Monday, March 26, 2012

Kenangan lencana besi sekolah


KOLEKSI lencana besi ini dikumpul oleh Salim sejak sekolah rendah lagi.


BAGI sesetengah orang, lencana sekolah hanyalah pelengkap pakaian seragam namun ia lebih daripada itu bagi Salim Khan, 47. Lencana sekolah menjadi koleksinya sejak dalam darjah empat lagi.

Lebih istimewa, koleksinya itu menjadi bukti sejarah bahawa lencana sekolah suatu ketika dahulu diperbuat daripada besi sebelum digantikan dengan lencana kain.

Memiliki lebih 100 lencana besi sekolah sekitar 1970-an, cerita Salim, koleksi uniknya itu datang dari pelbagai sekolah di seluruh negara dan ada juga dari Brunei.

Antara koleksinya lencana Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Treacher Methodist, Taiping, Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) Ipoh, Sekolah Tinggi Klang dan Sekolah Raja Perempuan Ipoh (RPS).

"Lencana besi ini kebanyakannya saya tukar dengan kawan-kawan sekolah lain sebagai tanda kenangan.

"Ada antaranya dari sekolah yang sudah tidak wujud lagi seperti Sekolah Menengah Rendah (Lelaki) Taiping.

"Dulu berbeza dengan sekarang kerana remaja pada zaman saya mempunyai hobi yang terhad seperti mengumpul setem, kotak mancis dan lencana besi sekolah.

"Saya percaya pasti ramai yang masih menyimpan koleksi lencana besi sebegini kerana keunikannya," katanya yang turut menyimpan lencana besi sekolahnya iaitu Sekolah Menengah King Edward VII Taiping.

Dia yang baru menyedari simpanannya yang berusia kira-kira 30 tahun itu bercerita, antara kenangan yang masih kekal di ingatannya adalah lencana besi yang diperolehi daripada rakan penanya dari Melaka, Azman sekitar 1970-an.

Menurut Salim, anaknya teruja apabila melihat koleksinya itu kerana lencana sekolah sekarang tidak lagi menggunakan besi.

Sering kali Salim mengimbau nostalgia sekolah dan rakan-rakannya kepada anaknya.

Turut berada dalam simpanannya adalah lencana besi keluaran khas perayaan seperti pesta sukan yang dihadirinya iaitu Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Perak 1973.

Salim turut memiliki lencana besi Perayaan 100 Tahun Bandar Taiping 1974.

Antara koleksi kesayangannya, lencana besi lambang pasukan bola sepak Everton, England yang dihadiahkan oleh pemainnya, Gary Winston Lineker ketika menginap di hotel tempat Salim bekerja sewaktu berada di Malaysia untuk perlawanan persahabatan dengan skuad kebangsaan sekitar 1990-an.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: