Nissan Teana adalah ganjaran yang menanti bakal Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 pada malam kemuncak acara di Arena Of Stars, Genting Highlands pada 8 April depan.Tanpa disedari, dua finalis yang bertanding dalam kategori Artis Baru Popular Lelaki dan Wanita itu sebenarnya meniti pengalaman hampir sama ketika bakat mereka mula diberi perhatian oleh peminat hiburan.
Apakah ia kebetulan atau sebaliknya, selepas diumumkan sebagai finalis ABPBH 2011, semakin kencang kontroversi yang bertandang dalam kanvas seni mereka. Mungkin ada yang melihat gosip dan kontroversi itu bagaikan gimik dan nilai tambah yang sedikit sebanyak menjadi ruang melobi diri.
Bagi empunya diri, semua yang terjadi adalah di luar kawalan tanpa niat untuk menjadikannya sebagai strategi terancang bagi menghangatkan lagi nama.
Tasha dan Johan sepakat rela memancing undi bersandarkan bakat lakonan apatah lagi kebelakangan ini, wajah mereka sering menjadi pilihan penerbit menghiasi kaca TV.
Tasha mula melonjak menerusi filem Ratu The Movie arahan Prof A Razak Mohaideen. Namun ketika nikmat populariti mula dikecapinya, perjalanan bersih Tasha dicemari dengan kisah negatif apabila didakwa sebagai kaki parti gara-gara beraksi ghairah dan mabuk ketika sambutan hari lahirnya, awal tahun ini.
“Kisah itu sudah lama dilupakan. Cuma agak keterlaluan apabila cerita lain pula yang ditokok tambah. Ikutkan saya malas lagi mahu layan hal remeh sebegini. Mujur juga apabila sibuk di lokasi penggambaran dan secara tak langsung, hal ini mula terhakis daripada ingatan.
“Saya tidak hipokrit, malah mengakui mengunjungi pusat hiburan itu sekitar jam 2 pagi sejurus selesai habis penggambaran. Semuanya atas desakan kawan. Kebetulan ketika itu nama saya baru diumumkan dalam ABPBH 2011 dan deejay bertugas pula memberikan ucapan hari lahir kepada saya,” kata pelakon drama Gemilang di TV3 itu membuka bicara saat ralit disolek Tiar Zainal.
Hakikatnya selama dua tahun serius dalam dunia lakonan, namanya jarang menerima tempias kontroversi. Pernah dulu bertiup cerita mengenai pelakon berwajah iras Krisdayanti hidup mewah ditaja lelaki kaya sedangkan dirinya masih hijau dalam arena seni.
“Kalau ada yang kata saya ditaja, memang tidaklah. Sebelum saya berlakon, saya pernah bekerja sebagai pembantu jualan di butik berjenama selama dua tahun di Pavilion. Sebagai kakitangan, kami akan menerima harga istimewa jika mahu membeli barangan di situ.
“Ikutkan sejak zaman sekolah lagi saya sanggup ikat perut kalau mahukan sesuatu. Apatah lagi sekarang sudah menerima pendapatan sendiri. Saya antara penggemar koleksi tas tangan dan kasut.
“Kesempatan berada di Perth, Australia awal bulan lalu menjalani penggambaran drama Atas Nama Cinta terbitan Zeel Production membuatkan saya tidak melepaskan peluang membeli-belah. Sempat juga saya borong kasut di sana,” kata anak sulung daripada tiga beradik itu.
Mengenai ABPBH 2011, Tasha yang selesa menguruskan kerjayanya tanpa bantuan pengurus atau pembantu peribadi meluahkan rasa terharu dengan sokongan luar biasa peminatnya.
Sikap tidak putus asa selain dorongan ibu tercinta serta peminat menjadi azimat untuk dia terus berkarya dan mengharungi ranjau dalam usaha memperkenalkan bakatnya.
“Saya pernah menganggur lapan bulan selepas membintangi filem Ratu. Ketika itu saya hampir putus asa dan pernah tergerak hati untuk berkerja semula di tempat lama.
“Mujur mama sentiasa beri galakan dan semangat untuk terus kuat dan Alhamdulillah, saya semakin diterima.
“Oleh sebab itu, hingga saat ini saya cukup tersentuh dengan usaha peminat dan keluarga yang sanggup melakukan gerak gempur untuk mengundi hingga tersenarai dalam kelompok top 5 ABPBH 2011. Malah selain Fan Page di Facebook yang mencecah lebih 52,000 orang, saya turut disokong Tasha Shilla’s Team untuk ABPBH ini,” kata Tasha yang bercuti sebulan untuk memenuhi undangan sesi fotografi, siri jelajah ABPBH 2011 dan berehat.
Jika menjadi kenyataan, Tasha bakal membintangi sebuah filem Hollywood yang bakal memulakan penggambaran awal tahun depan.
Filem terbitan Henrix Foundation itu diterbitkan sebagai penghormatan terhadap pemain gitar terkemuka, mendiang Jimi Hendrix. Steven Seagal dan Richard Burkin antara nama yang disebut bakal membintanginya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: