|
|
KUALA LUMPUR - Gara-gara tabiat bapa yang gemar berjudi dan gagal membayar hutang daripada ah long, seorang peniaga terpaksa menanggung padah apabila kedai miliknya disimbah cat merah sebanyak tiga kali dalam tempoh sebulan.
Peniaga kedai makan berkenaan, Chong Wen Chieh, 33, berkata, dia tidak mengetahui bapanya berhutang dengan ah long sehingga diminta menjelaskan hutang bapanya kira-kira RM30,000 pada bulan lalu.
"Ah long mengancam akan 'melakukan sesuatu' jika saya tidak menjelaskan hutang bapa saya dalam tempoh yang ditetapkan.
"Disebabkan tidak mampu membayar jumlah wang berkenaan, kedai saya disimbah cat merah sebanyak tiga kali sejak pertengahan Februari lalu dan beberapa hari lalu," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Jelasnya, kejadian tersebut menyebabkan imej kedainya teruk terjejas kerana cat yang disimbah jelas kelihatan di sekitar kedainya termasuk lantai, dinding, pintu masuk, tangga dan papan tanda kedai.
"Saya seorang peniaga, bagaimana saya hendak meneruskan perniagaan jika imej saya terjejas ekoran kejadian ini sedangkan bukan saya yang meminjam wang daripada ah long," ujarnya yang telah berniaga selama empat tahun di Jalan Kepong di sini.
Wen Chieh berkata, bapanya yang selama ini tinggal bersamanya kini gagal dihubungi serta gagal dikesan sejak kehilangannya selepas Tahun Baru Cina lalu.
Disebabkan ketakutan, dia yang berasal dari Rawang telah membuat laporan polis sebanyak dua kali pada 17 Februari dan 13 Mac lalu di Balai Polis Kepong.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: