Tuesday, March 20, 2012

Kutipan RM600,000 sudah memuaskan

DIANA Amir (kiri) dan Shima Anuar dalam satu babak filem 7 Petala Cinta.
DIANA Amir (kiri) dan Shima Anuar dalam satu babak filem 7 Petala Cinta.
DAVID Teo tidak kisah dengan kutipan kasar sebanyak RM600,000 ke atas filem terbaru terbitannya, 7 Petala Cinta selepas empat hari ditayangkan.

Baginya, angka kutipan sebanyak itu dianggap sebagai cukup memberangsangkan kerana 7 Petala Cinta bercorak drama dengan isi cerita yang agak berat.“Walaupun berunsurkan keagamaan, filem ini mendapat reaksi positif daripada pelbagai pihak. Saya tidak kisah dengan jumlah kutipan kerana ia akan melepasi nilai satu juta tidak lama lagi.“Bagi sebuah filem berat, ia cukup memadai kerana ia bukan filem aksi yang menggunakan bajet yang tinggi. Filem ini di bawah paras bajet yang rendah,” katanya ketika dihubungi Hip sambil memberitahu syarikatnya akan terus menerbitkan filem bergenre seperti itu.

“Daripada tindak balas peminat di fun page saya, mereka memberikan tindak balas positif dan menyarankan genre seperti itu diteruskan pada masa akan datang. Saya juga memikirkan untuk melahirkan dua atau tiga filem seperti ini pada setiap tahun.

“Lagipun, genre seperti ini tidak pernah ada di negara ini dan lari daripada genre seram yang sudah terlalu banyak kini,” katanya yang mensasarkan filem itu mampu menarik minat pelbagai kaum untuk ditonton.

Selain itu, David tidak melihat kutipan yang sedikit adalah disebabkan industri perfileman yang semakin lembap pada tahun ini.
“Jika cerita yang ditampilkan bagus, sambutan yang diterima juga akan baik. Jadi, sesebuah filem itu perlu mempunyai jalan cerita yang kemas dan menarik minat penonton untuk datang ke pawagam.” katanya sambil memberitahu pada suku pertama tahun ini, filem terbitan syarikatnya sudah berjaya mengumpul RM20 juta bagi lima genre yang ditayangkan di pawagam.

Filem 7 Petala Cinta adalah filem cinta dengan suntikan keagamaan hasil garapan Azahari Zain, mengisahkan kehidupan remaja yang mendapat pendidikan dalam institusi keislaman.

Pelbagai insiden dan suka duka yang berlaku selain berdepan dengan kemelut yang akhirnya mengundang perspektif berbeza. Filem ini tidak hanya menyingkap kisah suka duka dunia remaja yang terperangkap dengan nafsu dan nilai budiman dalam jiwa namun turut memaparkan pengorbanan, erti persahabatan serta kisah cinta agung.

Filem arahan Azhari Zain ini membariskan pelakon seperti Fizo Omar, Diana Amir Aeril Zafril, Shima Anuar dan Zalif Sidek.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: