri Rozita turut menjadi idaman lelaki tidak terkecuali yang lebih muda daripada dirinya.

Jika hanya dilihat dari segi luaran, siapa sangka sebenarnya Rozita yang mesra dipanggil Che Ta ini sudah mencecah umur 38 pada tahun ini. Ketika ditemui baru-baru ini di Restoran Atmosphere 360, Menara Kuala Lumpur, Kosmo! sempat menemu bual wanita jelita ini pada majlis ulang tahun kelahiran dirinya yang diadakan oleh syarikat One Drop Perfume khusus untuknya.

Jika pada tahun lepas Rozita pernah mengeluarkan kenyataan bahawa dia bakal menamatkan zaman solo pada akhir tahun ini, namun buat masa ini, dia sebenarnya lebih selesa bergerak sendiri memandangkan jadual kariernya juga semakin padat.

"Saya lebih senang hidup sendiri kerana telah lama saya menerajui diri sendiri. Jadi, saya juga sudah biasa keseorangan dan menjaga dua orang anak bujang saya. Ini kerana jika difikirkan, ia seperti memberi kesukaran kepada saya untuk terima seseorang dan menjadi payah jika disuruh itu dan ini.

"Hidup solo menjadikan kita sedikit ego. Namun, tidak tahu pula jika mungkin wujud lelaki yang benar-benar membuatkan kita jatuh cinta padanya, dan mungkin juga kita akan berubah.

"Namun terus terang setakat ini, tiada lagi wujud perasaan seperti itu dalam diri saya," jelas wanita yang gemar ketawa sepanjang berbicara.

Tambahnya: "Jujur saya katakan selesa berseorangan kini. Kini jadual saya sibuk dan jika berkemungkinan dapat suami yang tidak memahami, mesti dia akan tarik muka nanti bila saya tiada masa untuk bersamanya."

Zain Saidin

Selepas digosip bercinta dengan juara Akademi Fantasia musim kelapan (AF8), Shahir yang muda 14 tahun daripada dirinya, Rozita dikatakan bercinta pula dengan seorang lagi pelakon muda, Zain Saidin yang pernah bergandingan dengannya dalam drama terbitan Astro, Kiah Pekasam.

Rozita mengakui hubungannya dengan jejaka yang juga merupakan adik kepada bekas penyanyi kumpulan Elite, Sasha Saidin itu sememangnya agak rapat.

"Mengenai saya dan Zain, kami memang rapat dan jika ada apa-apa masalah, kami akan saling meluahkan perasaan masing-masing mungkin mengenai kerja dan sebagainya. Ini kerana Zain terlalu positif dan naïf. Dia menyangka semua orang yang dikenalinya baik.

Buka butik tudung

Walaupun tidak bertudung, bicara Rozita, dia sangat menghargai wanita yang bertudung.

Ceritanya, melalui tudung rekaannya, dia ingin wanita yang bertudung tampil berseri-seri dan cantik di pandangan mata suami.

"Saya sudah membuka sebuah butik tudung yang bertempat di Taipan, Subang Jaya bersama adik saya, Ayu Raudhah. Tapi, kerana kesibukan jadual karier masing-masing, jadi kami menunggu masa yang sesuai untuk melancarkan butik itu kelak.

"Saya dan Ayu berkongsi untuk buka butik ini dan mungkin pada bulan Mei ini waktu yang sesuai untuk pelancaran.

"Mengenai rekaan tudung, saya orang yang akan bertanggungjawab dan Ayu pula menguruskan bahagian pemilihan fabrik," jelas Rozita mengatakan antara fabrik yang akan digunakan ialah dari jenis chiffon, satin dan crepe.


ROZITA pada majlis sambutan hari jadinya yang ke-38 baru-baru ini. Di sisi Rozita ialah salah seorang pemenang peraduan One Drop Perfume, Hamizah Othman.


Sementara harga tudung yang direka dan dijual oleh butik yang diberi nama Padusi bermula dari RM300 ke atas. Ini kerana jelas Rozita, tudung yang direka itu unik dan ia juga daripada jahitan tangan.

Rekaannya juga serba satu sahaja dan jika ada yang sama, warnanya pula berbeza tapi setiap tudung tidak akan ada yang seratus peratus sama antara satu sama lain.

Idam watak tomboi

Terbaru, Rozita tampil dalam drama 13 episod berjudul Bunga-bunga Syurga yang kini sedang bersiaran di Slot Zehra, TV3.

Sebelum ini mungkin anda dapat menonton wanita yang gemar berdandan ini membawa watak-watak wanita baik, namun kali ini, drama tersebut menampilkan sisi lain Rozita.

Melakonkan karakter Baidah, seorang wanita yang berperwatakan antagonis, ia merupakan lakonan pertama Rozita seumpama itu. Sebelum ini katanya, dia pernah menjadi orang baik-baik, komedi malah watak wanita gila juga pernah dicubanya.

"Dalam drama ini, saya jadi jahat dan sebagai ibu kepada watak lakonan Johan A'sari .

"Ramai juga yang komen, watak wanita jahat saya menjadi. Saya sering berlakon watak baik-baik sahaja.

"Jadi kali ini, mahu juga saya pegang watak yang berbeza. Ini kerana saya tidak mahu stereotaipkan bakat diri sendiri.

"Namun pada mulanya, memang sukar untuk bawa watak jahat. Apabila pada mulanya, saya menjerit, pengarahnya, Jet Lee atau nama sebenar M. Nazir Juhan meminta saya luahkan lagi kemarahan dan perlu lagi garang kerana katanya saya terlalu lembut," katanya yang juga mengidam watak tomboi pula selepas ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: