Sunday, March 18, 2012

Langkawi bukan sekadar pulau legenda




LANGKAWI - begitu indahnya nama pulau ini, seindah kecantikan pantai dan alam semula jadinya yang terdiri daripada 99 buah pulau tropika di pantai barat laut Semenanjung Malaysia.

Bagi yang ingin mengunjunginya, jarak permata Kedah ini cuma 30 kilometer dari Kuala Perlis dan 51 kilometer dari Kuala Kedah.

Pulau Langkawi penuh dengan kekayaan pusaka merangkumi seribu legenda dan misteri daripada cerita burung garuda, pahlawan gagah perkasa, puteri kayangan serta peperangan dan percintaan.

Sebagai salah sebuah pulau yang tercantik di Malaysia, pulau ini lengkap dengan pelbagai kemudahan meliputi kemudahan awam, lokasi pelancongan dan pusat beli-belah.

Ratusan gua yang dihiasi dengan ukiran semula jadi stalagmit dan stalaktit, pantai berpasir putih yang halus dan disimbah cahaya mentari sepanjang tahun menjanjikan ketenangan yang lengkap sebagai destinasi percutian idaman.

Air laut yang jernih mengelilingi kepulauan ini memberikan peluang untuk pelancong menjalankan aktiviti rekreasi air serta keindahan penerokaan hidupan marin.

Di samping terkenal dengan legenda sumpahan Mahsuri, Langkawi bukan lagi sekadar pulau legenda kerana di sini bermulanya keseronokan buat pelancong yang mengunjunginya.

Dengan tawaran pelbagai destinasi menarik untuk dilawati, kunjungan bersama ahli keluarga ke sana pasti tidak mengecewakan.

Pulau Dayang Bunting

Legenda di pulau ini penuh dengan misteri dan mitosnya sendiri. Air dari tasik pulau ini dipercayai dapat merawat kemandulan jika ia diminum atau mandi dengan airnya.

Terdapat banyak versi cerita rakyat tentang asal-usul tasik ini, namun legenda Putri Dayang Sari merupakan cerita yang termasyur.

Pantai Cenang

Pantai Cenang terletak 18.4 kilometer dari pekan Kuah dan ia merupakan lokasi paling ramai dikunjungi kerana segala kemudahan seperti restoran, hotel serta chalet bajet, pusat hiburan dan kedai cenderamata mudah ditemui di sepanjang lokasi ini.

Pantainya pula berpasir halus umpama kristal berkerlipan ketika disinari cahaya matahari dan dikelilingi oleh pokok kelapa.

Pantai Cenang juga terkenal dengan keindahan matahari terbenam dan di sebelah malamnya pula dipenuhi dengan pelbagai aktiviti, selagi cahaya neon menyala selagi itulah pantai tersebut hidup dengan pelbagai gelagat pengunjung.

Underwater World Langkawi

Melihat gelagat spesies penguin berkeliaran di Underwater World Langkawi cukup menghiburkan.

Oleh itu, bagi mereka yang mahu melihat dengan lebih dekat gelagat nakal hidupan marin itu, silalah berkunjung ke Underwater World Langkawi yang terletak di lokasi kegemaran ramai, pantai Cenang.

Di Underwater World Langkawi, pengunjung didedahkan kepada pengalaman kehidupan pelbagai spesies hidupan liar yang hidup pada tiga ekosistem berbeza iaitu bersuhu tropika, sederhana dan sejuk.

Pekan Kuah

Buat mereka yang sedang mencari barangan eksklusif dari pulau bebas cukai ini, bolehlah mengunjungi pekan Kuah.

Sebagai pekan terbesar di Langkawi, luangkan masa untuk membeli-belah di Kuah kerana anda boleh membeli hampir apa jua barangan yang dikehendaki daripada produk berasaskan gamat, pinggan mangkuk, peralatan perumahan sehinggalah produk antik.

Taman Legenda Langkawi

Taman tema yang dikenali sebagai “Legenda Langkawi On The Park” dibina bagi mengembalikan kegemilangan sejarah Langkawi.

Taman ini menghidupkan kembali peristiwa-peristiwa yang penuh misteri serta legenda yang penuh konflik dan romantik sesuai dengan nama timangan, Langkawi sebagai kepulauan legenda.

Taman ini mempunyai kolam air tawar buatan manusia yang merangkumi kawasan seluas 20.2 hektar. Aliran air yang jernih turun di tengah-tengah kawasan membahagikan kawasan berbukit di sebelah kiri dengan ukiran patung-patung legenda di sebelah kanan.

Keindahan Selat Melaka dapat dilihat dari kawasan bukit yang tinggi atau Galeri Perayaan (Celebration Gallery) manakala kecantikan kawasan laut dan pantai dapat dinikmati dari dua penghujung tanjung yang membentuk lagun di Pantai Legenda.

Kereta Kabel Langkawi

Selepas penat berendam atau berenang, apa kata anda mengunjungi Kereta Kabel Langkawi yang terletak berhampiran lokasi Telaga Tujuh.Kereta kabel ini juga antara tarikan utama di Pulau Langkawi dan ia menyajikan pemandangan panorama dari puncak Gunung Mat Chincang yang juga merupakan lokasi Sky Bridge sepanjang 2.2 kilometer.

Telaga Tujuh

Terletak 23 kilometer dari pekan Kuah, Telaga Tujuh merupakan sebuah lokasi ajaib di mana kedudukan geografi air terjun yang turun di sana berasal dari tujuh punca mata air semula jadi yang berlainan.

Hutan hijau yang merimbun mengelilingi air terjun tersebut menambahkan lagi sentuhan kedamaian kepada keindahan alam semula jadi.

Legenda mengatakan yang tempat ini dijadikan tempat pari-pari bersiram dan bermain. Kehadiran mereka dapat dirasa dan dikesan melalui bau harum yang menyenangkan yang tersebar di seluruh kawasan sekitarnya.

Telaga Air Hangat

Destinasi ini dikatakan wujud akibat pergaduhan antara dua gergasi. Tempat di mana tumpahnya air panas ketika gergasi itu berselisih menghasilkan telaga air panas yang wujud sehingga kini dan terletak hanya 14 kilometer dari pekan Kuah.

Terletak di kawasan Telaga Air Panas seluas 1.62 hektar, ia dilengkapi dengan kompleks moden yang di dalamnya terdapat tiga tingkat pancutan air panas, mural lukisan tangan di atas batu sungai sepanjang 18 meter yang menceritakan legenda di sebalik kewujudan tempat ini, demostrasi harian tentang kraftangan tempatan dan tarian kebudayaan serta kedai-kedai yang menjual kraftangan. Kesemua itu menjanjikan pengalaman yang berbeza.

Taman Laut Pulau Payar

Menjelajah pulau-pulau di sekitar Langkawi amat menyeronokkan kerana pelancong berpeluang menikmati keindahan semula jadi sambil melihat hidupan seperti burung helang.

Antara destinasi keliling pulau paling terkenal di Langkawi adalah di sekitar taman laut yang terdiri daripada Pulau Payar, Pulau Lembu, Pulau Seganang dan Pulau Kaca yang dikelilingi oleh batu-batu karang.

Ia juga dipenuhi dengan pelbagai hidupan laut yang mempesonakan. Sesuai untuk aktiviti snorkeling, selam skuba, berenang dan berkelah di beberapa pantai sambil menikmati sajian barbeku.

Pelawat boleh ke Pulau Payar dari jeti Kuah menggunakan bot laju. Perjalanan hanya mengambil masa kira-kira 45 minit.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: