KUALA LUMPUR: Program pencarian Imam Muda (IM) musim ketiga tampil dengan pembaharuan apabila memperkenalkan juara dan naib juara musim pertama, Asyraf dan Hizbur sebagai mursyid (mentor) kepada para peserta kali ini.
Penglibatan Asyraf dan Hizbur akan turut dibantu oleh 10 naqib (tenaga pengajar) yang terdiri daripada barisan peserta dua musim lepas iaitu Hassan, Nazrul, Fakrul, Azhar, Aran, Amar, Najdi, Nuri, Miril dan Adib.
Pasukan pembimbing musim terbaru ini masih lagi diketuai Datuk Hassan Mahmud Al-Hafiz yang bertindak selaku mudir (pengetua).
Mengulas mengenai pembaharuan itu, Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar berkata, pemilihan 12 alumni IM ini bertujuan untuk menjadikan proses bimbingan peserta musim ini lebih dekat dan realistik berdasarkan pengalaman sebenar mereka yang kini bergiat sebagai pendakwah muda.
“Kita mahu kelompok IM musim ketiga ini menjadi lebih rapat dan dekat dengan masyarakat. Sebab itu, kita tampilkan 12 alumni bagi membimbing peserta IM3.
“Inilah platform terbaik untuk hasilkan lebih ramai IM berkaliber dan pelapis seperti barisan peserta daripada dua musim lepas,” katanya ketika ditemui pada pelancaran program itu di Bangsar, di sini, petang Isnin.
Asyraf atau nama sebenarnya Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan, 28, berkata amanah yang diberikan sebagai mentor bukan bertujuan untuk mengajar atau menunjuk pandai kepada peserta IM3 tetapi untuk sama-sama berkongsi ilmu dan pengalaman.
“Kalau diikutkan, saya sendiri masih baru dan ada lebih ramai imam dan pendakwah lebih berpengalaman di luar sana tetapi amanah ini akan saya manfaatkan untuk berkongsi dengan kelompok baru IM berdasarkan pengalaman dan ilmu yang tidak seberapa ini.
“Tanggungjawab kami lebih memfokuskan kepada bimbingan ilmu berdasarkan pengalaman kami sebagai persediaan para peserta ini berdakwah kepada khalayak selepas program ini nanti,” katanya.
Hizbur Rahman Omar Zuhdi, 29, (Hizbur) pula berkata, dia melihat cabaran itu pada aspek positif biarpun dia tidak menolak pertikaian yang mungkin timbul terhadap kredibiliti mereka yang baru setahun jagung itu.
“Pembabitan saya dan Asyraf dalam bidang dakwah secara rasmi baru berusia dua tahun dan ini mungkin menjadi pertikaian.
“Saya sedar ia bukan tanggungjawab mudah tetapi dengan bimbingan dan kerjasama semua, insya-Allah kita akan sama-sama dapat menghasilkan lebih ramai imam muda,” katanya.
Selain barisan pembimbing, Izelan berkata IM3 turut memperkenalkan kaedah uji bakat secara dalam talian, di mana orang ramai boleh menghantar rakaman mereka membaca beberapa surah tertentu mengikut syarat penyertaan yang ditetapkan pada laman web rasmi program itu.
“Kita mahu mempermudah penyertaan daripada peserta yang berada di luar negara atau jauh dari Kuala Lumpur. Dengan cara ini, mereka tidak perlu lagi bersusah-payah untuk menguji bakat seperti dua musim lepas dan hanya hantar rakaman untuk penilaian pada laman web IM,” jelasnya.
Penyertaan terbuka kepada semua lelaki Muslim berumur 18 hingga 30 tahun tidak kira warganegara dan fasih berbahasa Malaysia. Penyertaan secara dalam talian berakhir pada 31 Mac ini.
Untuk maklumat lanjut dan menghantar rakaman masing-masing, layari www.imammuda.com.my.
Juara musim ini akan membawa pulang wang tunai RM100,000, RM35,000 bagi naib juara dan tempat ketiga sebanyak RM15,000.
IM3 mendapat kerjasama penajaan Bank Islam dan Len Fa Medical Supplies (M) Sdn Bhd.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: