Monday, March 19, 2012

Faezah Elai terkedu



Ella Sunti Perampas Suami Orang!. Itu judul muka depan beberapa akhbar dan majalah yang ditonjolkan dalam babak-babak akhir filem terbaharu OudLOUD Studios, Jidin Sengal yang bakal menjengah panggung hujung minggu ini.

Sebenarnya nama Ella Sunti itu merupakan gelaran watak yang dibawakan oleh salah seorang barisan pelakon filem itu iaitu Faezah Elai.

Dia ialah seorang bintang filem terkenal yang akhirnya mendedahkan dirinya berkahwin secara senyap-senyap dengan salah seorang krew produksi filem lakonannya.

Sedangkan dalam alam realiti, Faezah sendiri suatu ketika dahulu pernah meraih kontroversi apabila dituduh dan dilabelkan sebagai perampas suami orang.

Ia ekoran apabila Faezah dan pengarah Heykal Hanifah merancang untuk berkahwin, sebelum sah bergelar suami dan isteri pada 9 September tahun lepas.

Biar ia sekadar watak lakonannya dalam filem tersebut, namun penonton boleh menduga ada makna tersirat yang mengaitkan kisah sebenar yang pernah terjadi kepada bekas pramugari itu.

Faezah, 30, yang sedikit kaget dan terkejut dengan paparan yang ditampilkan dalam filem itu bagai tidak mampu bersuara sewaktu ditebak pihak media mengenai situasi yang berlaku.

"Saya tak tahu apa-apa tentang perkara itu, saya kelu untuk berkata," ujarnya sewaktu sidang akhbar usai tayangan perdana Jidin Sengal di Cineleisure Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Tambahnya, ketika menjalani penggambaran filem itu dia dan suaminya itu masih belum mengenali antara satu sama lain.

"Sewaktu terlibat dengan penggambaran filem ini, saya belum mengenali Heykal lagi," jelasnya mengenai filem Jidin Sengal yang tamat penggambarannya awal tahun lepas.

Ditanya adakah dia sendiri sedar dengan situasi yang berlaku, balas Faezah: "Saya terkejut tengok ada kisah (saya) sendiri!"

Tidak merancang zuriat

Mengetuk pula pintu kisah peribadi pemilik nama sebenar Noor Faezah Md. Elai itu memberitahu, dia dan suaminya tidak pernah merancang untuk mendapatkan zuriat mereka dalam jangka masa tertentu.

"Buat masa sekarang belum ada rezeki dan kami sedang mencuba," ungkap pelakon filem Cun itu.

Terlalu lama berehat selepas mendirikan mahligai cinta pada penghujung tahun lalu, kata Faezah sudah sampai masanya untuk dia kembali beraksi di layar kaca dan layar perak.

"Sekarang adalah masa untuk saya kembali berlakon. Syukur Alhamdulillah hidup saya sekarang bahagia dan sentiasa gembira," katanya yang menegaskan tiada masalah antara hubungannya dengan Heykal.

Kurang sensitif di Twitter

Tenang dan tiada lagi spekulasi tidak enak melingkari sisi pelakon kelahiran Pulau Pinang itu yang sebelum ini banyak mengaitkan tindakannya yang kurang sensitif setiap kali bersuara di laman sosial Twitter.


PENERBIT filem Jidin Sengal (empat dari kanan)Ernie Chen bersama (dari kiri) Zach, Along, Jue, Esmi, Faezah dan Angah.


"Saya bercakap pasal perkara umum dan tidak merujuk kepada sesiapa secara spesifik, sesiapa yang terasa apa boleh saya buat?" tegasnya yang mengakui akan bersuara mengenai apa-apa hal setiap kali terlintas di minda.

Katanya lagi, dia kini perlu lebih berjaga-jaga akan setiap perkara yang ditulisnya di Twitter memandangkan ramai pengikutnya terdiri daripada golongan muda.

Nasihatnya jika ada individu yang kurang senang dengan tindakannya mahupun luahannya di laman sosial terbabit, adalah lebih elok untuk tidak menjadi pengikutnya.

"Sesiapa yang tidak suka tidaklah perlu jadi pengikut dalam laman sosial saya itu. Saya tidak pernah ambil pusing tentang apa-apa hal yang terjadi, apatah lagi jika ada individu yang kurang suka dengan tindakan saya," getusnya.

Elemen humor

Senario skop lakonan Faezah kebanyakannya lebih kepada karya-karya komedi.

Sedar akan situasi itu, kata Faezah dia selesa dengan perjalanan kariernya sekarang dan masih menantikan tawaran watak yang serius selepas ini.

"Mungkin saya kurang ditawarkan karakter serius sebelum ini, itulah sebabnya penonton lebih banyak melihat saya terlibat dalam naskhah komedi," katanya yang turut menyokong pengarah baharu yang baru mula berkecimpung dalam arena perfileman seperti pengarah Jidin Sengal, Esmi Zahara Yusof.

Menurutnya, Jidin Sengal merupakan sebuah naskhah yang menyingkap realiti yang berlaku dalam dunia pelakon.

"Pelakon merupakan ikon masyarakat, namun ada juga tersilap langkah.

"Filem ini ibarat menelanjangkan kehidupan peribadi selebriti dan memberikan pilihan kepada masyarakat mengangkat siapa yang mereka mahukan," jelasnya.

Jidin Sengal mengisahkan Jidin (lakonan Along Raja Lawak), seorang budak kampung yang bercita-cita tinggi menjadi seorang bintang filem.

Disebabkan cita-cita itu dia ke Kuala Lumpur dan bertemu Bob Dobot (Angah Raja Lawak) iaitu pelakon tambahan yang menyimpan impian memegang watak utama.

Pelbagai cabaran dan masalah ditempuh mereka untuk mencapai impian, adakah mereka berjaya? Nantikan Jidin Sengal di pawagam pada hari Khamis, 22 Februari ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: